'Tokwan aku hilang hampir 10 tahun, sampai sekarang tak jumpa' - Warga emas hilang ketika pergi ke bank untuk ambil duit pencen


Jika seseorang itu meninggal dunia, pasti namanya tertera pada batu nisan dan dikhabarkan melalui berita kepada ahli keluarga dan teman-teman. Tetapi jika hilang tanpa khabar berita, setiap hari pasti menunggu dalam penuh kegelisahan apatah lagi kehilangan tersebut pula melibatkan seorang warga emas. 


Tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan yang dialami oleh keluarga ini apabila sudah hampir 10 tahun kehilangan seorang datuk. Kehilangan  warga emas ini masih diselebungi misteri sehingga kini. 


Dikatakan warga emas itu hilang ketika ingin mengambil wang pencen pada Mei 2012. Kehilangan warga emas ini mendapat perhatian netizen apabila seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Fyraaradzai meminta netizen untuk membantunya mengesan kehilangan datuknya.


Kisah kehilangan datuknya yang dikenali sebagai Tok Wan itu bermula apabila Tok Wan dikatakan mahu mengambil wang pencen di Maybank Kangar, Perlis pada tahun 2012. Oleh kerana Tok Wan tiada kad pengenalan, pihak bank memintanya untuk ke Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) untuk membuat kad pengenalan. 


Ketika dalam perjalanan menuju ke JPN, Tok Wan dikatakan telah hilang. Gadis ini menyatakan ibunya sudah bertanyakan kepada pihak JPN mengenai Tok Wan, tetapi pihak JPN mengatakan Tok Wan tidak datang berurusan di sana.


Keluarga ini masih mengharapkan kepulangan Tok Wan di sisi mereka. Sebelum mereka mengisytiharkan kematian, mereka ingin mengambil peluang untuk berikhtiar dahulu mencari Tok Wan. Mereka juga berikhtiar berjumpa dengan seorang ustaz dan ustaz tersebut mengatakan Tok Wan masih ada tetapi telah nyanyuk.  Namun menerusi Twitter juga, wanita ini menyatakan semasa hilang, tahap kesihatan Tok Wan ketika itu sangat baik dan tidak nyanyuk.


Kehilangan Tok Wan juga pernah disiarkan di akhbar tempatan. Bukan sahaja misteri kehilangan Tok Wan, bahkan kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh Tok Wan juga tidak dapat dikesan. Semakan melalui cukai jalan kereta jenis Kancil yang dipandu Tok Wan juga tidak diperbaharui semenjak tahun tersebut.




Sehubungan dengan itu, wanita ini meminta orang ramai untuk menghebahkan kehilangan Tok Wan dan menghubunginya dengan segera jika terjumpa Tok Wan. Walaupun dikatakan polis telah menutup kes ini, mereka tidak pernah berhenti untuk mencari ikhtiar.


Sumber: Twitter @fyraaradzaii