Orang kurang siuman maut dipukul, pengawal keselamatan direman 7 hari untuk siasatan Seksyen 304



Susulan kematian seorang lelaki kurang siuman yang didakwa mengamuk dan menyerang tukang masak pusat tahfiz sebelum dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Melaka, Kota Bharu, polis telah menahan 15 individu terbabit untuk membantu siasatan.


Baca: Orang kurang siuman mengamuk, sempat tendang tukang masak pusat tahfiz sebelum maut dipukul sekumpulan lelaki


Dalam perkembangan terkini, Mahkamah Majistret Kota Bharu memerintah pengawal keselamatan berkenaan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan. 


Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Fitri Mokhtar, yang bermula hari ini sehingga 5 Februari depan.  


Sementara itu, seorang tenaga pengajar yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia tiada di lokasi tetapi ada yang memaklumkan kepadanya bahawa mangsa mengamuk dan membakar jubah milik pelajar, selain memukul seorang tukang masak wanita yang kebetulan berada di perkarangan masjid. 


Pengawal keselamatan kemudian cuba menangkap lelaki terbabit yang ketika itu sedang mengamuk dan melawan, sambil dibantu oleh pelajar tahfiz. 


Sebaik saja berjaya ditangkap, perkara itu dimaklumkan kepada warden untuk diserahkan kepada pihak polis. Namun, ketika diserahkan, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. 


Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.


Sumber: Sinar Harian, Harian Metro