'Anak saya sudah tiada...' - Anak maut ditimpa kerusi dibaling dari tingkat 17, ibu saman DBKL RM1 juta


Tiga tahun lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut akibat dihempap kerusi yang dibaling dari tingkat 17, sebuah rumah pangsa di PPR Pantai dalam.


Ketika itu, mangsa yang juga merupakan pelajar di SMK La Salle, Petaling Jaya, dalam perjalanan pulang ke rumah, dihempap kerusi pejabat, menyebabkan mangsa maut serta merta di lokasi kejadian. 


Pihak polis sebelum ini membuka siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaaan kerana mengakibatkan kematian dengan perbuatan gopoh dan cuai. 


Dalam perkembangan terkini kes itu, ibu mangsa dilaporkan akan memfailkan saman RM1 juta terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan alasan mahu memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang di masa akan datang. 


"Anak saya sudah tiada, saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada remaja lain," kata ibu mangsa, S Kasthuribai. 


Sementara itu, Arun Doraisamy dari Sathiswaran Action Team berkata, selain menuntut pampasan kewangan, keluarga mangsa juga akan menuntut penjelasan dari polis mengenai siasatan kes itu yang kini. 



"Apa perkembangan terkini kes itu dan adakah diklasifikasikan sebagai 'Tiada tindakan lanjut' (NFA)?" soalnya. 


Menjelaskan mengenai tindakan saman itu, Arun berkata, keluarga mangsa akan memfailkan saman terhadap DBKL sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi penyelenggaraann kawasan awam. 


Surat tuntutan telah dihantar kepada DBKL pada November 2020 dan sehingga kini tiada maklumbalas yang diterima. 


Sumber: Free Malaysia Today

Tak puas kereta yang dibaiki masih rosak, mekanik dibakar abang pelanggannya


Seorang mekanik melecur 46 peratus bahagian tubuhnya selepas terkena semburan api aerosol yang dinyalakan oleh abang pelanggannya yang tidak berpuas hati kerana kereta dibaiki mangsa masih rosak, dalam kejadian di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah, dekat Parit, Perak Rabu lalu.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata dalam kejadian pukul lapan malam itu, mangsa berusia 37 tahun tersebut didatangi oleh suspek yang menyuarakan rasa tidak puas hati kereta Proton Perdana milik adiknya masih rosak sekalipun telah berkali-kali dibaiki.


“Tercetus pergaduhan mulut di antara mangsa dan suspek berusia 50 tahun tersebut di hadapan rumah mangsa sebelum suspek dipercayai meminta seorang lagi lelaki yang datang bersamanya membeli sebotol petrol yang kemudian dituang ke atas kepala mangsa,” katanya.


Menurut Barudin, suspek kemudian menyalakan penyembur api namun api tersebut menyambar mangsa, menyebabkan mangsa terbakar.


Suspek dan adiknya kemudian bertindak memadamkan api pada badan mangsa menggunakan air daripada paip di luar rumah mangsa sebelum menghubungi seorang lagi lelaki berumur 30 tahun untuk membawa mangsa ke Hospital Changkat Melintang dengan upah sebanyak RM100.



Barudin berkata mangsa yang ditinggalkan begitu sahaja di hospital tersebut kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu.


Susulan itu, polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian termasuk adik suspek yang berusia 42 tahun.


Menurutnya seorang daripada suspek turut mempunyai kesan terbakar di tangan kanan, manakala ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.


“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.


Sumber: Bernama

Tak nak berbuka puasa dengan mentua, suami tendang & ugut tikam isterinya


Seorang wanita diugut ditikam dengan pisau dan ditendang di bahagian belakang badan oleh suaminya dalam kejadian yang berlaku di kediaman mereka di Taman Pandan Ria, Selasa, 27 April 2021. 


Kejadian itu berlaku pada jam 8.30 malam di mana pasangan itu berselisihan faham berhubung berbuka puasa dengan keluarga si suami. 


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pasangan itu terdahulu berbincang mengenai perancangan untuk berbuka puasa bersama bapa si suami (28) di luar. Namun berlaku perselisihan faham di antara mereka kerana si isteri (25) enggan berbuka bersama mentuanya. 


Reaksi si isteri membuatkan suaminya bengang lalu mengambil pisau di dapur untuk mengugut isterinya. Wanita itu segera melarikan diri dari rumah. 


Jam 12.20 malam, Rabu, 28 April 2021, wanita itu pulang ke rumah dan suaminya masih tidak berpuas hati lalu memukul isterinya di bahagian belakang badan serta cuba menikam isterinya. Tetapi sempat dihalang oleh adik kandung suspek yang berada di rumah itu. 


Mangsa sekali lagi melarikan diri dan menghubungi polis untuk meminta bantuan sebelum membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatan dirinya. 


Bertindak di atas laporan itu, polis kini sedang memburu suspek yang telah melarikan diri. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


"Jika ugutan itu adalah hendak menyebabkan kematian atau cedera parah, suspek boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Kosmo

'Perempuan yang tidak berhijab, layak dirogol' - Pelajar 16 tahun dedah percakapan biadab Guru PJK


Susulan dari pendedahan pelajar perempuan mengenai gurunya yang bergurau mengenai gangguan seksual ketika mengajar subjek pendidikan jasmani dan kesihatan (PJK), ramai yang pernah melalui situasi seumpama itu tampil menceritakan pengalaman mereka. 


