Rider terajang side mirror BMW X3 sampai rosak sebab tukar lorong tak bagi signal, ditahan polis



Padah merosakkan cermin sisi sebuah kenderaan, penunggang motosikal berusia 35 tahun ditahan polis semalam. 


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu ditahan pada jam 10.15 malam kelmarin.


Siasatan mendapati, suspek yangg menunggang motosikal Yamaha LC dan pemandu BMW X3 bertengkar di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada jam 8.30 pagi Rabu.


Difahamkan, arkitek berusia 45 tahun berkenaan memandu di laluan itu sebelum didatangi suspek yang membunyikan hon dan berhenti di sebelah kenderaan mangsa, lalu memarahinya kerana menukar laluan tanpa memberi lampu isyarat. 


Mangsa kemudian keluar untuk berbincang dengan suspek. Bagaimanapun, suspek didakwa cuba menutup pintu kereta mangsa dengan kasar dan tidak mahu memberi kerjasama. 


Mangsa mendakwa, suspek masih tidak berpuas hati dengannya dan mahu bergaduh di hadapan sebelum masing-masing beredar. 


Bagaimanapun, mangsa mendakwa dia ternampak suspek menunggang dengan laju melalui cermin pandang belakang dan suspek bertindak menendang serta menumbuk cermin sisi kenderaannya sehingga pecah sebelum melarikan diri. 


Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek serta merampas motosikal bersama pakaian yang digunakannya pada waktu kejadian. 


"Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat salah faham semasa mangsa mengubah laluan tanpa memberi lampu isyarat. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya. 


Sumber: Harian Metro