'Mat Bangla' sentuh punggung penyelia wanita, ditahan polis

Gambar sekadar hiasan


Datangnya dari jauh kerana ingin mencari rezeki di negara ini, tetapi disebabkan ketelanjurannya melakukan perbuatan yang tidak senonoh terhadap seorang wanita menyebabkan suspek yang berasal dari Bangladesh ditahan polis. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek ditahan kerana mencabul seorang pekerja wanita di sebuah gudang di Telok Gong pada jam 9 pagi Rabu lalu. 


Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun yang juga merupakan penyelia gudang sebelum itu sedang melakukan kerjanya dan secara tiba-tiba punggungnya ditepuk oleh suspek. 


Terkejut dengan perbuatan tidak senonoh suspek, ibu tunggal berkenaan membuat laporan polis pada Khamis, sehari selepas kejadian. 


Bertindak di atas laporan mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Klang Selatan yang diketuai Inspektor Khairul Shahril Azmam telah menahan suspek pada jam 11 malam pada hari yang sama. 


Suspek kini ditahan reman di bawah Akta Imigresen. Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. 


Sumber: Sinar Harian