Wartawan Free Malaysia Today (FMT) menemubual seorang gadis berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Nur, mendakwa guru PJK sekolahnya beberapa minggu yang lalu pernah berkata, perempuan yang tidak berhijab layak dirogol


Lebih teruk lagi, guru yang sama berkata perempuan yang tidak berhijab tidak boleh menyalahkan lelaki jika mereka menampal gambar wajah mereka pada tubuh orang lain yang tidak berpakaian (super impose)


"Ini menunjukkan guru mengajar kanak-kanak supaya berfikiran seperti itu. Saya juga ada dengar guru-guru yang membuat komen perkauman dan lucah tanpa menanggung akibat kerana pelajar takut digantung sekolah sekiranya bersuara


"Sama ada itu (digantung sekolah) atau orang akan memburuk-burukkan kami dan reputasi kami akan hancur," katanya. 


Sementara itu, wanita berusia 21 tahun, Sarah, mendakwa pernah dipeluk dari belakang oleh guru agamanya yang juga mengesel bahagian kemaluannya pada belakang badan


Bukan hanya dia, malah beberapa murid perempuan yang lain juga pernah diganggu secara seksual tetapi mereka terlalu takut untuk mengadu kepada ibu bapa masing-masing


Apabila guru besar mengetahui perbuatannya yang tidak bermoral itu, guru terbabit hanya ditukarkan ke sekolah lain tanpa ada tindakan daripada pihak berkuasa. 


Seorang lagi wanita bernama Anna, juga pernah menjadi mangsa cabul di mana dada dan kemaluannya diraba ketika dia berusia 11 tahun di sekolah


Insiden menjijikkan itu berlaku pada Hari Kantin sekolahnya. Anna dan rakan-rakannya masuk ke dalam 'Rumah Hantu' dan dia berada dalam posisi terakhir di barisan. Dalam keadaan gelap gelita, dia dapat merasakan ada seseorang yang telah meraba dada dan kemaluannya. 


Apabila Anna membuat aduan kepada guru, aduan itu disangkal dengan alasan 'usikan'. Tetapi menurut Anna, yang berada dalam rumah hantu itu, kesemuanya adalah lelaki. 


"Ini hanya salah satu contoh gangguan seksual yang saya amali di sekolah. Saya rasa benci apabila melihat gangguan masih berlaku dan masalah ini mesti diambil serius dan perlu dihentikan," katanya. 


Pendedahan berani mati ini mengundang perhatian pelbagai pihak yang mahu pihak sekolah tidak memandang ringan apabila mendapat aduan daripada pelajar mengenai gangguan seperti itu. 


Insiden ini bukan hanya menjejaskan pelajar perempuan, malah mencemarkan imej baik institusi perguruan yang selama ini dihormati dan dipandang tinggi. 


Harry Tan, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa polis menyiasat dakwaan-dakwaan itu dan menamakan sekolah dan guru berkenaan serta membuat laporan polis. 


Bagaimanapun katanya, bagi membolehkan perkara itu dibawa ke mahkamah, bukti yang kukuh perlu disertakan agar pengadilan dapat dilaksanakan. 


Sementara itu dalam laporan Bernama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menegaskan perkara itu perlu dipandang serius kerana tindakan guru yang membuat jenaka berhubung isu rogol semasa sesi pengajaran dan pembelajaran adalah perbuatan yang tidak profesional. 


"Dalam apa situasi sekalipun, perkara sedemikian tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan jenaka kerana perbuatan rogol itu adalah perbuatan jenayah yang sama sekali tidak wajar menjadi satu galakan kepada anak murid. 


"Tindakan seperti ini termasuk pelakuan menyalahkan mangsa adalah amat tidak wajar dinormalisasikan kerana ia memberi satu mesej yang tidak sihat kepada masyarakat dan dikhuariti akan menyumbang kepada pelakuan jenayah. 


"Kanak-kanak seharusnya berada di dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat, bebas dan dilindungi daripada sebarang ancaman termasuk gangguan seksual serta eksploitasi. 


"Sesungguhnya kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang membabitkan gangguan seksual dan pelanggaran hak serta kebajikan kanak-kanak. Tindakan tegas perlu diambil kepada pesalah yang terbabit dengan sebarang salah laku yang membabitkan kanak-kanak," katanya.


Sumber: Free Malaysia Today, Bernama

'Bertindak seolah-olah otak di lutut' - PDRM siasat pembaca berita keluar kenyataan berbaur fitnah


"Sekarang ini, ramai yang hidup secara ala kadar. Ketika otak yang letaknya di atas, tetapi ada yang bertindak seolah-olah otak di lutut.. mengenakan kompaun RM50,000 kepada penjaja kecil yang hanya berniaga di kawasan kampung sendiri," kata pembaca berita sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini yang mendapat banyak pujian netizen. 


Bagaimanapun, kenyataannya itu dianggap fitnah yang sengaja mengaibkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bakal Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap pembaca berita berkenaan. 


Beliau berkata, kenyataan pembaca berita itu dilihat sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pasukan PDRM. 


Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membolehkan pelakunya dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 


Acryl Sani menegaskan, tindakan yang dilakukan PDRM adalah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada bagi tujuan mengekang penularan Covid-19. 


Selain Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian). Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penajara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali. 


Difahamkan, kenyataan yang dibuat oleh pembaca berita itu adalah berhubung dengan insiden seorang peniaga burger di Kelantan yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana didapati beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan dalam tempoh PKP. 


Peniaga itu kemudian berkongsi mengenai kompaun yang diterimanya itu di Facebook sehingga mengundang simpati orang ramai


Bagaimanapun keadaan berubah apabila ada beberapa pihak yang tampil mendedahkan peniaga berkenaan sebelum ini pernah dikenakan kompaun atas kesalahan yang sama sehingga dikenakan kompaun RM1,000, membuatkan netizen mempersoalkan mengapa dia mengulangi kesalahan yang sama sedangkan pernah dikenakan tindakan sebelum ini


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN