Cuba seludup 380 kg daun ketum, pemandu Myvi ditahan PGA9


Cubaan seorang lelaki berusia 36 tahun menyeludup 19 bungkusan plastik daun ketum ke Thailand menggunakan kereta Perodua Myvi menemui kegagalan apabila dia ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA).


Sebanyak 380 kilogram daun ketum bernilai RM11,400 itu ditemui dalam Myvi yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan but, di Kampung Pisau Raut, Pengkalan Kubor.


Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, lelaki itu ditahan oleh pihaknya ketika penugasan PGA9 di Pangkalan Haram Aziz pada jam 8.30 malam Sabtu, 30 Januari 2021. 


Suspek juga didapati mempunyai dua rekod lampau bersabit dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methampethamine. 


Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Tumpat dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 


Sementara itu, dalam rampasan kedua di kampung sama, PGA9 turut merampas satu kotak dan dua guni yang mengandungi 464 botol ubat batuk disorok di bawah sebuah rumah. 


Tiga kotak mengandungi pelbagai jenis barangan kosmetik disyaki diseludup dari Thailand.


Ubat batuk itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan dan dijual kepada penagih sebagai campuran untuk air ketum bagi memberikan kesan khayal dalam tempoh lama.


Sumber: Harian Metro

'Oh baser lembu buat roblok sini' - Hina polis di media sosial, lelaki ditahan & siap berkonvoi bawa balik ke balai


Gara-gara memuat naik kenyataan menghina anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai 'lembu' di media sosial, seorang lelaki yang juga pemandu Proton X70, ditahan. 


Menurut sumber, lelaki terbabit memuat naik kenyataan tersebut di Facebook Group Bandar Chukai, Kemaman yang menggelar anggota polis sebagai lembu kerana tidak berpuas hati laluan menjadi sesak disebabkan Sekatan Jalan Raya (SJR). 


"Oh baser lembu buat roblok sini. Mung nak wat roblok jalan dua lane, mung letak la orang pun dua lane. Ini dari dua lane jadi satu lane memang sumbak la tolol! Panah gini, sokmo-sokmo wat roblok gini," tulisnya. 


Kenyataannya itu dipercayai telah diambil dan dilaporkan kepada polis. Bertindak di atas aduan itu, polis telah menahan lelaki terbabit di rumahnya pada 29 Januari 2021 atas dakwaan membuat kenyataan menghina pasukan keselamatan di media sosial. 


Video yang dikongsikan oleh Info Roadblock JPJ/POLIS menunjukkan, sebanyak tiga kenderaan PDRM berkonvoi membawa suspek ke balai untuk tindakan lanjut. 



Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik kenyataan yang bertujuan menghina orang atau pihak lain. Jika didapati berbuat demikian, individu berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS

(Video) 'Jangan salahkan pemandu Avanza' - Rider Grab Food cedera dilibas Avanza di lebuhraya


Viral di media sosial semalam, video seorang penghantar makanan, Grab Food, terbabit dalam kemalangan setelah 'dilibas' sebuah kereta yang terbabas di MRR2 selepas Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala ke Bukit Jalil. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.18 pagi Sabtu, 31 Januari 2021, mangsa menunggang di lorong ketiga sebelum datangnya kereta Toyota Avanza dari lorong keempat. 


Avanza terbabit yang dipercayai memandu melebihi had laju secara tiba-tiba membuat brek mengejut lalu hilang kawalan dan melibas penunggang motosikal berkenaan sebelum bergolek beberapa kali sehingga termasuk ke ruang tengah pembinaan. 


Akibat dari kemalangan itu juga, penunggang motosikal terpelanting lebih kurang enam kali. Sementara motosikalnya terseret jauh ke depan.


Berdasarkan gambar, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kepala. Tidak diketahui bagaimana keadaan pemandu Avanza terbabit. 



Video kemalangan itu mengundang banyak reaksi netizen di media sosial. Rata-rata menyalahkan pemandu Avanza terbabit yang memandu terlalu laju sehingga hilang kawalan. 


