43 kes baharu positif Covid-19, 1 kematian


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 43 kes positif Covid-19 baharu.

Daripada jumlah tersebut lima merupakan kes import, manakala 38 lagi kes merupakan kes penularan tempatan. 

Jumlah itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah 8,445 kes. 

Dalam pada itu, satu kes kematian direkodkan dan jumlah keseluruhan kematian adalah sebanyak 120. 

Empat lagi kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes sembuh pula mencatatkan sebanyak 143 dan jumlah kes sembuh adalah 7,311. 

Budak 6 tahun mati kebuluran selepas dikurung dalam almari selama 16 jam kerana mencuri makanan


Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mati kebuluran selepas dikurung dalam almari oleh keluarganya dan tidak diberi makanan. 

Menurut laporan bedah siasat, mayat mangsa, Deshaun Martinez, hanya mempunyai berat badan 8 kilogram berbanding 20 kilogram bagi kanak-kanak di usia tersebut. 

Ibu bapa mangsa, Elizabeth Archibeque dan Anthony Martinez serta neneknya, Ann Martinez telah didakwa di atas tuduhan membunuh, menculik dan mendera mangsa. 

Pada kejadian Mac lalu, polis menerima panggilan kecemasan dari keluarga berkenaan selepas Deshaun tidak sedarkan diri. Ibu bapa mangsa memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa Deshaun mempunyai masalah kesihatan. 

Bagaimanapun, ibu bapa Deshaun dalam keterangan kepada penyiasat mengaku telah mengurung mangsa dan abangnya di dalam almari selama 16 jam serta hanya memberi sedikit makanan. 

Polis berkata, dua beradik itu dikurung dalam almari sebagai hukuman di atas perbuatan mencuri makanan ketika ibu bapa mereka sedang tidur. 

Laporan bedah siasat juga mengatakan, Deshaun mempunyai sejarah kesihatan yang menunjukkan mangsa mengalami masalah untuk meningkatkan berat badan dan pernah dimasukkan ke hospital selama dua minggu kerana jangkitan di bahagian urinari. 

Elizabeth memberitahu, Deshaun telah diberi makan banyak tetapi berat badannya masih gagal meningkat. 

Pemeriksa Perubatan, Lawrence Czarnecki mengesahkan Deshaun mati akibat kelaparan yang sekaligus menjadi kes bunuh di mana keadaan mangsa sangat kurus sehingga menampakkan tulang kerangka dan hampir tiada lemak badan, selain matanya tenggelam dan mempunyai lingkaran hitam. 

Elizabeth dan Anthony serta Ann Martinez bagaimanapun tidak mengaku bersalah di atas semua pertuduhan tersebut. 

Sumber: Metro.uk

Tidak perlu Social Distancing dalam pesawat, risiko jangkitan adalah sangat rendah - AirAsia


Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak mewajibkan penjarakan sosial dalam penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Riad Asmat.

Beliau berkata menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti telah menunjukkan risiko jangkitan dalam pesawat adalah sangat rendah.

“Pesawat telah dilengkapi dengan ciri-ciri yang dapat mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat seperti penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) yang memastikan udara dalam pesawat sentiasa bersih.

"Tahap kebersihan ini setaraf dengan kualiti udara dalam bilik pembedahan di hospital," katanya kepada Bernama.

AirAsia turut menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik susulan pengumuman perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) baru-baru ini, serta insentif seperti pelepasan cukai pendapatan RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik hingga Disember 2021, katanya.

“Berpegang teguh kepada slogan kami, ‘now everyone can fly’, kami dengan besar hati menyokong usaha kerajaan dengan melancarkan pas tanpa had untuk merangsangkan dan menghidupkan semula pelancongan domestik Malaysia,” katanya.

Pada 7 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran yang dibenarkan kepada rakyat di bawah PKPP termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun.

Susulan itu, AirAsia melancarkan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia untuk merangsangkan dan merancakkan semula pelancongan domestik Malaysia bagi menyokong usaha kerajaan.

Pas bernilai bersih RM399 tersebut tersedia untuk semua ahli AirAsia BIG yang berpangkalan di Malaysia untuk membeli di airasia.com/deals atau menerusi aplikasi mudah alih AirAsia (di bawah pautan Tawaran) mulai 11 Jun hingga 15 Jun, 2020.

Pemegang pas boleh menebus perjalanan tanpa had bagi tempoh perjalanan domestik 25 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021.

Sekiranya terdapat perubahan rancangan perjalanan, fleksibiliti yang lebih baik turut disediakan untuk pelanggan yang melakukan perjalanan hingga 31 Dis 2020 dengan mengetepikan biaya pertukaran penerbangan.

Sumber: Bernama

Lelaki Pakistan tawar servis gunting rambut dari rumah ke rumah positif Covid-19, 40 kontak rapat dikenalpasti


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan dijangkiti Covid-19. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, siasatan awal mendapati kedai gunting rambut itu tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. 

Tetapi lelaki terbabit terus menjalankan khidmat menggunting rambut dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggannya yang berada di kawasan sekitar. 

10 Jun 2020, kedai gunting rambut itu beroperasi semula dan lelaki Pakistan terbabit telah dibawa oleh majikannya untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum disahkan positif dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 11 Jun 2020 untuk siasatan. 

KKM telah mengenalpasti seramai 40 kontak rapat melalui rekod panggilan telefon yang membabitkan empat orang rakan serumah dan 21 orang pelanggan. 

Dalam pada itu juga, Dr Noor Hisham mendedahkan terdapat lebih 2,000 tukang gunting rambut warga asing di negara ini. Justeru beliau menasihatkan golongan berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum kembali bekerja. 

Sami penggal kepala member untuk akhiri pandemik koronavirus


Seorang sami didakwa memenggal kepala lelaki berusia 52 tahun di dalam kuil Brahmani Devi di kampung Bandhahuda, Narsinghpur, India, semalam. 

Kejadian itu terbongkar selepas sami terbabit, Sansari Ojha, 70, menyerah diri di balai polis. 

Polis mengenal pasti mangsa sebagai Saroj Kumar Pradhan, 52, dari kampung Bandhahuda. 

Ojha mengaku melakukan jenayah itu sekitar jam 1 pagi Khamis selepas bergaduh dengan Pradhan mengenai pandemik koronavirus. 

Dalam keterangannya, Ojha mendakwa dia telah dikunjungi oleh dewa yang meminta dia untuk memenggal kepala mangsa bagi mengakhiri pandemik koronavirus. 

Sami itu kemudian memenggal kepala mangsa dengan menggunakan sabit.

Siasatan polis mendapati, Ojha dan Pradhan menghisap ganja pada malam kejadian itu berdasarkan penemuan beberapa sampel di tempat kejadian. 

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.