Pesakit lelaki trauma diraba kakitangan hospital yang turut mengambil seluar dalamnya


Seorang lelaki membuat laporan polis terhadap seorang kakitangan lelaki di sebuah hospital yang didakwa telah mencabul dan melakukan perbuatan yang tidak senonoh terhadapnya. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.15 petang, Isnin, 2 November 2020, mangsa berusia 27 tahun itu datang ke hosipital tersebut kerana mengalami demam denggi. Suspek kemudian membawanya pergi menukar pakaian dan dibawa ke satu bilik. 


Selesai menukar pakaian dan memakai pakaian hospital, suspek berpura-pura memeriksa dan mengarah mangsa menanggalkan seluar. Suspek meraba-raba, mencabul dan melakukan perbuatan tidak senonoh itu pada mangsa selama beberapa minit sebelum doktor masuk ke bilik itu. 


Hairan dengan tindakan suspek, mangsa menceritakan insiden itu kepada doktor yang bertugas. Mangsa juga mendakwa suspek telah mengambil seluar dalamnya, menyebabkan dia kini mengalami trauma. Doktor kemudian menasihatkan mangsa membuat laporan polis. 


Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsah Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh mangsa. 


Namun pihaknya masih belum menahan suspek kerana masih menjalani tempoh kuarantin Covid-19. Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro