Suami bawa parang panjang datang ke rumah bekas mentua, alasan nak jumpa anak


Polis menahan seorang lelaki yang membawa parang ketika datang ke rumah bekas mentuanya dipercayai cuba melakukan ugutan jenayah. Suspek telah bercerai dengan bekas isterinya itu pada Ogos lalu di Mahkamah Syariah Kepala Batas


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 40 tahun itu datang ke rumah bekas ibu mentuanya pada jam 7 malam, Khamis, 5 November 2020, untuk bertemu dengan tiga anaknya yang tinggal bersama bekas isteri. 


Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan mereka tiada di rumah. Suspek juga didapati membawa sebilah parang panjang dan beredar ke surau berhampiran sebelum kembali menunggu di sekitar kawasan untuk menunggu empat beranak itu pulang ke rumah kira-kira jam 8.30 malam. 


Suspek yang masih memegang senjata tajam itu kemudian memanggil tiga anaknya untuk berjumpa, tetapi mereka menolak dan akhirnya suspek terus beredar dari rumah tersebut. 


Bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga di masa akan datang, ibu kepada tiga anak itu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 


Susulan dari laporan itu, polis telah menahan suspek dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. 


Sumber: Sinar Harian