'Kau beli dulu kereta Wira buruk dik' - Lelaki bengang diberi layanan biadab oleh Sales Advisor


"Serious rude gila Sales Advisor ******* ********* ini," demikian luah Shafiq Iqwan di Twitternya yang kesal dilemparkan kata-kata seperti itu ketika mahu bertanya mengenai prosedur membeli kereta baharu. 

Menurut Shafiq, dia bersama dengan ibunya datang ke pusat jualan kenderaan jenama itu dan berhasrat mahu membeli kereta baru. Namun tidak menyangka, kakitangan yang melayani kehadiran mereka dengan kata-kata yang sepatutnya diucapkan oleh kakitangan terbabit. 

"Kau beli dulu kereta Wira buruk ke, Waja buruk ke dulu. Baru RM7,000-RM8,000 je dik. Nanti dah dapat kerja elok sikit,  baru datang balik jumpa akak."

Menceritakan semula apa yang berlaku, baca seterusnya di bawah: 


SEMALAM saya, mak dan adik saya pergi ke showroom ******* *********. Kononnya nak beli Myvi baru, tak pun Bezza. Jadi, saya ambil cuti dan mak saya pun ambil cuti. 

Mak saya duduk nun jauh di sana, di Batang Kali, Hulu Selangor. Saya duduk di Shah Alam. Dia datang semata-mata nak guarantorkan saya. 

Kami baru saja kehilangan seorang insan yang sangat penting, iaitu bapa saya, seminggu yang lalu. Al-fatihah. Jadi, ini adalah pertama kami buat kami nak berurusan membeli kereta apa semua. 

Jadi, saya siapakan semua dokumen yang penting termasuk dokumen mak saya bagi memudahkan pihak berkenaan kelak. 

Saya jemput mak saya di SS15 Subang dan terus pergi ke Glenmarie. Sebaik saja masuk ke showroom, memang tiada orang yang melayani kami. Saya mencari-cari juga siapa yang boleh melayani kehadiran kami dan datang seorang kakak ini bertanya, "Yes, ada apa?" 

Saya cakaplah, "Kami datang nak tanya tentang kereta." 

Dia tanya saya, "Nak beli kereta apa?". Jadi saya kata, nak beli Myvi 2018. Tapi Bezza pun okey juga sebab saya fikir, tak perlulah nak beria ambil Honda ke apa ke, sebab saya baru berumur 23 tahun. 

Dia pun mintalah dokumen apa semua dan saya pun tunjukkanlah. Nak tahu apa yang dia cakap? 

"Tengok pada payslip adik ini, kami memang terus reject saja," katanya. 

Saya punyalah sedih tak tahu nak cakap apa. Katanya lagi, saya nak beli Viva pun tak lepas. Korang rasa? Down ke tak saya? 

Saya pun tanya, berapa gaji basic untuk beli Bezza? Dia kata, basic gaji kena ada RM2,700 sebulan. 

Are you F*cking kidding me? Kalau basic RM2,700, orang tak datang beli Bezza. Baik orang beli Honda Jazz, tak pun Volkswagen. 

Kemudian dia kata, "Kau belilah Wira buruk dulu dik. Nanti dah dapat kerja bagus, baru datang balik jumpa akak." 

Weyh! Sumpah rude, depan mak saya pula dia berkata begitu. Awak kerja sales, saya pun kerja sales, sama-sama makan komisyen. Tetapi company saya tak ajar untuk biadab dengan pelanggan samapai begitu sekali. 

Daripada merendah-rendahkan saya, awak boleh saja cakap, "Akak cadangkan adik beli kereta secondhand dulu. Nanti adik dah stabil, baru beli kereta baru."

Sumpah awak kakitangan paling tak profesional. Kata kerja 12 tahun konon, patutlah 12 tahun masih duduk sebagai Sales Advisor. Orang lain kerja 12 tahun nak naik mencanaklah pangkat dia. 

Tetapi, bila mak saya tunjuk payslip dia sebab nak guarantorkan saya, barulah dia nak respect pelanggan. Bodoh, kan? Tapi saya orang yang tenang. Sebab apa? Sebab tenang is good. Jadi saya pun counter baliklah, apa lagi. Tetapi dengan cara sindiran. 

