Neelofa, suami dan keluarga mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan kompaun RM60,000.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kompaun yang dikenakan terhadap pasangan selebriti itu tidak dibenarkan diskaun kerana Neelofa melakukan dua kesalahan, manakala suaminya, Haris Ismail melakukan satu kesalahan.
Kesalahan pertama Neelofa, gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP ketika menganjurkan masjlis sosial, di mana Neelofa selaku penganjur gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ketika masjlis akad nikahnya berlangsung.
Kesalahan kedua, pasangan itu didapati melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, kerana melakukan aktiviti yang berada di luar skop kebenaran yang diberikan polis.
Sementara itu, ahli keluarga Neelofa seramai 20 orang dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang yang berjumlah RM30,000 kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal sewaktu majlis pernikahan Neelofa dan Haris.
Semua yang terbabit akan dikenakan kompaun hari ini dan jumlah keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM60,000.
Di media sosial, netizen memberikan pelbagai reaksi. Ramai yang membanding bezakan kes peniaga burger dikenakan saman RM50,000 kerana menjalani perniagaan melebihi had waktu di tempoh PKP, berbanding selebriti yang hanya dikenakan RM60,000 sahaja yang membabitkan ramai individu terkemuka.
Walau bagaimanapun, orang ramai adalah dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP PKP dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.
Sumber: Harian Metro