Anak mati kebuluran selepas dibiarkan 11 hari tanpa makanan, sementara ibunya berseronok dengan kekasih baru


Seorang ibu kejam dipenjara lapan tahun kerana membiarkan dua anaknya yang masih kecil kebuluran selama 11 hari, menyebabkan seorang daripadanya mati semata-mata mahu meraih wang hasil simpati orang ramai selain sibuk berseronok dengan kekasih baru.

Vladislava Trokhimchuk, 23, tidak menunjukkan kekesalan langsung ketika dijatuhkan hukuman, malah ketawa dan menepuk tangan ketika keputusan diberikan mahkamah.

Mail Online melaporkan Vladislava mengurung Anna, tiga, dan Danill, satu, di dalam bilik malah menyekat pintu menggunakan tuala supaya mereka tidak dapat keluar walaupun untuk mengambil makanan di dapur.

Akibatnya, kanak-kanak yang kebuluran itu terpaksa makan kertas dinding malah najis sendiri. Akibatnya, anak lelakinya Danill mati kebuluran manakala Anna terselamat kerana minum air dari pasu bunga, namun mengalami malnutrisi teruk ketika ditemui.

Dinding bilik berkenaan dipenuhi kesan gigitan kedua-dua kanak-kanak terdesak itu, malah mereka juga dipercayai cuba mencabut tikar getah untuk membuka pintu bilik berkenaan.

Bekas ibu mentua Vladislava yang menemui dua kanak-kanak itu.

Sementara itu, mahkamah diberitahu Vladislava sengaja mahu anaknya kebuluran dan menaikkan gambar di media sosial dengan mendakwa mereka mempunyai ketumbuhan yang mengancam nyawa, dalam usaha meraih wang daripada orang ramai, lapor akhbar Fakty.

Pendakwa dijangka merayu terhadap hukuman berkenaan, yang mencetuskan kemarahan orang ramai kerana dianggap terlalu ringan.

Sumber: Harian Metro

'Tindakan boikot barangan bukan Muslim adalah tindakan kurang bijak' - Mufti Perlis


Baru-baru ini, heboh di media sosial mengenai kempen memboikot perniagaan bukan Islam dan Bumiputera giat dilaksanakan di media sosial sehingga pelbagai senarai barangan dikongsikan agar pengguna mengetahui status produk tersebut dimiliki oleh siapa. 

Namun, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap tindakan itu sebagai tindakan yang kurang bijak kerana ia dilihat tidak adil terhadap masyarakat bukan Muslim yang tidak mempunyai niat permusuhan dengan orang Islam di negara ini. 

"Saya berpendapat memboikot barangan bukan Muslim bukan satu seruan yang bijak kerana meskipun jelas ketara sikap sebahagian daripada mereka (orang bukan Islam) khususnya ahli politik parti tertentu, tetapi bukan semua bersikap demikian. 

"Ada antara mereka yang baik dalam menjaga hubungan dan penghormatan mereka terhadap masyarakat Islam. Malah Islam juga tidak mengajar kita untuk memusuhi orang yang tidak memusuhi kita kembali," katanya. 

Bagi Mohd Asri, tindakan memboikot itu adalah tidak wajar kerana produk Bumiputera ketika ini tidak merangkumi keseluruhan keperluan harian masyarakat. 

Maka tindakan boikot itu sukar untuk berjaya jika pengguna masih bergantung kepada sumber produk bukan Muslim dalam sebahagian keperluan harian. 

Dr Asri percaya, kempen yang lebih baik dilakukan pada ketika ini adalah kempen membantu menjana ekonomi sesama Muslim kerana golongan anti-Islam memandang lekeh terhada masyarakat Islam kerana ekonomi merka lemah

"Kita mesti berikhtiar membantu dengan membeli dan mengutamakan produk Muslim selain berkongsi kepakaran dalam bidang ekonomi. 

