Hasrat menumpang tidur dengan tenang dan selamat di rumah ibu saudara tidak kesampaian apabila mangsa berusia 15 tahun dirogol oleh suami wanita itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda (Kedah), Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan bertindak di atas laporan itu, suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh telah ditahan.
Siasatan awal mendapati, mangsa sudah berhenti sekolah dan dijaga oleh neneknya sejak setahun lalu. Pada hari kejadian, mangsa terpaksa menumpang di rumah suspek kerana neneknya pulang ke kampung selama dua hari.
Pada jam 12 tengah malam, mangsa tidur di dalam sebuah bilik bersama dengan ibu saudara dan dua sepupunya berusia lapan dan tujuh tahun. Suspek kemudian masuk lalu meraba tubuh serta merogolnya. Mangsa cuba melawan, namun tidak berdaya. Malah dia tidak berani menjerit kerana ketakutan.
Difahamkan sebelum kejadian, pasangan berkenaan minum minuman keras yang menyebabkan mereka mabuk dan si isteri tidak sedarkan diri lalu tertidur di bilik bersama dengan dua anaknya.
Ibu saudaranya dipercayai mabuk teruk sehingga tidak menyedari perbuatan keji suaminya yang merogol mangsa di bilik tersebut.
Mangsa dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan terdapat kesan tusukan benda tumpul, selain kesan koyak baru di kemaluannya.
"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan ibu saudara mangsa yang mabuk hingga tidak sedar kejadian menimpa remaja itu," katanya.
Suspek kini direman selama seminggu dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang andai berhubung kes itu.
Sumber: Harian Metro