Kantoi main bini orang, suami cekup kekasih isterinya sorok bawah katil & dibelasah sampai mati


Soroklah macam mana pun kecurangan itu pasti akan terbongkar juga suatu masa nanti. Apatah lagi jika kecurangan itu dilakukan oleh mereka yang sudah berkahwin. Sudah tentu cepat terbongkar kerana pasangan dapat menghidu bau-bau kecurangan itu. 

Seorang lelaki berusia 21 tahun yang hanya dikenali sebagai 'GA' mati dibelasah penduduk selepas kantoi menjalinkan hubungan dengan isteri orang. 

Dalam kejadian yang berlaku di Kecamatan Kupang Timur, Indonesia, GA dipukul selepas didapati bersembunyi di bawah rumah kekasihnya. 

"Lelaki itu pada awalnya disangka pencuri ketika ditemui di bawah katil, lalu dibelasah penduduk sehingga mati," kata polis. 


Menurut polis, GA menyelinap masuk ke rumah pasangan itu ketika bekalan elektrik terputus. Sebaik saja bekalan elektrik kembali pulih, AB dan isterinya, MD masuk semula ke dalam bilik untuk tidur. 

Baru saja hendak melelapkan mata, tiba-tiba botol yang dijadikan sebagai tempat untuk meletak lingkaran ubat nyamuk, terjatuh berguling ke bawah katil. 

AB segera turun dari tempat tidur untuk mengambil botol itu dan ketika itulah AB terkejut apabila mendapati ada seorang lelaki berada di bawah katil dan secara spontan dia berteriak ada pencuri di dalam rumah. 

GA yang ketakutan terus berlari keluar dari bilik dan sempat melanggar MD yang berdiri di depan pintu bilik. 


Ga kemudian lari ke jalan raya. AB terus mengejar GA menggunakan motosikal dan berjaya menangkap lelaki itu lalu dibawa semula ke rumahnya. 

Ketika disoal siasat AB dan penduduk, ternyata GA merupakan kekasih kepada MD. Dakwaan itu terbukti benar dengan rakaman perbualan di antara GA dan MD di mana GA menghubungi MD untuk bertemu di rumah. Tetapi MD melarangnya berbuat demikian kerana di rumah ada mertua dan suaminya akan pulang pada bila-bila masa. 

Tetapi GA tidak mengendahkan larangan itu dan dia nekad juga pergi ke rumah kekasihnya dan akhirnya disembunyikan di bawah katil. 

Selesai disoal siasat, GA dibelasah teruk oleh penduduk sehingga kritikal. GA sempat dibawa polis ke hospital tetapi nyawanya tidak sempat diselamatkan. 

Keluarga GA tidak dapat menerima kenyataan itu, terus membuat laporan polis. Sehingga kini, polis telah menyoal siasat 10 suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu. 

Sumber: Kompas

30 tahun gunakan batu sebagai penyendal pintu, rupanya batu tu bernilai RM410,000!


Seorang lelaki di Michigan baru menyedari bahawa selama ini dia menyimpan batu meteor bernilai RM410,000.

Batu itu selama ini hanya digunakan sebagai penyendal pintu selama 30 tahun. 

Lelaki yang tidak ingin didedahkan identitinya itu berkata, dia berjumpa dengan Mona Sirbescu, Profesor dan Ahli Geologi di Universiti Central Michigan untuk memeriksa batu tersebut. 

"Batu itu adalah batu yang paling berharga yang saya pernah pegang seumur hidup. Berharga dari segi ekonomi dan sains," katanya memetik dari portal Newsweek. 

Difahamkan, pada 1988, lelaki itu membeli tanah pertanian di Edmore, 48 kilometer dari barat daya Mount Pleasant. 


Batu itu diberikan oleh seornag penjual hartanah yang mendakwa melihat ada meteor jatuh dari langit di tanah itu pada tahun 1930-an.

Beberapa tahun kemudian lelaki itu pindah ke tempat lain dan batu tu masih disimpan. Dia tidak mengetahui bahawa batu itu berharga setelah melihat ada meteor melintas di langit Michigin pada Januari, yang menyebabkan gempa bumi kuat, menurut US Geological Survey. 

Ketika menunjukkan batu itu kepada Mona, profesor itu terus mengetahui bahawa batu itu adalah batu istimewa. 

Setelah diuji, Mona mendapati batu meteor itu mengandungi 88 peratus nikel besi dan 12 peratus nikel yang jarang ditemui di bumi. 

