(Video) Penduduk serang bomba sebab lambat datang ke lokasi rumah terbakar


Viral video di media sosial beberapa anggota bomba diserang oleh orang awam kerana bengang pasukan pemadam kebakaran itu tiba lewat di tempat kejadian. 


Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa, 30 Mac 2021 di Kabupaten Kutai Timur, Kalimantan Timur, Indonesia, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran yang berlaku, lalu mengarahkan anggota dan jenteranya bergegas ke tempat kejadian. 


Bagaimanapun, perjalanan ke tempat kejadian yang sepatutnya hanya mengambil masa yang singkat menjadi lama berikutan ada pemilik kenderaan yang meletak kereta di tepi jalan sehingga mengganggu lalu utama. 


Keadaan itu menyebabkan jentera bomba tersangkut seketika sebelum sampai di lokasi. Namun, sebaik saja tiba anggota bomba diserang beberapa penduduk yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan kelewatan petugas pemadam kebakaran itu. 



Video menunjukkan seorang lelaki menolak anggota bomba yang hampir menyebabkan dia terjatuh, kerana gagal mengawal perasaan. Hal itu membuatkan orang awam termasuk anggota bomba lain terus datang menghalang lelaki terbabit dari menyerang mangsanya. 


Jurucakap bomba berkata, "Kepada masyarakat atau pemilik kenderaan yang tidak mempunyai petak parkir sendiri, janganlah diparkirkan di tepi jalan. Ini kerana pada waktu kecemasan seperti ini, (bantuan) kami diperlukan segera. Sedangkan banyak halangan yang kami hadapi dan salah satunya seperti ini. 


"Bagaimana kami nak cepat, jalan menuju ke tempat kejadian pula terhalang. Itu saja pesanannya. Jadi kepada masyarakat dan pemilik kenderaan yang tidak mempunyai petak parkir peribadi, carilah tempat parkir yang bersesuai dan tidak menghalang laluan utama," katanya. - Agensi

'Muhammad Sajjad mungkin berada di luar negara' - Polis


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan bahawa pihak polis Selangor tidak pernah berhenti mengesan lokasi sebenar lelaki bernama Muhammad Sajjad Kamaruzzaman. 


Beliau berkata, lelaki itu kini berkemungkinan berada di luar negara dan pihaknya masih menjalankan pemantauan. 


"Jika tidak silap saya, telah dinyatakan yang dia berada di luar negara. Ada berita nyatakan dia ada di luar negara. Tapi, kita masih lagi monitornya," katanya. 


Baru-baru ini, anak Kamaruzzaman itu dalam Instagram Live-nya menafikan dakwaan dirinya telah murtad, malah dengan yakin mengatakan dia tidak menyorok kerana mukanya terlalu cantik untuk disorok. 


Selain itu, Muhammad Sajjad berasa polis tidak akan mencarinya pada masa ini kerana polis mempunyai lebih banyak tugas yang penting berbanding kes yang sedang dihadapinya itu. 


"Bila masa kita jadi perlarian, buat apa nak jadi pelarian, masa bila saya menyorok dan saya bukan menyorok, tetapi hanya mendiamkan diri daripada media sosial Instagram. 


"Pihak polis tidak akan mencari saya kerana mereka mempunyai urusan yang lebih penting berbanding saya," katanya. 


Ditanya mengenai kenyataan lelaki menyerupai wanita itu, Huzir enggan mengulas lanjut dan menegaskan kes itu masih dalam tindakan polis. 


Sumber: Sinar Harian

Remaja sambut kelahiran bayi teman wanitanya, kemudian dibuang & dibiarkan mati dalam semak


Seorang remaja perempuan dan teman lelakinya masing-masing berusia 18 tahun ditahan kerana dipercayai membuang bayi, susulan penemuan mayat bayi di kawasan semak berhampiran kilang Telok Mas, Isnin lalu, 29 Mac 2021. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, remaja perempuan itu mengaku melahirkan bayi berkenaan hasil hubungan sulitnya bersama teman lelaki pada Januari 2020 sebelum disahkan hamil. 


Remaja itu melahirkan bayinya pada jam 12 tengah malam yang disambut oleh teman lelakinya sendiri di sebuah rumah di Kandang. 


Sebaik saja dilahirkan, si teman lelaki memasukan bayi yang masih hidup itu ke dalam kotak plastik yang kemudian dibungkus dalam plastik hitam untuk dibuang di kawasan semak. 


Pasangan itu kemudian pergi ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan akibat pendarahan. Petugas hospital yang berasa curiga lalu melaporkan kepada polis menyebabkan kedua-duanya ditahan di perkarangan hospital pada jam 9 pagi Rabu, 31 Mac 2021. 


Suspek lelaki mengambil semula mayat bayinya dan diserahkan kepada polis. pasangan itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. 


Sumber: Sinar Harian

'Dia mati secara perlahan & menyakitkan' - 2 remaja belasah gelandangan sampai mati sebab enggan beri duit untuk beli gula-gula


Dua remaja lelaki didakwa membelasah seorang gelandangan sehingga mati selepas enggan menyerahkan wang kepada suspek yang mahu meminta wang untuk membeli gula-gula. 


Suspek berusia 12 dan 13 tahun itu dipercayai membelasah Petr Balika selama beberapa jam selepas berjaya mengumpannya ke sebuah lokasi terpenci di Izmail, Ukraine.


Ketika disoal siasat, salah seorang suspek mengaku melakukan jenayah itu. Sebelum kejadian, mereka bertemu dengan mangsa dan mengajaknya ke satu lokasi yang tidak dilalui orang awam.


"Kami datang menemui dia dan meminta dia untuk meminta wang dari pejalan kaki. Kami perlukan duit untuk membeli gura-gura. Tetapi dia menolak untuk menunaikan permintaan kami. 


"Selepas itu, kami memaksa dia untuk mengikuti kami ke satu tempat terpencil dan sebaik saja tiba, kami terus menumbuk wajahnya sehingga dia tejatuh. Di kesempatan itu, kamai membelasah lelaki itu. Kemudian kami terjumpa kayu dan lalu memukul mangsa menggunakan kayu itu.


Mayat mangsa berusia 58 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian pada awal pagi Ahad lalu, oleh seorang individu yang sedang membawa anjing peliharaannya berjalan-jalan. 


Pakar Forensik berkata, mangsa maut akibat kecederaan trauma di kepala dan perutnya kerana dipukul terlalu lama dan tulang rusuknya juga patah. 


"Dia mati secara perlahan dan menyakitkan," kata pakar itu kepada media yang juga memaklumkan masih belum diketahui mengapa mengapa pakaian mangsa dibuka.


Jurucakap polis berkata, berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian, gelandangan itu mati dibunuh dua suspek berusia 12 dan 13 tahu. 


Di Ukraine, individu yang berusia 14 tahun sudah layak menerima atau menjalani hukuman yang telah ditetap. Dua suspek berkenaan bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai memberi keterangan kepada polis. 


Pihak mahkamah akan menentukan sama ada dua remaja lelaki itu dihantar ke dalam pusat juvana, sementara siasatan sedang dijalankan. 


Sumber: Daily Star

6 operator kilang palsukan MC dihadapkan ke mahkamah, 3 lelaki mengaku bersalah, 3 wanita mengaku tak bersalah


Gara-gara memalsukan sijil cuti sakit, enam operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 29 Mac 2021 atas kesalahan yang dilakukan pada Oktober 2020 hingga Februari 2021. 


Tiga tertuduh iaitu, Mohamad Hafizi Zainuddin, 29, Muhammad Zulhakimi Masdi, 23, dan Muhammad Amir Md Ishak, 19, mengaku bersalah di atas pertuduhan itu, manakala Nur Farah Amira Alisham, 21, Nurul Izzah Abdul Razak, 21 dan Marsya Fatini Mohd Rani, 20 mengaku tidak bersalah memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan dua majistret, Mohd Zaki Abd Rahman dan Sri Pracha Nanthini Balabedha. 


Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen tulen iaitu sijil cuti sakit yang mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu. 


Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn Bhd antara 27 Oktober 2020 hingga 27 Februari 2021 kira-kira jam 9 pagi. 


Lima daripada tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan, manakala Marsya Fatini didakwa dengan dua pertuduhan. Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Pada prosiding di Mahkamah Majistret 1, Mohd Zaki menjatuhkan hukuman denda RM2,700 dan penjara lima hari bermula tarikh tangkapan ke atas Mohamad Hafizi dan Muhammad Amir.


Dalam mahkamah sama juga, Mohd Zaki turut membenarkan Nurul Izzah diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Kalaivaanan, manakala dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Abdul Nasir Wahid dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Muhammad Zayumi Mohd Yusof.


Di Mahkamah Majistret 2 pula, Sri Pracha menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dengan penjara lima hari bermula hari ini ke atas Muhamad Zulhakimi, selain membenarkan Nur Farah Amira dan Marsya Fatini diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing iaitu Nur Najihah Ahmad Zulkarnain, Muhammad Zayumi dan Chiang Kian Hong.


Kedua-dua majistret kemudian menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang doktor yang mengesyaki tandatangan dan cop miliknya telah dipalsukan. Doktor berkenaan mengesyaki enam individu terbabit telah memperdayakan majikan mereka dengan mengemukakan sijil cuti sakit menggunakan cop dan tandatangan miliknya yang disyaki palsu. 


Sumber: Berita Harian