Ibu bapa restu anak berkahwin dengan wanita lebih tua selepas ditawarkan RM3.1 juta


Perkahwinan seorang lelaki berusia 23 tahun dengan janda berusia 38 tahun ini viral di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen di China. 

Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung pada 10 Januari lalu di Qionghai, Hainan, China, viral di media sosial dan apa yang menariknya ialah ibu pengantin lelaki itu hanya setahun lebih tua dari isterinya. 

Difahamkan, ibu bapa pengantin lelaki pada awalnya menentang perkahwinan mereka dan memberikan alasan bahawa perbezaan usia 15 tahun di antara mereka sebagai alasan. Selain itu, umur anak janda berkenaan berusia 14 tahun, hasil perkahwinan terdahulu juga menjadi alasan mereka untuk menghalang perkahwinan pasangan itu. 

Terdahulu, wanita berkenaan yang merupakan seorang ahli perniagaan hartanah yang kaya itu hamil selepas bercinta dengan lelaki muda berkenaan mengambil keputusan untuk berkahwin. 

Selepas mendapati ibu bapa pasangannya tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka, wanita berkenaan menawarkan wang perkahwinan sebanyak 660,000 Yuan, lot hartanah dan kereta Ferrari yang semuanya bernilai kira-kira 5,000,000 Yuan. 

Buta dengan tawaran itu, ibu bapa lelaki muda terbabit terus bersetuju dan memberi restu untuk mereka berkahwin. 


Pasangan itu berkahwin dalam sebuah majlis yang mewah, tiba dengan Ferrari merah dengan pengantin wanita memakai barang kemas dan perhiasan mahal lain. 

Sementara itu di media sosial, netizen mengucapkan tahniah  kepada pasangan berkenaan. Namun ada segelintir yang mendakwa lelaki muda itu berkahwin hanya kerana wang, bukannya kerana cinta sejati.

Sumber: mStar, Next Shark

"Dialah yang bodoh!" - Ruhainies Bengang!


Pelakon cantik dan comel, Ruhainies telah berang apabila ada seorang wanita yang menggelar diri dia bodoh.

Bagi pelakon ini, dia menganggap tuduhan dan panggilan tersebut kepada nya amat lah melampau.

Ini semua gara-gara satu video yang menunjukkan Ruhainies tidak faham apa yang di maksudkan dengan ayat "nate beghuk".

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia faham maksud sebenar perkataan 'nate beghuk' namun sengaja pura-pura tidak tahu dalam video itu.

Kata adik kepada pelakon Nur Risteena ini, dia hanya bergurau dan mengenakan selebriti media sosial, Pian Kpop kerana membohonginya.

Melihat adegan itu, seorang wanita terus mengatakan Ruhainies seorang yang cantik tetapi kurang bijak.

Ini komen Ruhainies:

"Orang yang fikir saya bodoh sebenarnya dia lah yang bodoh. Bagi saya apa yang dia katakan itu sudah melampau.

"Sudah tentu saya tahu beruk itu apa dan maksud perkataan itu. Saya rasa dia yang kurang bijak sebab tak faham maksud di sebalik gurauan saya dengan Pian Kpop itu.

"Saya saja buat-buat tak tahu sebab nak kenakan balik Pian yang cuba untuk menipu,"

Ruhainies diminta mengulas apabila dikatakan tidak tahu maksud sebenar 'nate beghuk' menerusi video yang dimuat naik selebriti media sosial, Pian Kpop pada awal tahun lalu.

Bagaimanapun, Video tersebut menjadi viral di laman sosial apabila ada individu yang memuat naik semula di Twitter pada Isnin.

Nate beruk ialah salah satu loghat dalam bahasa Kelantan yang bermakna 'binatang beruk'.

Seorang pengguna laman Twitter telah memuat naik semula video yang dirakam pada awal tahun lalu.

Ini penjelasan dari Ruhainies:

"Sebenarnya video tersebut diambil pada awal tahun lalu ketika saya datang ke Kelantan untuk membuat kemunculan di sebuah spa.

"Lagipun video itu Pian yang memuat naik dalam Facebook dia tapi ada individu yang membuat video tersebut tular di laman sosial,"

Menurut pelakon Menantu Ting Tong ini, individu yang menularkan video tersebut hanya niat untuk menghiburkan pengikutnya dan dia sudah membuat permohonan maaf.

"Lelaki yang memuat naik semula video itu di Twitternya sudah pun minta maaf pada saya. Dia kata tidak ada niat nak mempersendakan saya.

"Hanya sekadar ingin menghiburkan pengikut di laman sosialnya namun tidak sangka ada yang tidak faham maksud disebalik itu," 


Itulah yang membuatkan Ruhainies benar-benar berang. Apapun mungkin itu salah faham sahaja.


Sumber: mStar

'Kalau nak juga bergaduh, gaduh esok, saya tak oncall' - Netizen terhibur dan tersentuh dengan kisah 2 kongsi gelap ini

Foto sekadar hiasan sahaja
Kisah dua kumpulan kongsi gelap cuba membantu rakan mereka yang ditetak sehingga parah di Hospital Kuala Lumpur menarik perhatian netizen. Mana tidaknya, dari cara percakapan yang marah dan ganas, membuatkan ramai yang takut. Tetapi keadaan itu berubah apabila Doktor Pakar ini mengambil tindakan tidak dijangka untuk membuatkan dua kumpulan kongsi gelap itu terdiam dan tidak lagi menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya. 

PERNAH dulu semasa saya bekerja di HKL, berlaku pergaduhan di antara geng kongsi gelap. Geng Melayu vs Geng India. Mangsa yang dibawa itu lelaki Melayu, teruk kena tetak. 

Geng-geng dia yang bawa dia sekali. Penuh Jabatan Kecemasan dengan abang-abang gangster pada masa itu. Menjerit sana sini sambil mencarut sini sana. Depa marah sebab kawan depa cedera. Boleh dengar dengan jelas depa call orang-orang depa melalui telefon suruh cari geng yang tetak budak ini dan kasi habis. 

Perkataan-perkataan perkauman, jangan cakaplah. 'Keling' itu memang depa sebut memanjang. 

Masa itu saya pakar oncall. Saya hantar doktor MO India untuk merawat lelaki yang cedera itu. Terus mereka senyap selepas itu. Tiada lagi perkataan 'keling'. 

Selepas itu mereka semua sebut India saja masa nak cerita apa yang berlaku kepada doktor. Siap abang long depa tunjuk jari suruh senyap pada anak-anak buah dia bila ada yang terlepas maki. 

Budak itu pun dihantar ke dewan bedah untuk menjalan pembedahan selepas itu. Dekat dua jam juga nak stabilkan dia di kecemasan. 

Selang satu jam kemudian, datang pula Geng India bawa mangsa. Sama havoc dan ganas. Rupa-rupanya Geng Melayu tadi balas dendam dan tikam dia. Sama juga maki hamun Melayu dan carut sana sini. 

Saya hantar doktor MO Melayu. Terus jadi senyap depa semua dan depa cakap elok-elok dan sopan santun dengan MO saya itu. 

Lebih kelakar, bila ditanya siapa waris nak minta sign borang kebenaran transfusi darah, semua 20 orang mengaku waris. MO saya confuse, lalu bertanya apa pertalian mereka semua? Depa kata,

"Kita semua Blood brothers." 

Saya menyampuk dan bertanya siapa adik beradik kandung mangsa, barulah tampil seorang brader muka nerd ini. Yang best tu, geng-geng India ini siap berjumpa dengan MO saya itu dan bertanya ada apa lagi yang depa boleh bantu. 

"Derma darah boleh ka?" 

MO saya senyum kelat saja dan kata, "Jangan cari gaduh dan balas dendam lagi untuk malam ini. Dah penat dah kami semua. Kalau nak juga bergaduh, gaduh esok. Saya tak oncall." 

Depa senyum dan kata, "Okey Doktor." 

"Lelaki Haram Buat Tatu Sementara Walaupun Inai" - Respon Da'i Wan

 
Beberapa hari yang lalu, pelakon Shafie Naswip menjadi tumpuan kerana membuat tatu dari inai yang bersifat sementara sahaja.

Ada yang menegur pelakon ini di laman media sosial, mengatakan tidak baik membuat tatu seperti itu walaupun menggunakan inai.

Shafiw Naswip yang berada di Bali, Indonesia untuk bercuti berkata, dia langsung tidak ambil pusing tentang perkara berkenaan.

