(Video) 'Salah tempat abang buat hal, CCTV jelas, gambar HD!' - Rider cabul remaja perempuan di Kota Bharu, diburu polis


Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun menjadi mangsa cabul penunggang motosikal dalam kejadian yang berlaku pada Khamis, 25 Mac 2021 di Lorong Limau Manis, Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Balai Polis Kota Bharu pada jam 11 malam hari yang sama. 


Menurut keterangan mangsa, kejadian itu berlaku pada jam 9.40 pagi ketika dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dan dihampiri oleh suspek yang menaiki motosikal jenis Honda C90, dari belakang. 


Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut, suspek dianggarkan berusia 40 hingga 50-an itu bertindak menyentuh punggung mangsa sebelum memecut melarikan diri. 


Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu terus membuat laporan polis.


Siasatan awal polis berdasarkan nombor pendaftaran, polis telah mengenal pasti pemilik motosikal itu yang berasal dari Kuala Lumpur. Namun, polis percaya motosikal itu mungkin telah dijual tetapi nama pemilik asalnya masih belum ditukar. 



Polis kini sedang giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki itu untuk tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. 


Sementara itu, netizen di media sosial mengambil kesempatan untuk menyunting gambar suspek kerana bimbang suspek tidak begitu dikenali sekiranya mimik muka suspek berubah. Tidak kurang juga ada yang terlebih rajin menyunting gambarnya menggunakan aplikasi Avatarify. 




Sumber: Kosmo Online