BBNU bakar kereta Honda City kerana berang mangsa beri amaran untuk tidak bermain cinta dengan adik perempuannya


Seorang lelaki nekad membakar kereta milik abang teman wanitanya kerana berang hubungan percintaan mereka terhalang dalam kejadian Selasa lalu, 30 Mac 2021 di Taman Menara Maju. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, perbuatan khianat suspek itu disedari oleh jiran mangsa  yang segera memaklumkan kepadanya pada jam 2.30 pagi. 


Menurut jiran yang menyaksikan kejadian itu berkata, suspek menaiki sebuah kereta Toyota Vios datang ke lokasi kejadian bersama dengan rakannya lalu membakar kereta mangsa jenis Honda City. 


Mangsa berusia 25 tahun kemudian membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek berusia 23 tahun itu pada jam 7 petang di Telok Panglima Garang, Kuala Langat. 


Turut dirampas, sebuah kereta Toyota Vios yang digunakan oleh suspek ketika melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu. 


Siasatan awal mendapati, suspek mengaku melakukan jenayah itu hanya kerana tidak berpuas hati dengan jurutera berkenaan yang didakwanya telah memarahi dan menghalang dia bercinta dengan adik mangsa. 


"Suspek mengaku melakuannya selepas dimarahi dan diberikan amaran oleh mangsa agar tidak mengacau adik perempuannya," katanya. 


Berang hubungan percintaan mereka terhalang, suspek nekad membakar kereta mangsa dengan bantuan rakannya. Suspek menegaskan dia tidak diupah oleh mana-mana ahli kongsi gelap untuk melakukan perbuatan khianat itu. 


Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Mangsa pula dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM2,000 ekoran perbuatan suspek itu.


Polis kini sedang giat mengesan rakan suspek yang telah melarikan diri.


Suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.


Sumber: Sinar Harian, Kosmo Online