Ini komennya:

"Saja suka-suka sebab saya sedang bercuti di Bali, Indonesia. Lagipun itu inai sahaja. Tahan untuk seminggu. Memang tidak ada apa-apa untuk dijelaskan. Bagi saya tidak ada apa pun"

"Tiada isu. Saya tak ada sebarang kenyataan untuk itu"

Hari ini, pendakwah  Da'i Wan berkata tindakan mencacah tatu di mana-mana anggota tubuh badan adalah haram di sisi agama Islam walaupun ia hanyalah tatu sementara dan menggunakan inai.

Wan Dazrin Wan Din menjelaskan perbuatan tersebut adalah dilarang Allah SWT sebagaimana firman baginda Nabi Muhammad SAW.

"Menurut Bukhari dan Muslim, Allah melaknat wanita-wanita yang mentatu dan meminta untuk ditatu.

"Manakala, Al Imam Ibnu Hajar pula berkata, hal ini sama sahaja lelaki dengan perempuan. Maksudnya, dua-dua tak boleh pakai tatu (tatu kekal) sebab perbuatan tersebut dilaknat Allah SWT.

"Kita dianggap telah mengubah ciptaan Allah kerana tatu yang original ni tak boleh ditanggalkan dan melekat selamanya di badan,"

Da'i Wan ulas mengenai pemakaian tatu bersifat sementara.

Ini penjelasan dari Da'i Wan lagi:

"Perempuan dibenarkan  mengenakan inai dengan corak bunga yang sea-akan bertatu dan hukumnya harus selagi tidak ada gambar binatang dan tanda ke arah kemaksiatan atau lucah.

"Tetapi lelaki pula, ulama terdahulu hingga kini cenderung mengharamkan lelaki untuk mengenakan sebarang corak lukisan pada badan.

"Ada pendapat daripada Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dalam Bayyan Linnas: Irsyad Fatwa ke 157- ‘Hukum lelaki memakai inai’, beliau berpendapat seperti semua ulama yang terdahulu juga iaitu ia tidak dibenarkan,"

Dalam hal ini, Da'i Wan berkata tiada kesalahan untuk wanita kerana ia dianggap sebagai hiasan, namun menjadi satu kesalahan untuk lelaki.

Sumber: mStar

'Kak, semalam kau memang takde di rumah ye?'


Nota kaki: Berikut merupakan perkongsian cerita mistik dari Sarawak, oleh Annabellaruz2. Kisah yang berlaku ada merupakan pengalaman penulis dan keluarganya sendiri. 

Ini kisah yang baru terjadi di sebelah rumah aku di kampung. Aku ada menceritakan kisah kakak ipar sepupu yang meninggal akibat kanser payudara dalam cerita yang terdahulu. Walaupun telah bertahun-tahun berlalu, namun sesekali tetap ada gangguan di rumah dan bilik yang pernah dihuni oleh mendiang kakak ipar sepupu.

Beberapa minggu yang lalu, ketika sambutan ambang tahun baru, mak dan adik ipar sedang sibuk berkemas di dapur selepas sambutan tahun baru 2018. Masa menunjukkan lebih kurang jam tiga pagi. Dari dapur rumah sebelah pula, kedengaran bunyi seseorang sedang sibuk berkemas. 

Setakat yang mak aku tahu, makcik dan pakcik tidak berada di rumah pada ketika itu kerana mereka keluar menyambut tahun baru di rumah anaknya yang terletak selang empat buah rumah dari rumah kami.

Lagipun pada jam 12 tengah malam itu, seluruh penduduk kampung berkumpul di dewan orang ramai untuk sambutan tahun baru. Ada persembahan pentas dan nyanyian dari penduduk kampung untuk memeriahkan lagi sambutan tahun baru.

Rumah aku memang terletak berhadapan dengan dewan tersebut. Suatu ketika dahulu, sumber elektrik dewan berkenaan disambung dari rumah kami jika ada sebarang keramaian di dewan berkenaan sebelum dewan itu dipasangkan meter elektrik dan bekalan airnya sendiri. 

Mak aku diam sahaja sebab akhir-akhir ini sudah kerap sangat terdengar bunyi berkenaan. Tetapi adik ipar aku memang mulutnya cabul sikit.

