(Video) Remaja ditembak mati ketika bermain di balkoni, 20 minit selepas perintah berkurung dilaksanakan


Polis menembak mati seorang remaja lelaki berusia 13 tahun kerana bermain di balkoni rumahnya, 20 minit selepas Kerajaan Kenya menguatkuasakan perintah berkurung pada waktu malam. 

Yasin Moyo, ditembak di bahagian perut di rumah keluarganya di Kiamaiko, Nairobi, pada jam 7.20 malam, Isnin, kata pekerja hak asasi manusia. 

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, awal Selasa lalu. 


Kejadian itu mengundang banyak reaksi rakyat di negara itu yang juga mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan. 

Pengarah Pendakwaan Kenya mengarahkan siasatan ke atas kematian remaja itu dibuat di mana dia percaya mangsa maut akibat peluru sesat. 

Statistik terkini menunjukkan Kenya hanya mencatatkan 50 kes Covid-19 dan satu kematian akibat wabak tersebut. 

Rakyat dilarang keluar dari kediaman masing-masing bermula jam 7 malam sehingga 6 pagi. 


Juga viral di media sosial pihak polis Kenya menggunakan rotan, anjing untuk menghukum individu yang tidak mematuhi perintah berkurung tersebut.

Seorang penunggang motosikal, Hamisi Juma Idd, yang menjalankan perkhidmatan seperti Gojek dilaporkan meninggal dunia kerana dipukul teruk oleh anggota polis di Nairobi, minggu lalu. 

Menurut saudara mangsa, Hamisi ketika itu baru selesai menghantar seorang wanita hamil ke hospital berdekatan pada jam 7 petang sebelum didatangi oleh pihak polis yang menyerangnya. 

Mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah. 

Sumber: Daily Mail

Malaysia gesa wanita pakai make up & tidak meleter suami ketika tempoh PKP, jadi bahan berita antarabangsa


Kerajaan Malaysia menasihatkan golongan wanita memakai make-up dan tidak meleter suami ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dituduh sebagai seksis. 

Terdahulu, kerajaan Malaysia telah mengarahkan 32 juta rakyatnya untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 2,700 individu. 

Dalam pada itu, Kementerian Wanita telah berkongsi tips bagaimana isteri perlu menjaga kelakuan mereka ketika tempoh PKP. 

Salah satu gambar menunjukkan sepasang suami isteri sedang menyidai pakaian dengan kapsyen menasihatkan golongan isteri tidak meleter suami. Sebaliknya, mengajar suami menyidai pakaian dengan meniru nada suara watak kucing robot popular Jepun, Doraemon. 

Malah, wanita yang bekerja di rumah juga dinasihatkan untuk memakai make-up dan pakaian kemas berbanding memakai pakaian biasa.

Selain itu, wanita perlu menjaga kekemasan dapur dan ruang tamu ketika tempoh PKP. 



Bagaimanapun, post itu telah dipadamkan semalam selepas mendapat banyak kecaman dari pelbagai pihak yang menuduh nasihat kerajaan itu berunsur seksis. 

"Dah tahun 2020, tolonglah fokus kepada perkara yang lebih penting untuk wanita," kata netizen. 

Sumber: Daily Mail

'Kenapa diorang masih tak serik?' - China kembali jual kelawar di pasar selepas berjaya 'tewaskan' Covid-19


Anjing dan kucing ditangkap, disumbat dalam sangkar besi. Burung kelawar dan kala jengking pula dijual untuk kegunaan perubatan tradisional. Arnab dan itik disembelih dan lantai dipenuhi dengan darah serta anggota badan haiwan tersebut. 

Begitulah keadaan di China selepas mereka meraikan 'kemenangan' selepas mendakwa berjaya menewaskan wabak Covid-19. Premis menjual daging-daging haiwan eksotik turut kembali beroperasi selepas tiga bulan berdepan dengan pandemik itu, langsung tiada usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang. 


Wabak Covid-19 yang bermula dari Wuhan, memaksa China untuk melaksanakan perintah berkurung. Namun Ahad lalu menyaksikan ramai penduduk di Wuhan berpusu-pusu membaziri pasar tertutup di Guilin, yang banyak menjual pelbagai jenis daging haiwan eksotik. 

Sementara itu di pasar lain di Dongguan, selatan China, penjual ubat membuka semula premis peniagaan dan mempromosikan jualan burung kelawar, kala jengking dan beberapa lagi haiwan yang lain. 


'Pemandangan' yang mengejutkan itu berlaku selepas China menamatkan perintah berkurung dan mengalakkan orang ramai kembali menjalani kehidupan seharian yang normal untuk meningkatkan ekonomi negara. 

