Lelaki cedera dilibas dengan pisau dapur oleh bapa tirinya kerana tak flush toilet dengan betul


Seorang lelaki berusia 36 tahun telah diserang dengan pisau oleh bapa tirinya berusia 65 tahun kerana tidak membersihkan tandas dengan betul selepas menggunakannya. 

Difahamkan, mangsa mula bertengkar dengan pesara itu selepas suspek menegur tabiat buruknya itu dan menyumpah seranah ibu mangsa. 

Suspek mendakwa ibu mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lebih 20 orang lelaki sebelum menyerang mangsa secara tiba-tiba menggunakan pisau dapur. 

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami luka sedalam 15 sentimeter di telinga kanan dan muka. Tangan mangsa juga cedera ketika dia cuba mengelak serangan dari suspek. 

Suspek telah ditahan polis dan siasatan sedang dijalankan. 

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 1 Mei di selatan barat bandar Chongqing, China. 

Mangsa dalam keterangannya berkata, dia 'flush' tandas dengan betul selepas menggunakannya tetapi adakalanya tangki air tandas itu tidak berfungsi dengan baik. 

Pada awalnya, mangsa tidak mengendahkan teguran suspek. Keadaan itu menjadi semakin teruk apabila suspek menuduh ibu mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lebih 20 orang lelaki. 

"Dia libas pisau kat saya empat kali. Saya cuba melindungi diri dengan cerek. Tetapi ketika dia melibas pisau kali ketiga, cerek pula rosak dan tangan saya pun cedera," katanya. 

Sumber: Daily Mail

(Video) 'Kau ingat kau kucing, aku takleh hempuk?!' - Selebriti maki kucing diselar netizen


Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) meluahkan rasa kesal terhadap tindakan kurang cerdik seorang selebriti tanah air yang memaki hamun beberapa ekor kucing peliharaannya. 

MAA dalam kenyataannya semalam berkata, tindakan individu itu bukan sahaja boleh menakutkan kucing, malah perbuatan itu adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 29 (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan Seksyen 44 (1) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

"Hamun haiwan walau untuk apa niat dan tujuan sekali pun bakal mengundang ketakutan dan stress terhadap haiwan. 

"Kucing tidak akan mendapat mesej daripada maki hamun begini. Sebaliknya perbuatan itu hanya memeranjatkan dan menakutkan kucing. 

"Kata cacian, hamun dan makian secara jerkah begini tidak sesuai dihamburkan kepada binatang seperti kucing walaupun tujuannya adalah pendidikan. 

"Perbuatan menakutkan haiwan adalah satu kesalahan dan hukuman menanti pelaku berkenaan adalah sama seperti mencederakan atau membunuh haiwan dengan sengaja," kata kenyataan itu. 

Satu aduan juga telah dibuat berhubung insiden itu untuk tindakan pihak berkuasa. 


REAKSI NETIZEN



Bagaimanapun, selebriti berkenaan memuat naik tweet terbaru dengan kenyataan permohonan maafnya.

"Maaf terbuka ya! Khasnya kepada persatuan haiwan Malaysia! Diva AA? Bergurau jer! Opp kozzz I love all my cats!" katanya.


Sumber: Persatuan Haiwan Malaysia

'Saya bersedia untuk didakwa' - Langgar PKP, Nurulhidayah didakwa di mahkamah esok


Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff, akan didakwa di mahkamah Selasa ini kerana didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, "Keputusan telah dibuat oleh pihak Jabatan Peguam Negara. Dia (Nurulhidayah) akan dituduh pada Selasa ini di Mahkamah Kuala Lumpur".

Terdahulu, Nurulhidayah memuat naik gambar pertemuannya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad, bersama suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff. 

Selain itu, Nurulhidayah turut memuat naik gambar bersama dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.


Dua gambar itu mengundang rasa tidak puas hati netizen yang mendakwa Nurulhidayah dengan jelasnya melanggar PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu. 

Mengetahui dirinya menjadi bualan netizen, Nurulhidayah mencabar netizen untuk membuat laporan polis terhadapnya. Malah sempat memuat naik kenyataan berikut di Instastorynya.


Dalam kenyataan Nurulhidayah yang disiarkan MalaysiaKini, dia memaklumkan bahawa dia sebenarnya mempunyai permit pergerakan daripada polis untuk menghadiri pertemuan itu ketika PKP. Tambahnya, pertemuan dengan dua individu berkenaan dibuat berdasarkan temu janji dan jemputan. 

"Saya bersedia untuk didakwa dan akan memohon maaf di atas kesilapan saya di mahkamah," katanya.

Sumber: MalaysiaKini

Paip peecah, 40 kawasan di Bandar Bukit Puchong alami gangguan bekalan air


Beberapa kawasan di Bandar Bukit Puchong di Wilayah Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air berikutan paip pecah di pintu masuk Apartment Baiduri Court, Bandar Bukit Puchong 2.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kerja pembaikan paip pecah tersebut tidak dapat disiapkan seperti yang dijadualkan pada 10 malam tadi kerana kedalamannya melebihi lapan meter yang memerlukan kerja pengukuhan ruang pembaikan dilakukan terlebih dahulu.

Beliau menjelaskan kerja-kerja pengorekan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat.

“Insiden paip pecah ini pada awalnya telah menyebabkan gangguan bekalan air di 40 kawasan, seperti yang telah dimaklumkan di aplikasi Air Selangor pagi tadi.

“Bagaimanapun, setelah bekalan air alternatif berjaya disalurkan dari sumber lain, kawasan gangguan bekalan air tidak berjadual ini telah berjaya dikurangkan kepada 17 kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Air Selangor menjangkakan pemulihan sepenuhnya bekalan air di kawasan terjejas pada 6 petang hari ini.

Air Selangor juga telah menggerakkan lori-lori tangki di Bandar Bukit Puchong bagi membantu pengguna yang terjejas.

Menurutnya, Air Selangor akan terus menyalurkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Sumber: Bernama

Sektor Awam akan mula beroperasi mulai 4 Mei


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja pada hari ini memaklumkan, sektor awam akan mula beroperasi mulai 4 Mei 2020.

Bagaimanapun, beliau mengalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah dan semua Ketua Jabatan perlu berbincang bagi menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah. 

"Sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei 2020, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

"Mesyuarat juga digalakkan diadakan secara online menggunakan medium yang selamat. Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

"Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah," katanya.