Kakak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh adik lelakinya, diikat jamin RM10,000

Foto Malaysia Gazette


Remaja perempuan berusia 18 tahun yang didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian adik lelakinya berusia 16 tahun tanpa niat pada 19 Oktober lalu, mengaku tidak tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Johor Bahru pagi tadi. 


Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos yang mecadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh. 


Bagaimanapun, peguam Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh adalah kanak-kanak dan tiada sebab untuk tertuduh mahu melarikan diri. 


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki melapor diri di Balai Polis Gelang Patah sebulan sekali. Tarikh sebutan semula bagi laporan bedah siasatan ditetapkan pada 5 Disember ini. 


Sumber: Malaysia Gazette