'Habis PKP dah dapat buka kedai, terus sembelih pelancong guna chainsaw' - Pelanggan terkejut dicaj RM1,196.80 untuk seekor ikan siakap


Setelah Perdana Menteri mengumumkan rentas negeri sudah dibenarkan, betapa gembiranya rakyat Malaysia mendengar perkhabaran tersebut.  Selain pulang ke kampung, sudah pastinya bermacam-macam tempat percutian bermain di fikiran mereka untuk dijejaki. Pulau merupakan destinasi pilihan rakyat Malaysia untuk bercuti mencari ketenangan dan Pulau Langkawi merupakan pilihan pelancong tempatan untuk berkunjung ke sana. Bukan sahaja kerana keindahan semulajadi yang cantik, malah terkenal dengan aktiviti membeli belah. Langkawi turut tersenarai dengan sajian makanan yang sedap.


Namun begitu, perkongsian lelaki ini mengenai sajian makanan di sana mengejutkan netizen. Selama 24 tahun tidak menjejakkan kaki ke Langkawi, dia tidak menyangka kejadian tersebut terjadi kepada dirinya. Kata lelaki ini, ketika menjalankan beberapa aktiviti yang dianjurkan, mereka dibawa untuk makan tengah hari di sebuah restoran. Seperti kebiasaan di kedai seafood atau Tom Yam lain, mereka memesan menu yang sama. Mereka menempah dua ekor siakap untuk dimakan seramai tujuh orang.


Kemudian, datang seorang pekerja di situ untuk mengesahkan tempahan mereka dan memaklumkan saiz ikan yang ditempah. Dan mereka bersetuju untuk mengambil seekor sahaja. Apabila sampai menu tersebut, mereka terkejut mendapati ikan tersebut diibaratkan boleh dimakan seramai 30 orang. Lelaki ini menjangkakan bahawa harga tersebut sudah pasti lingkungan RM700-RM800. 


"Seorang pekerja memaklumkan pada kami untuk double confirm ikan yang kami tempah. Kami bertanya kembali besar manakah ikan itu. Selepas ditunjukkan saiz ikan tersebut dengan tangannya, kami bersetuju untuk mengambil seekor sahaja. Saiznya pula ialah saiz yang besar sedikit daripada kebiasaan ikan siakap yang kita biasa makan," kata Faris.


Setelah selesai makan, lelaki ini terkejut dengan caj bayaran yang dikenakan. Nilai yang tertera adalah sebanyak RM1,852.50. Dia juga sempat melihat beberapa pelanggan yang lain turut terkejut dengan jumlah yang dikenakan. 


"Selesai pembayaran, saya tegur dan nasihat jangan meniaga macam ni. Ikan itu jangan bagi sampai tujuh kilogram sedangkan untuk tujuh orang makan. Kepada para peniaga, maka beringatlah di akhirat nanti akan ditanya tentang duit kita bagaimana kita dapatkan dan bagaimana dibelanjakan," katanya. 



Sementara itu kenalannya, Muallim Akhi Mizi, turut kesal dengan insiden yang berlaku dan menyeru para peniaga di pulau pelancongan itu berniaga dengan jujur dan ikhlas.


"Harga makanan yang tidak munasabah. Tahulah PKP lama dah kedai tutup pun. Jangan bila dapat buka balik, terus sembelih para pelancong guna chainsaw. Berniaga biarlah 'bijak syariah' tahu hukum hakam, bukan fikir untung semata-mata. 


"Tak mengapa kalau kamu yang berniaga maklumkan awal-awal, contohnya "Harga di kedai ini macam dalam buku menu" atau tulis besar-besar. Ini tidak, hang ambil ikan yang sebesar tujuh kilogram untuk tujuh orang dewasa makan. Hang ingat depa nak makan hati berulam jantung saja kah selepas dapat bil kedai hang? 


"Orang nak makan ni, dia tak tahu nak bajet. Ikan berapa berat sesuai untuk mereka. Jadi sebaiknya hang tanya dulu kesanggupan untuk saiz ikan dan harga-harga makanan lainnya. Jangan jual nama orang kenamaan atau selebriti yang pernah atau selalu makan di kedai hang untuk menarik kepercayaan orang lain. Kalau perlu untuk melariskan perniagaan pun, cukuplah sekadar ada gambar dan biarlah gambar berbicara.



"Saya menyeru para peniaga di pulau ini, jujur dan ikhlaslah. Jangan kira "Kedai aku, aku punya suka nak letak harga". Sebab pelancong ini, kebanyakan mereka tak tahu mana kedai mesra rakyat, mana 'lubuk puaka' di pulau ini," katanya.


Dia juga sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai agar berhati-hati dengan kejadian seumpama ini. Dia juga berkongsi  nasihat dan peringatan yang ditulis oleh orang Langkawi sendiri.


"Nasihat saya, hati-hati. Jangan disangka kedai biasa-biasa tak boleh kena bil luar jangka. Kalau ada kenalan di Langkawi, silalah risik tanya dahulu kedai mana sesuai untuk makan. Orang yang sudah biasa dengan harga kedai makan termasuk mereka yang pernah melancong di Langkawi   boleh bagi cadangan yang munasabah. Kadang-kadang orang Langkawi sendiri pun tak tahu sebab orang Langkawi suka makan di rumah," katanya.


Sumber:  Facebook محمد فارس ذوالقرنين, Muallim Akhi Mizi