"Tak apalah kak, nanti say adah kaya, saya datang balik beli Bezza dari akak okey?"

Yelah, RM2,700 basic, fresh graduate mana yang dapat RM2,700 sebulan? Sumpah gila babi. 

Jadi saya ajak mak keluar dari situ. Mak saya marah sangat pada kakitangan terbabit yang melayani kami seperti orang datang meminta sedekah. 

Baru tanya Bezza dah kena pijak seperti itu. Belum saya tanya tentang Myvi lagi. Silap-silap mau dia ludah muka saya. Haihlah dunia. 

Jadi, saya nak berpesan kepada semua yang bekerja sebagai Sales Advisor, janganlah sesekali merendah-rendahkan pelanggan seperti itu sebab kita tidak tahu kemampuan atau tebal mana dompetnya. Kita sama-sama manusia, layanlah semua sebagai seorang manusia yang bertamadun. Jangan biadab sangat. Okey? Salam. 

Sumber: @ShafiqIqwan

'Saya takkan lepaskan isteri ketiga' - Lelaki nikah dengan budak 11 tahun pertahankan keputusannya


Lelaki yang berkahwin dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun tidak akan melepaskan isteri ketiganya itu walaupun menerima pelbagai desakan dan andaian kurang tepat berhubung perkahwinannya.

Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, berkata pernikahan dengan isteri ketiganya itu - yang dikenali sebagai Ayu - bukan kes dibawa lari, sebaliknya dipersetujui ibu bapa budak perempuan terbabit.

Malah katanya mereka hadir bersama ketika majlis pernikahan berlangsung di Sungai Golok, selatan Thailand pada 18 Jun lepas.

Katanya dia berjanji akan mendapatkan sijil nikah isterinya itu lima tahun lagi apabila mencapai usia 16 tahun sebelum mereka dapat tinggal bersama.

"Saya rasa kecewa apabila menerima pelbagai andaian dan tuduhan mengarut terhadap saya dalam media sosial kerana bernikah dengan isteri ketiga itu.

"Perkara itu sedang saya teliti untuk diambil tindakan undang-undang bagi menutup malu disebabkan tuduhan melampau dan tidak tepat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lalang, Kuala Betis, dekat Gua Musang hari ini.

​​​​​​​Che Abdul Karim mengakui sebelum bernikah dengan budak perempuan warga Thailand itu, dia terlebih dahulu menemui ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tinggal di Kampung Panggong Lalat untuk mendapatkan kebenaran.

Kaanya mereka bersetuju dengan syarat nikah gantung dahulu dan menunggu selama lima tahun lagi sebelum tinggal bersama.

"Saya pun tahu isteri ketiga ini baru berusia 11 tahun dan tidak bersekolah yang memerlukan masa sehingga umur 16 tahun untuk tinggal bersama dan Ayu juga bersetuju," katanya.

Nikah gantung bermaksud pernikahan yang berlaku antara sesuatu pasangan tetapi tidak duduk serumah dalam tempoh masa tertentu yang ditetapkan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.

Dia juga menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa rumah tangganya retak dengan dakwaan kononnya isteri pertama dan keduanya menuntut cerai.

Katanya kedua-dua isterinya tidak pernah menyuarakan tindakan itu dan turut menerima isteri ketiganya sebagai madu mereka.

Beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan tular di media sosial sejak Jumaat lepas selepas perkara itu dikongsikan oleh isteri kedua lelaki terbabit.

Berikutan penularan berita itu, pengguna laman sosial tindakan lelaki berkenaan dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku. - Bernama

BERITA BERKAITAN: 

Kecewa UMNO kekal pemimpin lama, Mas Ermieyati umum keluar parti


Bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bertindak keluar dari parti dan mengisytiharkan dirinya sebagai anggota parlimen bebas.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menjelaskan, tindakannya itu dibuat kerana kecewa dengan UMNO yang disifatkannya tidak berubah. 

"Oleh yang demikian, bermula 1 Julai 2018, dengan seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman, saya mengumumkan keluar daripada parti UMNO bersama-sama dengan pengikut setia saya dan saya akan menjadi ahli parlimen bebas. 