Tampil seorang individu yang mendakwa terbabit dalam kemalangan itu meminta orang ramai tidak menyalahkan pemandu Avanza. Katanya, kejadian itu berlaku disebabkan tayar kenderaan berkenaan.


"Saya yang terlibat dalam kemalangan itu. Bukan salah pemandu. Cuma nak bagi tahu, sebelum keluar rumah, check tayar sebab macam-macam ni boleh jadi sebab tayar. 


"Kawan saya bawa tak ada nak laju-laju pun, biasa je macam kenderaan lain yang bawa. Tolong jangan salahkan dia," katanya. 



Namun kenyataan individu terbabit disangkal oleh netizen dengan bukti bahawa sekiranya pemandu Avanza tidak memandu melebihi had laju, momentum kelajuannya sepatutnya menyamai had laju kereta saksi (owner dashcam) yang dilihat mematuhi had laju lebuhraya. 


"Masalahnya kereta tu nampak laju. Kalau tak laju, macam abang yang owner dashcam ni. Tu muncul tiba-tiba, laju lah. Kalau tak laju, kereta tak berpusing macam tu. Macam aku pula yang bodoh dalam kes ni," kata netizen. 


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS

Keluarga angkat akur, jenazah mangsa dera dituntut oleh keluarga kandung ibunya


Jenazah kanak-kanak yang maut dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya pada Jumaat lalu, akan dituntut oleh keluarga ibu kandungnya dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka hari ini. 


Menurut sumber dari keluarga angkat mangsa berkata, keluarga ibu kandungnya bertegas mahu menuntut dan mengebumikan jenazah mangsa di kampung ibunya.


Setelah kedua-dua pihak mengadakan perbincangan, keluarga angkat akur dengan keputusan pihak keluarga kandung dan jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Kampung Simpang Bekoh, Jasin, untuk dikebumikan. 


Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Chabau, Rosli Ibrahim berkata, van jenazah dari masjid akan membantu membawa jenazah untuk dikebumikan.


"Kerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga juga sudah digali semalam selepas diminta oleh keluarga.


"Jenazah juga akan dibawa ke Surau As-Syakirin, Simpang Bekoh di sini untuk disembahyangkan dan dijangka dikebumikan sebelum Zuhur," katanya.


Tinjauan wartawan Harian Metro di kediaman keluarga kandung mangsa di Taman Kasturi, Simpang Bekoh mendapati kediaman itu sunyi tanpa kehadiran orang ramai atau saudara mara. Hanya kedengaran alunan ayat suci al-Quran dari dalam rumah. 


Sumber: Harian Metro

Banyak kesan lebam & kecederaan di badan mangsa - Polis


Pemeriksaan pada mayat mangsa kanak-kanak yang maut didera di Taman Krubong Jaya oleh ibu dan bapa tirinya mendapati, terdapat banyak kesan lebam dan kecederaan lama serta baru di badannya. Selain itu, ada kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala yang dipercayai baru berlaku. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa sama ada disebabkan didera atau lemas seperti yang didakwa ibu kandung dan bapa tirinya. 


"Masih terlalu awal untuk mengesahkan punca kematian, cuma boleh sahkan memang terdapat kecederaan terutama sekali di bahagian kepala dan beberapa anggota badan terutama di bahagian belakang mangsa. 


"Kami percaya kecederaan itu akibat dipukul dengan objek tumpul. Namun kita masih melakukan siasatan rapi berkaitan perkara itu sama ada kecederaan itu disebabkan mangsa terjatuh atau dipukul oleh mana-mana individu," katanya. 


Beberapa spesimen seperti paru-paru, jantung dan hati telah dihantar ke makmal untuk ujian, namun tidak diketahui bila keputusannya akan diperolehi. 


Menurut Mohd Sukri, ketika polis tiba di rumah tersebut, mayat mangsa telah dikeluarkan dari tong air yang terletak di dalam bilik air di tingkat bawah. Mangsa didapati baru meninggal dunia kira-kira tiga jam, bukannya tiga hari seperti yang didakwa netizen. 


Tiga beradik mangsa juga akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN