'Nasib baik cikgu halang lelaki tu' - Anak nyaris diambil lelaki yang tidak dikenali


Baru-baru ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan ibu bapa atau penjaga tidak berkongsi gambar yang menunjukkan nama anak dan sekolah anak bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah. 

Perkara itu tidak mustahil kerana pada waktu ini masih ramai ibu bapa yang tidak peka dan memuat naik gambar anak-anak yang baru masuk persekolahan (Tahun 1) di media sosial masing-masing sebagai perkongsian bersama keluarga dan rakan-rakan. 

Dalam kes terbaru, seorang murid perempuan nyaris diambil oleh lelaki yang tidak dikenali. Mujur guru kepada murid berkenaan pantas menghalang muridnya daripada diambil lelaki itu.

ITU sebab aku tak share sangat pasal anak-anak aku dalam wall (media sosial) aku. Baik pergi sekolah atau ke mana-mana ke. 

Semalam terjadi satu peristiwa di mana ketika wife aku nak jemput anak aku seorang ini. Tiba-tiba entah mana seorang lelaki itu berpakaian smart nak menjemput anak aku. Dengan hanya terbalikkan namanya, rasanya try and error kot. 

Kebetulan wife aku di belakang dia, turut terdengar nama anak aku. Namun, nasib baik cikgunya mengenali wife aku. Yelah kan, sekolah baru, mana cikgu nak ingat semua muka mak ayah. Tapi sebab abang dia pernah belajar situ, jadi muka kami ini memang tidak asing bagi mereka. 

Cikgunya menahan dan berkata, "Awak bukan ibu bapanya". 

Fuh! Di situ kita nampak yang tanggungjawab guru sangat berat. Bukan hanya semasa waktu kelas, tetapi juga selepas kelas. 

Orang itu siap cakap, "Owh tersalah sekolah dan berlalu pergi.". 

Mana mungkin, banyak-banyak sekolah kau boleh tersalah dengan sebut nama murid boleh dikatakan 90 peratus betul. Cumanya terbalik je. 

Perkara ini dimaklumkan kepada guru besar sekolahnya untuk tindakan lanjut. Guru besar sangat terkejut dan memandang serius perkara ini. Aku juga berharap agar ibu bapa sentiasa berwaspada dengan perkara ini. 

Elakkan berkongsi nama anak, nama sekolah di media sosial. Macam-macam boleh terjadi. Mungkin bukan kerana budak, tetapi mungkin kerana perasaan lain terhadap mak ayah ke, boleh jadi. 

Sumber: Ihsan Zainal

Myvi terjunam dalam parit sawah, budak 2 tahun meninggal dunia


Sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki bersama penumpang wanita dan anak perempuannya terjunam ke dalam parit sawah di Jalan Titi Haji Idris, Alor Setar, hari ini dalam jam 7.40 pagi. 

Difahamkan, Myvi terbabit berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu wanita berusia 30-an. 

Bomba dan Penyelamat Alor Setar yang tiba di lokasi kejadian mendapati Myvi tersebut masih berada dalam parit dan pemandunya berusia 20-an patah paha kanan dan kaki kiri, manakala penumpangnya wanita berusia 20-an cedera. 

Ketiga-tiga mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Terdahulu, anak pasangan berkenaan, Nur Adreena Mohd Khairil Faizi, 2, mengalami cedera parah dihantar oleh orang awam ke hospital. Namun meninggal dunia ketika menerima rawatan. 

Pemergian Nur Adreena menyebabkan pasangan itu kehilangan satu-satunya anak mereka. 

Datuk mangsa, Abdul Kadir Saad, 70 berkata, dia tidak sempat bermain dengan cucunya sebelum tiga beranak itu keluar menuju ke rumah besannya. 

"Selalunya kalau mereka nak keluar rumah, saya sempat lagi bermain dengan cucu tapi hari ini lepas Subuh, saya terlelap sampailah orang kampung datang rumah beritahu anak menantu dan cucu kemalangan," katanya. 

Jenazah Nur Adreena telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Kampung Tengah, Tualang pada jam 4 petang hari ini. 

Sumber: Harian Metro

'Saya dilihat banyak timbulkan krisis terutama isu tulisan Jawi' - Dr Maszlee letak jawatan sebagai Menteri Pendidikan


Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan yang akan berkuat kuasa mulai esok, selepas mendapat nasihat dari Perdana Menteri. 

"Saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020. 

"Keputusan ini dibuat selepas saya dilihat bukan melalui pencapaian. Kementerian Pendidikan sering menjadi perhatian terutama media bukannya melalui pencapaian kita, apa yang berlaku selama 20 bulan ini yang tidak dicapai pada tahun (kepimpinan) sebelum ini. 

"Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma dan saya percaya keputusan ini bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu," katanya pada sidang media khas yang diadakan di kementeriannya hari ini. 

Maszlee juga kesal, banyak perubahan dan pencapaian yang baik dalam tempoh 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan, malangnya tidak dijadikan sebagai tajuk utama oleh pihak media yang lebih gemar menggunakan tajuk sensasi dan kerap menyiarkan laporan isu sensitif dan sengaja diperbesarkan menjadi pilihan utama sehingga menampakkan dirinya sebagai menteri yang banyak menimbulkan banyak krisis. 

"Bukan mudah untuk seorang yang tiada latar belakang politik dan seorang daripada aliran akademik diberikan peranan mengemudi kementerian sebesar ini, yang mana jika kital ihat lebih dihujani isu politik berbanding isu pendidikan semasa. 

"Malah pada hari pertama dilantik, saya sudah jangka akan banyak kontroversi muncul dalam tempoh peralihan kepimpinan negara yang kini, begitu banyak ruang kebebasan dan ruang untuk semua pihak utara, bawa dan melobi kepentingan dan agenda mereka yang ingin dibawa dalam sistem pendidikan negara," katanya. 


Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan menerima surat perletakan jawatan Maszlee. 

"Saya menerima peletakan jawatan itu berkuat kuasa 3 Januari 2020. Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet. 

"Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi," katanya.

61 remaja bermain basikal lajak di Dataran Merdeka sampai 'terlajak' ke balai


Polis menahan 61 remaja yang menyambut tahun baru dengan memperagakan basikal lajak masing-masing di Dataran Merdeka malam tadi. 

Ketika ditahan, ada beberapa remaja yang cuba melarikan diri kerana panik melihat kehadiran polis. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, Op Ambang Tahun Baru itu bermula sejak jam 12.30 tengah malam berjaya menahan 61 remaja terbabit termasuk seorang perempuan berusia 11 hingga 16 tahun. 

Sebelum ditahan, sekumpulan remaja itu berlegar-legar tengah jalan di Dataran Merdeka dan sebaik menyedari kehadiran polis, mereka terus melarikan diri dengan meninggalkan basikal masing-masing di tengah jalan. 

Sebanyak 69 basikal lajak yang tidak mempunyai lampu depan dan belakang serta tiada loceng, dirampas. 

Remaja yang ditahan kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan ibu bapa mereka dipanggil datang ke balai. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sekumpulan remaja itu disaman mengikut Kaedah 42(1) LN 166/59. 

Sumber: Harian Metro

'Saya dah penat nak uruskan dia' - Ibu bunuh anak perempuannya yang lumpuh & alami masalah gangguan jiwa


Kebanyakan ibu di luar sana tidak akan tergamak untuk menyakiti anaknya sendiri, apatah lagi melihat badan anak tercalar, pasti membuatkan si ibu berasa sedih. 

Tetapi bagi si ibu ini pula lain. Dia tergamak menamatkan riwayat darah dagingnya sendiri kerana tidak dapat menerima anaknya lumpuh, selain mengalami gangguan jiwa. 

Lasi, 63, dari Jawa Timur, Indonesia, membunuh anak perempuannya, Putri Ulandari, 18, dengan alasan yang tidak masuk akal itu. 

Dalam pengakuannya, Lasi berkata dia berasa penat menguruskan anaknya yang telah lama lumpuh dan mengalami masalah jiwa itu. 

Kejadian itu berlaku di rumahnya sendiri di mana Lasi melemaskannya di bilik tidur. 

Perbuatan suspek terbongkar selepas kakak mangsa, Rini, berasa curiga dengan adiknya itu sudah tertidur tanpa minum ubat penenang di mana selama ini mangsa perlu minum ubat tersebut kerana mengalami masalah gangguan jiwa. 

Ketika masuk ke bilik mangsa, Rini mendapati adiknya terbaring di atas katil dan berselimut. Selain itu, Lasi juga berada di sebelah mangsa. 

Rini curiga melihat banyak kesan darah pada selimut, lalu memberanikan diri membukanya dan ternyata darah itu dari Putri yang sudah meninggal dunia. 

Rini terus keluar dari rumah meminta bantuan dari jiran yang kemudian melaporkan kepada pihak polis. 

Bertindak di atas laporan, polis telah menahan suspek dan beberapa barang bukti seperti pisau, selimut dan pakaian mangsa yang berlumuran darah.

Sumber: Sosok