Tukang sapu warga Rohingya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dua beradik bawah umur

Foto Harian Metro


Tukang sapu (kilang) warga Rohingya mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan dua pertuduhan merogol dua beradik perempuan bawah umur. 


Tertuduh, Ibrahim Abul Salam, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ainin Yusof. 


Bagi pertuduhan pertama, Ibrahim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun enam bulan di sebuah rumah beralamat di Seberang Perai Tengah pada 11 pagi, 24 Julai 2022. 


Bagi pertuduhan kedua, Ibrahim didakwa merogol mangsa yang sama di lokasi sama antara Januari hingga Disember 2021. 


Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, Ibrahim didakwa melakukan amang seksual fizikal dan merogol adik kepada mangsa pertama yang berusia lapan tahun tiga bulan pada jam 1 tengah hari, 25 Julai lalu, manakala kejadian rogol pula antara Januari hingga Disember tahun lalu di lokasi yang sama. 


Untuk kesalahan amang seksual, Ibrahim didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. 


Ibrahim juga didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 hingga 30 tahun dan sebatan. 


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh pula diwakili oleh peguam, Rafael Abdullah. 


Muhamad Syeqal memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi melindungi mangsa kerana tertuduh tinggal berhampiran kediaman mangsa, selain mahu menjaga saksi-saksi lain. 


Namun, Rafael pula berkata, pihaknya tidak bercadang memohon sebarang jaminan ketika ini dan akan meneliti semua dokumen yang diperoleh kelak untuk tindakan lanjut. 


Hakim Noor Aini menetapkan tertuduh tidak boleh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 2 September depan untuk laporan perubatan dan serahan dokumen. 


Sumber: Harian Metro