"...bagi maksud yang telah dinyatakan iaitu untuk menjadi ahli parlimen yang berperanan menegur dan menasihati pihak kerajaan sebagai 'check and balance' atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Harapan tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti. 

"... dan berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh parlimen yang efektif," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Difahamkan, Mas Ermieyati kecewa dengan keputusan pemilihan semalam yang menunjukkan reaksi sebenar ahli UMNO yang didakwanya masih berada dalam sindrom penafian. Malah, beliau percaya kepimpinan yang sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak UMNO dan beranggapan UMNO hanya mangsa kebencian rakyat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

"Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?

"Ikhlas saya katakan, Umno kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menyelar tindakan Mas Ermieyati itu sebagai mengkhianati UMNO dan rakyat yang mengundinya pada PRU14 lalu. 

"Dia perlu sedar bahawa dia dipilih untuk bertanding di atas tiket UMNO-BN dan undi yang diberikan kepadanya juga berdasarkan parti yang diwakili. 

"Bagi saya, dia telah mengkhianati UMNO yang memberi peluang kepada dia dan mengkhianati rakyat yang mengundi di Masjid Tanah. 

"Kalau dia benar-benar 'gentleman', dia kosongkan kerusi itu dan kita buat pemilihan semula dan dia boleh bertanding sebagai apa-apa parti.

"Kalau dia benar-benar rasa tidak berminat dengan UMNO, saya rasa dia boleh umumkan untuk letak jawatan sebagai ahli parlimen dan bertanding semula," katanya. 

'Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat jika UMNO hilang kuasa' - Najib minta rakyat tabah hadapi ujian Allah


Sudah tewas teruk di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan didakwa terlibat dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak mematahkan semangat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk melancarkan serangan terhadap Kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH). 

Dalam kenyataan Najib mendakwa Kerajaan mengetepikan agama Islam dan Bahasa Melayu, dan menegaskan bahawa orang Melayu tidak boleh mengharapkan kerajaan baru yang 'kekuatannya' datang daripada sokongan orang bukan Melayu. 

"Setakat ini, kerajaan PH mengizinkan pencabulan Bahasa Melayu, agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka. 

"Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika UMNO hilang kuasa. Kita sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah," tulisnya di Facebook malam tadi yang merujuk pada ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO pada Disember 2017 di mana dia memberi amaran bahawa orang Melayu akan kehilangan hak istimewa jika pembangkang berkuasa. 

Mengulas mengenai kepimpinan baharu dalam UMNO, Najib menggesa ahli-ahli UMNO meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan dalam usaha membina semula kekuatan parti Melayu itu. 

"Kita juga hendaklah belajar dari kesilapan lepas, kuatkan perpaduan dan kasih sayang sesama ahli UMNO.


"Kita hendaklah berhenti berbalah dan elakkan membuat tohmahan yang boleh menjejaskan perpaduan UMNO jika kita ingin memulihkan kekuatan parti dan mengangkat perjuangan agama, bangsa dan negara. 

"InsyaAllah dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih kepada parti, UMNO boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu," tulisnya.

'Kemenangan Zahid, tanda UMNO tidak mahu berubah' - Penganalisis


Pertandingan jawatan Presiden UMNO semalam berakhir dengan kemenangan selesa buat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hasan pula, diumumkan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula menang jawatan Naib Presiden dan 25 calon menganggotai Majlis Tertinggi UMNO. 

Namun pada pandangan penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, kemenangan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO yang ketujuh itu jelas menunjukkan bahawa akar umbi parti berkenaan tidak mahu berubah. 

Katanya, usaha UMNO untuk meraih kembali kepercayaan rakyat untuk menyokong UMNO semula juga dilihat sukar kerana akar umbinya masih mengekalkan orang lama dalam parti. 

"Hasilnya menunjukkan UMNO tidak mahu berubah, bahkan tidak dapat diperbaiki," katanya memetik laporan dari Free Malaysia Today

"Ahli UMNO masih mengikut apa yang pemimpin mereka mahu, termasuk Ketua Bahagian UMNO memberitahu mereka siapa yang harus dipilih," katanya lagi. 

Dari sudut lain pula, kemenang Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO ketujuh itu adalah satu berita baik buat Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerana kelemahan kepimpinan parti itu dapat dibaca oleh pihak kerajaan.