(Video) Pasangan kantoi berdua-duaan dalam kereta terkejut dihampiri polis, terus pecut melarikan diri sebelum berjaya ditahan



Polis menahan sepasang kekasih yang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta semata-mata mahu mengelakkan dari pemeriksaan polis sejauh 130 kilometer (KM), di Johor Bahru. 


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota dari Balai Polis Bandar Datuk Onn terdahulu membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan dan mengesan sebuah Proton Persona dalam keadaan mencurigakan. 


Sebaik saja anggota polis mendekati kenderaan itu, suspek secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan dan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri. 


Tindakan suspek itu mengundang anggota terbabit mengejarnya dan meminta bantuan daripada bilik gerakan IPD Johor Bahru Selatan yang kemudian mengerahkan 10 kereta peronda MPV untuk membantu menahan suspek. 


Tidak beberapa lama kemudian, suspek lelaki berusia 20 tahun bersama teman wanitanya berusia 18 tahun berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan di Ayer Hitam. 


Siasatan awal mendapati, suspek mengakui sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila mengetahui kereta peronda MPV menghampiri mereka lalu bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian. 


Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau kes berkaitan dadah. 




Ekoran kejadian itu, polis telah merampas Proton Persona, telefon bimbit dan wang tunai RM168. Kedua-dua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu. 


Video kejadian itu juga turut tular di media sosial yang menunjukkan beberapa kereta peronda MPV mengejar kenderaan suspek di Jalan Skudai. 


Sumber: Harian Metro