Mayat mangsa culik ditemui dalam gaung, dipercayai dibunuh kekasih kerana enggan pinjamkan wang



Mayat seorang wanita yang dipercayai mangsa culik pada Ahad lalu, ditemui dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, pada Selasa. 


Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, siasatan awal pihaknya percaya mangsa berusia 27 tahun itu telah dibunuh dan mayatnya ditemui oleh orang awam pada jam 3.30 petang. 


Pemeriksaan lanjut pada mayat mendapati, mangsa merupakan kes culik yang sedang disiasat, berdasarkan semakan pada kad pengenalan dan dokumen yang ditemui pada pakaian mangsa, serta pengecaman ahli keluarga. 


Sebelum itu, polis ada menerima laporan dari sepupu mangsa yang mendakwa mangsa telah dilarikan dari kawasan rumahnya di Broga, Lenggeng. Mereka turut menerima mesej di WhatsApp yang meminta sejumlah wang tebusan. 


Susulan penemuan mayat mangsa, polis telah menahan seorang pekerja swasta berusia lingkungan 20-an pada Selasa lalu untuk membantu siasatan. Ujian saringan air kencing menunjukkan suspek negatif dadah.


Siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek dipercayai pasangan kekasih itu berkenalan melalui media sosial sejak tiga bulan lalu. 


Menurut sumber, ketika berjumpa buat kali pertama, suspek ada menyatakan hasrat untuk meminjam wang daripada mangsa. 


Tetapi mangsa enggan memberi pinjam wang, menyebabkan suspek bengang mengugut mahu membunuhnya sebelum menculik wanita itu. 


Suspek kemudian meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa dengan mendakwa wanita itu ditahannya sebelum mayat mangsa ditemui dalam gaung. 


Sumber: Bernama, Kosmo Online