Skim Like & Share: Polis terima 46 laporan mangsa yang membabitkan kerugian setengah juta ringgit


Hujung bulan lalu, polis menerima empat laporan dari individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan ponzi yang membabitkan kerugian RM26,000. 


Hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan pihaknya telah menerima sebanyak 46 laporan dari mangsa berkaitan dengan skim pelaburan tersebut dan 20 kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat laporan tersebut yang membabitkan kerugian lebih dari setengah juta ringgit. 


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Zainuddin Yaacob berkata, skim pelaburan ponzi itu dikenali sebagai Like and Share, iShareFans, Zan Zan Le, Test Fight dan Queqiabao. 


Menurut beliau, kebanyakan mangsa mendapat maklumat mengenai pelaburan 'kayangan' itu melalui iklan yang dipamerkan di Facebook di mana mangsa diminta untuk memberikan nombor telefon untuk dihubungi melalui aplikasi WhatsApp. 


"Suspek akan memberikan pautan laman sesawang dan mangsa perlu memasukkan nombor telefon serta akaun bank. Suspek kemudian memberikan kod untuk melihat jumlah keuntungan yang didaftarkan atas nama mangsa," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Rabu, 2 Disember 2020. 


Mangsa juga perlu melakukan tugasan like and share di laman sosial Tik Tok atau YouTube di mana setiap like and share itu akan menerima ganjaran sebanyak RM1 yang akan dikreditkan ke akaun mangsa. 


Bagi mendapat ganjaran yang lebih tinggi, mangsa ditawarkan dengan pakej bayaran bermula dari RM99 hingga RM9,999. 


"Kebanyakan mangsa sedar ditipu apabila jumlah keuntungan dijanjikan untuk pengeluaran tidak dapat dibuat. Malah, pautan yang diberikan juga ditutup," katanya. 


Siasatan polis mendapati, skim tersebut menggunakan tujuh akaun bank syarikat berasingan dan premis yang didaftarkan di KL Eco City juga telahpun ditutup. 


Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak terperdaya dengan skim pelaburan ponzi itu yang hanya menawarkan pulangan lumayah tanpa perlu berusaha.


Sumber: Harian Metro


BACA LAPORAN BERKAITAN SKIM PELABURAN LIKE AND SHARE