'Bila dibakar, objek itu meleleh & keluar bau wangi' - Wanita temui sisa muntah ikan paus, bakal jadi jutawan


Awalnya objek yang ditemui disangka sampah, sehinggalah dimaklumkan objek tersebut berkemungkinan besar adalah sisa muntah ikan paus, mendorong wanita berusia 41 tahun ini mahu menjalankan ujian terhadap objek tersebut bagi memastikan ketulenannya. 


Aida Zurina Long berkata, objek ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus itu ditemui ketika sedang memancing bersama keluarganya berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada hujung November lalu. 


"Saya pada mulanya ingat benda itu sampah, tapi sangat terkejut apabila diberitahu ayah ia adalah muntah ikan paus. 


"Saya temui objek itu terapung kira-kira jam 11 malam. Saya tarik benda itu dengan kayu dan menariknya ke tepi tebing. Keesokan harinya saya pergi semula ke kawasan itu, benda itu masih ada sebelum saya mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah," katanya. 


Sebaik saja menunjukkan objek itu kepada bapanya yang merupakan seorang nelayan, dia diberitahu objek itu adalah muntah ikan paus. 


"Saya sangat terkejut kerana ayah mendakwa objek yang saya jumpa itu jarang ditemui di negara kita. Ayah cuba membakar sedikit objek itu dan benda itu meleleh seperti lilin serta mengeluarkan bau yang wangi," katanya. 


Aida kemudian membuat rujukan di internet dan mendapati objek yang ditemui itu berkemungkinan adalah muntah ikan paus yang mempunyai nilai tinggi. 


"Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk menjalankan ujian bagi menentukan kesahihan dan kualiti terhadap benda yang saya temui ini. Saya tahu kos untuk menjalankan ujian makmal adalah tinggi dan saya sanggup bekerjasama demi mengesahkan ketulenannya," katanya yang juga menjelaskan dia tidak pernah tahu muntah ikan paus adalah benda yang dicari oleh syarikat perusahaan minyak wangi. 


Sumber: Harian Metro