Pasar di Guilin sesak dengan kehadiran pelanggan yang mahu membeli daging anjing dan kucing. 

Ramai di kalangan mereka percaya bahawa wabak itu sudah berakhir dan tiada apa yang perlu dibimbangkan lagi. 

Pasar berkenaan kembali beroperasi seperti biasa sebelum mereka dilanda wabak tersebut. Apa yang berbezanya ialah, pengawal keselamatan kini menghalang orang awam dari merakam gambar di pasar tersebut yang mana tidak pernah dilakukan sebelum ini. 


Kes pertama Covid-19 dikesan di pasar Wuhan tetapi disorok oleh kerajaan selama berminggu-minggu. Ini termasuk Dr Li Wenliang yang cuba mendedahkan perkara itu turut 'dikunci mulutnya' oleh pihak berkuasa, sebelum beliau meninggal dunia akibat Covid-19. 

Pada masa ini, selepas penurunan drastik kes Covid-19 di negara itu, China mula mempromosikan teori konspirasi bahawa wabak itu tidak bermula dari negaranya. Malah mendakwa wabak itu bermula dari Itali yang dikesan dari November 2019. 

Pegawai=pegawai kerajaan China juga mempromosikan teori konspirasi yang tidak berasas dengan mendakwa bahawa tentera Amerika Syarikat yang membawa virus tersebut ke pantai.

Sumber: Daily Mail

'Kalau nak puasa, nak raya, patuhi PKP'


Kerajaan menasihatkan rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya mahu kembali menjalani kehidupan seharian seperti biasa dan menyambut puasa serta Hari Raya Aidilfitri. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pematuhan terhadap PKP adalah penting bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan sekiranya gagal, kerajaan terpaksa melanjutkan lagi PKP untuk fasa ketiga, keempat dan seterusnya. 

"Ramai yang bertanya adakah PKP yang kedua ini akan diteruskan menjadi PKP ketiga dan keempat. 

"Adakah bulan puasa nanti PKP akan terus dilaksanakan? Bolehkah kita berhari raya dan menjalani kehidupan seperti biasa.

"Jawapannya hanya tuan puan yang boleh memastikan tiada PKP ketiga, keempat, kita boleh berhari raya seperti biasa (atau tidak), semua bergantung kepada tuan dan puan sendiri. 

"Jika kita terus mematuhi setiap arahan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan, saya percaya ketakutan kita untuk sambungan PKP akan dapat diselesaikan," katanya. 

Dalam pada itu, Ismail turut mendedahkan di mana seramai 742 individu telah ditahan dalam sekatan jalan raya dan rondaan polis dan tentera pada Isnin lalu kerana didapati melanggar PKP.

Sumber: Harian Metro

Golongan berusia 26-30 & 56-60 paling tinggi kes Covid-19


Statistik menunjukkan dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif COVID-19 adalah dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun dan 56 hingga 60 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua kumpulan itu mungkin terdiri daripada pelajar Malaysia yang belajar di luar negara dan ketua keluarga yang sering keluar membeli barangan keperluan rumah. 

"Faktor yang pertama yang muda itu, kami rasa mungkin daripada pelajar atau mereka yang kembali dari luar negara. Ataupun sering keluar walaupun Perintah Kawalan Pergerakan, mereka keluar dan bergaul. 

"Kategori kedua pula peringkat ketua rumah yang selalunya keluar untuk membeli barangan dan sebagainya. Jadi dijangkiti apabila mereka keluar," katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham ditanya mengenai prosedur operasi standard bagi tempoh kuarantin selama 14 hari kepada rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara, seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Jelasnya, tempoh kuarantin yang akan berkuat kuasa 3 April ini akan dilaksanakan terhadap kesemua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara meskipun mereka negatif COVID-19 apabila disaring.

"Selepas ini, mereka yang negatif COVID-19 pun kami akan tempatkan di tempat khas yang disediakan, sekiranya positif COVID-19 memang akan dimasukkan ke hospital.

"Kami dah kenal pasti 334 pusat kuarantin di seluruh negara. Kami tengah lihat kalau kuarantin di rumah, mungkin kepatuhan (untuk kuarantin) mereka kurang, mungkin tercapai dalam 75 hingga 40 peratus sahaja," katanya dan menambah proses kuarantin ini dapat membendung penularan wabak COVID-19.

Ismail Sabri hari ini berkata mereka yang kembali dari luar negara akan dibawa terus menggunakan bas ke pusat kuarantin dan akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengetahui status kesihatan, sebaik tiba di lapangan terbang.

Sumber: Bernama