"Orang Islam perlu mencari cara mengatasi kelemahan masyarakat Islam dalam menguasai rantaian bekalan utama," katanya. 


Sumber: FB Dr Asri

Fitnah tak jual produk Muslim & Bumiputera, Econsave buat laporan polis, beri tempoh 48 jam untuk minta ampun


Pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) semalam membuat laporan polis terhadap beberapa akaun Facebook yang dipercayai menyebarkan fitnah mendakwa pasar raya itu tidak menjual produk-produk Muslim dan Bumiputera.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam, yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada 1.15 tengah hari semalam, berkata pihaknya mengambil serius tuduhan fitnah terhadap Econsave di Facebook dua pihak berkenaan.

“Econsave merupakan salah satu pasar raya yang banyak menjual produk-produk Bumiputera dan Muslim seperti kicap Tamin, kicap Adabi, kicap Kipas Udang, produk Faiza, kicap Enaq, Minyak Saji dan banyak lagi produk-produk lain. 

“Selain itu, pihak Econsave juga menyertai program sesi padanan perniagaan anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang memberi platform kepada usahawan-usahawan bertemu dengan pasar raya-pasar raya besar dan peruncitan untuk memasarkan produk mereka,” kata beliau ketika dihubungi, di sini hari ini.

Selain itu, pihaknya turut memberi tempoh 48 jam kepada kedua-dua akaun Facebook itu untuk menarik balik dakwaan itu serta memohon maaf atas maklumat palsu yang ditularkan di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan laporan polis telah dibuat.

“Ada terima satu laporan dan ia dirujuk ke pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” kata beliau.

Sumber: Bernama

Putrajaya teliti cadangan tingkatkan had umur bersara dari 60 ke 65 tahun, netizen kata cadangan itu mengarut!


Putrajaya kini sedang meneliti cadangan untuk meningkatkan had umur persaraan mandatori daripada 60 ke 65 tahun seperti yang dilakukan di beberapa buah negara maju termasuk Singapura. 

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu termasuk mengenai permintaan kenaikan pemberian elaun khas kos sara hidup (COLA). 

Ditanya sama ada cadangan itu akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda, Kulasegaran berkata cadangan itu dilihat mampu memberi kebaikan kepada negara pada masa hadapan. 

"Negara ini kekurangan tenaga kerja dan bukannya kekurangan peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja asing disebabkan negara ini kekurangan tenaga kerja. 

"Kebanyakan kadar pengangguran di negara ini terdiri daripada golongan muda termasuk graduan yang baru menamatkan pelajaran," katanya. 

Bagaimanapun, majoriti netizen tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana berpendapat golongan muda juga perlu diberi peluang pekerjaan. 

Selain menegaskan cadangan itu mengarut, netizen turut menganggap umur 60 tahun sudah terlalu tua untuk berkhidmat dan umur yang afdal bagi kakitangan awam berpencen adalah 55 tahun. 

Sumber: Harian Metro

Tak dibayar gaji, pengawal keselamatan bunuh penyelia


Berang gaji tak dibayar, pengawal keselamatan bertindak memukul penyelia syarikat keselamatan sehingga mati semalam di Jalan 13/2 Petaling Jaya. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.18 petang lalu mengarahkan sepasukan polis ke lokasi. 

Sebaik tiba, polis menemui mayat lelaki berusia 54 tahun itu dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian di tandas pengawal keselamatan, dengan kesan darah dan muntah. 

Semakan pada video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dipukul berkali-kali dengan topi keledar oleh suspek yang dikenali sebagai Don pada jam 6.10 petang kelmarin.

"Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di premis itu dipercayai berang akibat tidak menerima gaji lalu bertindak memukul mangsa," katanya. 

Susulan kejadian itu, polis menahan tiga suspek yang dipercayai berkaitan dengan kes itu, dua daripada mereka adalah warga Nepal dan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 42 tahun. 

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan PPUM untuk dibedah siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Sumber: Harian Metro