(Video) 'Dia mabuk, dia mau langgar semua orang!' - Anggota Penguatkuasa DBKL kompaun pemandu mabuk di PBKL


Viral di media sosial kelmarin seorang lelaki tidak berpuas hati dengan anggota Jabatan Penguatkuasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan kompaun terhadapnya kerana memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6 petang, Sabtu, 7 November 2020 di Pasar Borong Kuala Lumpur, anggota terbabit terdahulu membuat kawalan di tol pintu masuk hadapan dan ternampak sebuah kenderaan SUV jenis BMW VBE 2288 masuk dan  memandu dalam keadaan laju. 


Sebagai langkah pencegahan, dia kemudian mengekori kereta tersebut dan mendapati kereta itu dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol. 


Anggota terbabit kemudian bertindak merakam video dan tindakannya itu membuatkan lelaki terbabit berang dan mula menimbulkan provokasi serta menunjukkan isyarat lucah kepada anggota. 


Seorang wanita yang dipercayai isterinya, cuba menghalang dan menenangkannya tetapi tidak diendahkan oleh lelaki itu yang berterusan menimbulkan kekecohan sehingga menyebabkan orang awam yang ternampak kejadian itu terus datang dan salah seorangnya juga cuba membantu menenangkannya. 


Dengan bantuan orang awam, lelaki itu berjaya ditenangkan dan dipujuk masuk ke dalam kereta sebelum isterinya memandu kenderaan tersebut dan beredar dari tempat kejadian. 


Atas kesalahan itu, anggota penguatkuasa berkenaan telah mengeluarkan satu Notis Kompaun Kesalahan Undang-Undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002, Seksyen 23 (1)(c) atas kesalahan menghalang atau mengganggu lalu lintas kenderaan di kawasan tersebut. 



Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS