'Payah sangat ke nak duduk di rumah dik oit!' - Wanita pakai gelang pink berada di tempat awam, ditahan anggota RELA


Seorang wanita yang memakai gelang kuarantin (pink) ditahan anggota RELA selepas didapati berada di tempat awam, mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.


Menurut sumber, wanita itu dikesan memakai gelang tersebut semalam, ketika berada di Kompleks Sri Aman, Persiaran Paya Terubong 2, Taman Sri Aman, Bayan Lepas, Pulau Pinang. 


Anggota RELA terus menahan wanita itu dan menghubungi Pejabat Kesihatan. Tidak lama kemudian, beberapa pegawai kesihatan tiba di lokasi dan mengambil tindakan lanjut terhadap wanita yang tidak didedahkan identitinya itu. 



Di media sosial, netizen menyelar tindakan wanita itu yang jelas sekali melanggar perintah kuarantin diri seperti mana yang diwajibkan oleh kerajaan sebelum ini. Malah kata netizen, tindakan yang tidak bertanggungjawab itu juga boleh menjadi punca atau penyumbang kepada angka kes yang meningkat setiap hari. 


Pesakit Covid-19, mahupun mereka yang dipakaikan gelang kuarantin itu turut tampil meluahkan rasa geram mereka terhadap wanita terbabit. 


"Saya pesakit Covid-19, hari ini hari keempat kuarantin. Sekarang di hospital sebab saya pregnant. Anak-anak dan suami semuanya kena kuarantin kendiri di rumah. Result suami dan anak-anak belum keluar, doakan mereka negatif. Saya tidak pasti, apa di fikiran wanita ini. Dia ingat Covid-19 ini main-main kot?" kata Najjah Mat Fisal. 


"Saya pun pakai juga (Gelang Kuarantin). Gambar ini time baru lepas buat swab test. Selepas je pegawai kesihatan itu pakaikan gelang ini pada saya, saya terus balik ke rumah dan kurung diri dalam rumah. Tak ada pun saya rasa menggelejat nak keluar. Best apa duduk di rumah, boleh berehat cukup-cukup. 


"Walaupun keputusan swab test pertama negatif, tetapi saya masih perlu buat swab test kali kedua minggu depan. Duduk saja di rumah, ikut arahan. Tak perlulah nak jadi selfish sangat," kata Eyza. 



Orang awam dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur standard operasi (SOP), pakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial apabila berada di tempat ramai orang. Duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar bagi mengekang penularan wabak Covid-19.