Sumber: Newsweek

Pelanggan mengamuk tak nak bayar nasi goreng, serang pemilik warung dengan parang tetapi mati akibat 'kecuaian diri'


Seorang pemilik warung makan di Medan, Indonesia ditahan polis kerana didakwa membunuh pelanggannya pada Rabu 29 Januari 2020.

Terdahulu, mangsa, Abadi Bangun, datang ke warung milik Mahyudin, bersama rakannya dan memesan nasi goreng. 

Namun setelah habis menjamah makanan itu, mereka berdua tidak membayar menyebabkan pekerja warung melaporkan kepada majikannya. 

Bengang dengan tindakan pekerja itu, mangsa mengamuk dan merosakkan beberapa barangan di warung tersebut sebelum kedua-duanya beredar. 

Tidak beberapa lama kemudian, mangsa dan rakannya kembali dengan membawa sebilah parang. 

Melihat kejadian itu semakin tidak terkawal, Mahyudin cuba menenangkan dua lelaki itu. Tetapi Abadi memilih untuk menghayunkan parang itu ke arah Mahyudin dan berjaya ditangkis. 

Oleh kerana tidak mahu mati di tangan lelaki itu, Mahyudin segera mengambil kayu dan memukul Abadi dan turut dibantu oleh pekerjanya, sehingga terkulai layu. 

Rakan mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri untuk mencari bantuan. 

Kira-kira jam 2.30 petang, rakan mangsa datang bersama dua lagi lelaki lain dan terus membawa mangsa ke hospital. 

Tiba di hospital, mangsa disahkan sudah meninggal dunia. 

Berdasarkan pemeriksaan, mangsa mengalami luka di bahagian kepala, lebam di perut dan mulut serta telinganya mengeluarkan darah. 

Ekoran kejadian itu, polis menahan pemilik warung dan dua pekerja terbabit untuk siasatan lanjut. 

Ketiga-tiga suspek akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh. 

Sumber: Sosok

Kucing & anjing dicampak dari apartmen kerana disyaki menyebarkan koronavirus


Viral beberapa gambar di media sosial yang menunjukkan beberapa haiwan peliharaan terbaring tidak bernyawa di jalan raya di China. 

Seekor anjing ditemui mati dipercayai dicampak dari bangunan kediaman di Bandar Tianjin, Hubei - antara kawasan yang terjejas akibat wabak koronavirus. 

Lima ekor kucing juga ditemui mati di Shanghai dan menurut penduduk di situ, kucing-kucing itu merupakan haiwan peliharaan. 


Media tempatan melaporkan, seekor anjing berwarna putih dicampak dari tingkat atas pada jam 4 pagi lalu menghentam sebuah kereta sebelum terjatuh ke atas jalan. 

Bunyi dentuman kuat itu mengejutkan para penduduk yang menyangka bunyi itu datang dari tayar meletup.  Setelah diperiksa, mereka menemui anjing tersebut yang mati akibat kecederaan parah. 


Terdahulu dalam satu temubual di program TV China, Dr Li Lanjuan berkata, haiwan peliharaan pesakit yang disyaki positif koronavirus juga perlu dikuarantin. 

Malangnya, media tempatan membuat kenyataan yang tidak tepat kononnya kucing dan anjing boleh menyebarkan koronavirus, lalu tersebar meluas di media sosial. 

Bagi menghentikan penyebaran berita palsu itu, stesen TV China mengeluarkan kenyataan dari WHO, "Tiada bukti yang menunjukkan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing boleh menyebarkan koronavirus." 

Sementara itu, PETA Asia yang berpangkalan di China berkata, "Kami berharap polis menahan pemilik haiwan peliharaan itu dan dikenakan tindakan tegas. 

Sumber: The Sun

Remaja & bayinya maut, dipercayai terjun dari tingkat 6 bangunan hospital


Seorang remaja perempuan bersama dengan bayinya yang baru berusia lima bulan maut dipercayai terjun dari tingkat enam bangunan hospital di Lahad Datu hari ini. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.30 pagi tadi, mangsa berusia 16 tahun dan bayinya meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan. 

Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, siasatan awal mendapati bayi kepada remaja itu menerima rawatan di hospital tersebut selama 11 hari akibat jangkitan kuman di paru-paru. 

Setelah pernafasan bayi berkenaan kembali normal, doktor mengarahkan jururawat menanggalkan oksigen pernafasan sebelum mangsa mendukung anaknya itu di kawasan wad. 

Tidak lama kemudian, remaja itu meminta kebenaran jururawat untuk pergi ke tandas. 

Mayat dua beranak itu kemudian ditemui di tingkat bawah oleh pengawal keselamatan.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Sumber: Berita Sabah