2 calon SPM hina pembuat kertas exam Sejarah & Singapura ditahan polis



Seorang guru wanita b erusia 53 tahun membuat laporan polis berhubung tindakan dua remaja lelaki berusia 18 tahun melemparkan kata-kata kesat terhadap pembuat kerja soalan Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menghina Singapura, yang tular sejak semalam.


Baca: 'Saya minta maaf, saya hanya bergurau dengan rakan-rakan' - Pelajar tampil mohon maaf & tiada niat menghina Singapura


Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan dua remaja berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. 


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua remaja terbabit telah ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Selangor di kediaman mereka. 


Polis turut merampas sebuah telefon pintar jenis iPhone 11 yang dipercayai digunakan untuk merakam dan menularkan video tersebut. 


Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dan semakan data menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. 


Suffian meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video tersebut yang akan menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga mencetuskan perbalahan. 


Sebelum ini, kedua-dua suspek telah memohon maaf di atas penularan video tersebut dan mengakui perbualan itu hanya sekadar gurauan spontan setelah tamat peperiksaan pada hari kejadian. 


Suspek berkata, dia tidak berniat untuk menghina dua pihak berkenaan dan hanya sekadar melepaskan tekanan selepas menghadapi peperiksaan Sejarah, kertas dua. 


Sumber: Harian Metro