Lelaki merayu disumbat dalam penjara, tak tahan hidup dengan isterinya


Seorang lelaki berusia 30 tahun di Guidoni, sebuah bandar di pinggir Rom, merayu agar polis memasukkan dia ke dalam penjara kerana tidak tahan tinggal bersama dengan isterinya. 


Anggota polis yang bertugas di berek Tenenza Carabinieri pada awalnya menyangka mereka menjadi sasaran 'prank' pada 23 Oktober apabila seorang lelaki secara selamba masuk dan mengaku sengaja melanggar perintah tahanan di rumah, agar dia boleh dimasukkan ke dalam penjara. 


Difahamkan, lelaki Albania yang tidak didedahkan identitinya sebelum itu bergaduh dengan isterinya dan mengambil keputusan untuk masuk semula ke dalam penjara berbanding tinggal dengan isterinya. 


"Dia tinggal di rumah bersama dengan isteri dan keluarga. Tetapi keadaan tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan," kata Kapten Francesco Giacomo Ferrante dari Tivoli Carabinieri, kepada AFP. 


"Dia berkata, kehidupan rumah tangganya menjadi negara dan dia tidak sanggup menghadapinya dan mahu masuk ke penjara," katanya lagi. 


Lelaki terbabit telah diperintahkan untuk menjalani perintah tahanan di rumah untuk beberapa tahun kerana pernah terlibat dalam jenayah dadah. Baru sahaja menjalani hukuman itu beberapa bulan tetapi dia sudah tidak tahan berdepan dengan isterinya sepanjang masa. 


"Tangkap saya, saya tidak tahan berada di rumah dengan isteri saya lagi. Saya lebih suka di penjara," kata lelaki itu kepada polis. 


Sumber: Oddity Central