"Mak, siapa ada di rumah sebelah? Tadi masa kat dewan, aku dengar pakcik dengan makcik cakap nak tidur di rumah Kak Pura sebab cucu dia yang duduk di Semenanjung itu dah pulang," soalnya.

"Eh, kau ni! Jangan banyak tanyalah," kata mak.

Adik ipar aku kembali menyambung kerja-kerja mencuci pinggan di sinki. Sementara itu mak pula menutup segala lauk pauk di meja dapur.

Keesokkan harinya, mak terserempak dengan makcik yang baru saja balik ke rumah setelah bermalam di rumah anaknya.

"Kak, semalam kau memang tak ada di rumah ye?’ tanya mak.

"Aku semalam tidur di rumah Pura. Angela anak beranak balik bercuti dari Semenanjung. Cuti dua minggu. Kenapa?" soalnya kembali.

"Dinihari tadi semasa aku dengan Ros tengah mengemas di dapur, aku dengar macam ‘dia' ada pulang ke rumah. Sibuk mencuci pinggan," kata mak.

"Kau ada dengar juga ke? Alang-alang kau dah bertanya tu, sini aku nak beritahu. Kalau ‘dia’ tu memang kerap balik ke rumah semenjak dua menjak ini. Kadang-kadang dia hempas pintu dengan pinggan mangkuk. Tapi bila aku suluh, tak ada pinggan mangkuk pun dalam sinki. 

"Kadang-kadang pintu dapur aku itu bergoyang macam kena goncang. Agaknya dia marah sebab suami dengan anak-anak dia tak duduk rumah itu. Sebab itu aku tak berani nak guna dapur di bahagian belakang itu. Dulu selalu juga aku guna dapur itu. Tetapi sejak ‘dia’ kerap balik ini, takut pula aku. 

"Itulah sebabnya aku suruh abang kau buat dapur lain di dinding ke pintu masuk rumah dorang itu. Lagipun kami tinggal berdua, tak kerap sangat guna dapur," katanya. 

Untuk pengetahuan, rumah makcik aku ini asalnya rumah bertiang tinggi. Almaklum rumah orang dulu-dulu memang tiangnya tinggi-tinggi. Rumah kami yang pertama batu dan tak bertiang tinggi. 

Apabila abang sepupu aku berkahwin, pakcik menyuruh dia membina rumah bersambung di belakang rumah pakcik. Jadi, dari rumah pakcik, terpaksa menuruni tangga untuk masuk ke rumah abang sepupu. 

Dua tiga tahun sebelum isteri kepada abang sepupu meninggal dunia pakcik merobohkan rumah kayu dan membuat rumah batu di tapak yang sama. Automatik rumah pakcik dan abang bersambung sampai ke belakang. Sejak dari itu, mereka berkongsi dapur yagn sama di bahagian belakang rumah bersebelahan dengan dapur rumah kami dan rumah adik bongsu aku yang terletak di belakang rumah mereka. 

Malam itu mak buat bertih jagung dan sediakan sedikit barang untuk upacara menghalau roh kakak ipar sepupu yang menganggu rumah tesebut. Roh kakak ipar sepupu itu berkata yang dia datang menjenguk rumah sebab suam idan anak-anak dia sudah lama tidak datang ke keburu. Bila dia menjengah ke rumah, suami dan anak-anaknya suadah tiada di rumah tersebut dan itu yang membuatkan dia marah. 

Sebenarnya suami dan anak-anaknya telah berpindah ke rumah adik bongsu yang tinggal berseorangan. Rumah adik bongsu terletak selang enam buah rumah dari rumah mereka. Mereka tidak lagi tinggal di rumah tersebut semenjak berselisihan faham dengan pakcik. 

Mak ada berpesan pada abang sepupu supaya kerap membawa anak-anak pergi ke kubur isterinya bagi menghalang rohnya daripada balik dan menganggu di rumah. Abang sepupu akur dengan nasihat mak dan smenetak itu tiada lagi kedengaran bunyi pinggan mangkuk dari dapur rumah tersebut. 

Tetapi aku tetap seram nak melalui lorong itu untuk pergi ke rumah adik aku sebab di laluan itu merupakan tempat mandi terbuka keluarga pakcik dan di situ juga mayat kakak ipar sepupu dimandikan sebelum dikebumikan.