Perempuan Patut Tolong Lelaki Kumpul Duit Hantaran Kahwin - Sila Tag/Share Pada GF Anda


Terima kasih IIUM kerana sudi menyiarkan dan terima kasih para pembaca. Confession ini adalah untuk berkongsi pendapat aku melihat jejaka-jejaka yang berusaha menghalalkan hubungan. Sebelum meneruskan, aku bagi pengenalan dulu. 

Aku bekerja dengan sebuah syarikat di mana  rata-rata kakitangannya adalah lelaki. Aku masih ingat lagi di hari pertama aku masuk kerja, aku pernah bermonolog sendiri. 

"Takkan aku seorang saja perempuan dalam ni?" 

Ada perempuan pun, mereka buat kerja pejabat manakala aku lebih kepada makmal dan production yang membuatkan hidup aku dikelilingi oleh pakcik-pakcik, abang-abang dan jejaka seusia. Rasa seronok sangat bila bekerja dengan majoriti lelaki dari pelbagai lapisan umur ini. Dalam masa yang sama, banyak pengalaman dan sudut pandangan mereka yang kita boleh pelajari. Tetapi yang lain, biarlah dulu. Aku nak fokus cerita dengan kisah rakan-rakan sekerja yang sedang berusaha mendirikan masjid ini. 

Mereka kadang-kadang makan nasi putih, kicap jalan dan isi ayam sahaja. Punyalah mereka nak berjimat, padahal kerja paling minimum pun setahun lebih. Gaji untuk company ini pun rasanya tak ada bawah RM2,000. Bila ditanya, mereka berjimat untuk menyunting anak dara, katanya. 

Ada seorang rakan sekerja yang pernah terkongsi ceritanya di mana teman wanitanya mahu hantaran di antara RM10,000 - RM15,000. Itu baru wang hantaran, belum lagi barang hantaran, kenduri, beli/sewa rumah lagi. Mujur dia ada kereta dan motosikal, ringanlah sikit. 

Dan aku ini agak penyibuk juga. Aku siap kira komitmen dia, komitmen PTPTN, keluarga, kereta, ASB, rumah sewa dan macam-macam. Setiap kalu keluar, memang dia yang belanja teman wanita dia sebab perempuan itu masih student. Tambah tolak semua memang ada lagi untuk dia menyimpan. Tetapi RM10,000 tambah kenduri yang tak tahu lagi harganya, sampai bila nak kumpul? 

Aku sangat memahami perasaan dia sebab aku anak harapan keluarga, jadi isu duit agak berat bagi aku. Aku pernah menasihatkan dia untuk berbincang dengan teman wanita dia  jika dia terasa terbeban. Tetapi dia tak mahu. Lelaki memang sedaya upaya berusaha walaupun tertekan bab duit, dalam hati masih bahagia. Itulah tanda cinta dan sayang mereka pada bakal isteri mereka. 

Banyak lagi cerita mereka, aku rasa perempuan perlu berkawan dengan lelaki yang berusaha mendirikan rumah tangga ini, barulah akan nampak realiti yang sebenar. Kalau nak tengok realiti melalui teman lelaki/tunang sendiri memang tak akan nampaklah. Teman lelaki/tunang sendiri seboleh-bolehnya mahu merahsiakan kepayahan yang mereka lalui dengan senyuman dan kasih untuk membuatkan kau rasa bahagia. Kita saja yang tak nampak sangat. 

Jadi perempuan tanyalah pada diri sendiri, mampu tak kau memahami dan meringankan beban bakal suami? Jangan sebab kau perempuan, maka kau nak sangat bermanja dan ikut ada yang menyusahkan. RM5,000 pun sendiri tercungap-cungap nak simpan. Apatah lagi orang lain (melainkan bakal suami kau bergaji besar dan tak banyak komitmen). 

Nak menyenangkan, buatlah satu majlis sederhana. Tak payahlah nak turutkan sangat,

"Itu tanggungjawab lelaki" 

Padahal cuci pinggan, kemas rumah pun kau nak berperang komen dengan lelaki. Hah, adat elok begini tak nak ikut pula. 

Nanti ada yang komen,

"Keluarga nak buat besar pula,"

 Aduhai perempuan, kalau nak buat besar tetapi bakal suami kau tak mampu, then kongsilah duit. Tak pun, pujuklah keluarga untuk buat kecil-kecilan. Ada yang boleh pujuk, ada yang tidak. Tetapi pokok pangkalnya berusaha. 

Hey! Mualaf pun lagi payah tau. Nak masuk Islam itu kebanyakkannya ditentang keluarga tetapi masih juga sebahagian besar mereka mampu menyejukkan hati keluarga. Mualaf itu lagi kasihan, kehidupan dia berubah habis tetapi kau yang takat kenduri ini sila jangan jadikan alasan susah nak pujuk ya. Hati ikhlas, berdoalah yang terbaik. Allah ada. 

Tahniah kepada lelaki yang ikhlas mencari duit perkahwinan. Dalam masa yang sama, aku pun tak nak kasihan sangat dengan korang. Siapa suruh cari teman wanita yang demand hantaran tinggi? Dah jodoh kan? Pandai-pandailah didik dia. Itulah, jangan manjakan sangat teman wanita korang di awal perkenalan. Biar menangis tak dapat makan, biar kira duit syiling bersama-sama. Dalam masa yang sama, perempuan sama-samalah meringankan beban lelaki. - Suka Membebel | The Reporter

(Video) Papan Iklan Elektronik Gergasi Tayang Klip Video Lucah Di Jakarta


JAKARTA - Ingatkan perkara yang memalukan seperti ini berlaku di negara China, rupanya berlaku juga di negara jiran di mana pengendali papan iklan elektronik gergasi menayangkan klip video lucah, hari ini, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian jam 2 petang di Jakarta Selatan yang ketika itu berada di waktu puncak, lalu lintas di Jalan Prapanca, Kebayoran Baru menjadi sesak ekoran penayangan klip video lucah itu. Ramai pengguna jalan jalan memperlahankan kenderaan masing-masing untuk menonton atau merakam video tersebut. 

Lapor Detik.com, ada segelintir pengguna yang memberhentikan kenderaan mereka untuk menonton selama 20 minit. 


Pegawai pihak berkuasa Kebayoran Baru, Bowo Sukindro berkata, pihaknya segera menghantar petugasnya ke tempat kejadian setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Malah bekalan elektrik ke papan iklan gergasi itu juga turut diputuskan selepas menerima aduan orang ramai. 


Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa. Difahamkan papan iklan tersebut bukan milik pihak berkuasa tempatan, namun ia dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menolak bahawa kejadian itu didalangi oleh pengodam. - The Reporter

Selepas UM, UKM & UniKL Nafi Anugerahkan PhD Kepada Azizan Osman


KUALA LUMPUR - Selepas UM, tampil dua lagi universiti tempatan membuat penafian pernah menganugerahkan ijazah doktor falsafah (PhD) kepada individu yang bernama Azizan Osman, lapor Berita Harian.

Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, nama individu itu tiada dalam senarai penerima yang dianugerahkan PhD oleh UKM. 

Menurut jurucakap UKM, semakan mereka mendapati tiada individu yang bernama Azizan Osman memiliki PhD dalam jurusan psikologi seperti yang didakwa. 

Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (UniKL) juga turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD kepada Azizan Osman. - The Reporter

'Kenapalah Jahat Sangat Manusia Ni...'


KOTA BHARU - Mayat seorang bayi perempuan ditemui disumbat dalam beg plastik hitam yang mengandungi sampah dibuang dalam tong sampah di Pasir Tumboh, hari ini, lapor Harian Metro. 

Mayat bayi malang itu ditemui oleh empat pekerja penyelengaraan sampah swasta dalam keadaan cukup sifat dan masih bertali pusat, ketika  mahu memasukkan sampah dalam lori. 


Saksi kejadian, Amin Ridzuan Halim, 31, berkata, mayat bayi itu diletakkan dalam beg plastik merah bersama sisa sampah yang lain. 

"Ketika nak memasukkan sampah ke dalam lori, mayat bayi itu terjatuh dalam takungan sampah. Kami terus melaporkan perkara itu kepada polis," katanya. 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, mengesahkan penemuan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - The Reporter