'Kejadian berlaku di Tanah Merah' - Polis giat kesan 2 suspek pukul remaja perempuan


Polis kini sedang mengesan dua remaja perempuan yang terbabit dalam kes sepak seorang mangsa yang berlaku di pantai timur baru-baru ini. 


Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusof berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan dari mana-mana pihak. 


"Kami dimaklumkan ia berlaku di daerah ini, namun sehingga kini kami belum menerima laporan. Mangsa juga masih belum dikenal pasti dan sedang usaha untuk mengesan kesemua mereka yang terbabit," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 


Terdahulu, video yang menunjukkan mangsa dipukul itu viral di media sosial dan mengundang banyak reaksi netizen yang menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap suspek-suspek yang terlibat. 


Setelah video itu viral, tampil seorang individu yang memuat naik kenyataan menjelaskan kejadian itu berpunca dari rasa tidak puas hati mereka terhadap mangsa yang dikatakan telah memfitnah mereka tiada dara. 


"Sebab kitorang dah kena dengan dia. Kitorang marah sangat sebab perempuan tu (mangsa) buat cerita palsu, tuduh kitorang semua dah tak ada dara," katanya. 


Walau apa pun alasan yang diberikan, netizen tetap tidak bersetuju dengan cara suspek mengambil tindakan seolah-olah mengiakan dakwaan itu.


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN