Berang isteri & anak lari, lelaki rempuh rumah ibu mentua guna lori sampai roboh


Seorang lelaki yang didakwa mendera isterinya bertindak merempuh rumah ibu mentuanya menggunakan lori, selepas mendapati isteri dan anak-anaknya melarikan diri. 


Lapor Oriental Daily, kejadian itu berlaku pada jam 10 malam, 28 Jun 2021 di Skudai, Johor Bahru, di mana mangsa yang tidak tahan dengan sikap ganas suaminya itu mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan pergi ke rumah ibunya. 


Ahli politik MCA, Tan Eng Meng dalam catatannya di Facebook berkata, dia sebelum itu memperoleh maklumat daripada Ahli Majlis Daerah Pontian, Krishnan Kumar, lalu bergegas pergi ke lokasi kejadian. 


Difahamkan, wanita berusia 30-an itu selalu dipukul oleh suaminya sehingga mengalami lebam di badan. Mangsa yang tidak tahan dengan sikap ganas suaminya, bertindak membawa tiga anaknya melarikan diri ke rumah ibunya. 


Hal itu membuatkan si suami tidak berpuas hati lalu datang ke rumah ibu mentuanya dengan menaiki lori dan nekad merempuh rumah tersebut dengan tujuan menggangu isteri dan anak-anaknya sehingga menimbulkan kebimbangan kepada jiran berdekatan. 



Mujur tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Lelaki itu telah ditangkap untuk siasatan lanjut dan akan dikenakan tindakan undang-undang. 


Tan Eng Meng memaklumkan, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng akan menanggung kos pembinaan semula bahagian rumah yang telah rosak. 


"Perkara ini adalah asam garam dalam perkahwinan dan harap pasangan berkenaan berfikir dua kali sebelum bertindak melulu. Usah gunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Sebaliknya jika ada masalah, selesaikan dengan cara baik tanpa perlu menggunakan kekerasan," katanya. 


Sumber: Oriental Daily, Tan Eng Meng

TikTok hapuskan 7.3 juta akaun yang disyaki milik pengguna bawah umur


Platform perkongsian video, TikTok melaporkan pihaknya menghapuskan hampir 7.3 juta akaun (bersamaan 1 peratus) yang dipercayai milik pengguna bawah umur pada suku pertama tahun 2021. 


Syarat yang ditetapkan TikTok kini hanya membenarkan pengguna berusia 13 tahun ke atas mendaftar dan menggunakan aplikasi tersebut. Ini merupakan kali pertama TikTok mengenakan syarat umur berkenaan bagi membantu menjamin keselamatan pengguna. 


Selain itu, sebanyak 61,951,327 video telah dihapuskan kerana didapati melanggar polisi. Daripada angka tersebut, sebanyak 82 peratus video telah dihapuskan sebelum ditonton, 91 peratus sebelum dilapor penmgguna dan 93 peratus dalam 24 jam selepas dimuat naik. 


Turut terkesan, 1,921,900 iklan ditolak kerana melanggar syarat pengiklanan. Jumlah keseluruhan, 11,149,514 juta akaun telah dihapuskan atas kesalahan melanggar terma dan syarat platform tersebut. 


Tiktok dalam kenyataannya menekankan bahawa pihaknya tegas dalam melaksanakan peraturan baharu itu untuk melindungi penggunanya khususnya golongan remaja, termasuk menghadkan fungsi pesanan peribadi dan streaming secara langsung untuk pengguna berusia 16 tahun ke atas. 


Januari tahun ini, TikTok memperkenalkan fungsi di mana penggunanya di bawah usia 16 tahun boleh menetapkan akaun mereka secara automatik ke mode peribadi. Walaupun begitu, aplikasi popular dari China itu sehingga ke hari ini masih menerima banyak pengguna baharu bawah umur.


Sumber: BBC

Caj food delivery semakin mahal & bebankan pengguna, KPDNHEP siasat peniaga & syarikat pengendali aplikasi makanan


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius dedngan tindakan pengendali aplikasi makanan yang menaikkan kadar caj perkhidmatan 20 hingga 38 peratus sehingga membebankan pengguna. 


Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya akan menyiasat dan berbincang dengan pengusaha makanan dan syarikat pengendali aplikasi makanan berhubung perkara itu. 


Kadar caj perkhidmatan yang dikenakan itu telah mengakibatkan harga makanan yang dijual adalah lebih mahal daripada harga biasa.


"Sebahagian daripadanya tidak dibayar kepada pengusaha kedai makan atau restoran, tapi sepenuhnya dapat kepada pengendali aplikasi," katanya. 


Beliau berkata, KPDNHEP sebelum ini ada merancang untuk mengadakan pertemuan dengan dua pihak berkenaan, namun disebabkan Covid-19, pertemuan itu terpaksa ditangguhkan. Beliau berharap, pertemuan itu kelak akan dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dan menyenangkan semua pihak serta tidak memberi kesan buruk kepada pengguna. 


Kosmo pada 21 Jun 2021 menyiarkan rungutan pengguna yang menyifatkan caj baharu bagi perkhidmatan itu terlalu mahal berbanding harga makanan yang dipesan.


“Sebagai pelanggan, kita perlu membayar caj penghantaran, tetapi harga makanan pun mahal berbanding membeli di kedai.


“Harga semangkuk mi di kedai mi­salnya RM12, tetapi sekiranya memesan guna aplikasi harga­nya melonjak RM16 tidak termasuk caj penghantaran dan cukai," kata Siti Nuramalina Azmi. 


Majoriti pengguna menggesa kerajaan campur tangan bagi meneliti ketelusan harga makanan yang ditempah dalam aplikasi yang didakwa tidak selaras. 


Sumber: Harian Metro, Kosmo

'Itu kerja orang gila, jangan buat kerja bodoh' - MB Kedah tidak setuju dengan kempen golongan terjejas akibat Covid-19 naikkan bendera putih


Selepas Nik Abduh dan Rosli Abdul Jabar menyatakan pandangan tidak bersetuju dengan kempen menaikkan bendera putih bagi golongan yang terjejas akibat Pandemik Covid-19, tampil dua lagi pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengeluarkan kenyataan yang sama. 


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat sepatutnya meminta bantuan melalui 'saluran rasmi', bukannya menaikkan bendera putih yang bermaksud menyerah kalah dalam istillah peperangan. Selain itu, Muhammad Sanusi juga menyifatkan kempen itu sebagai propaganda politik untuk menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menangani pandemik Covid-19. 


"Saya sudah kata banyak kali, ia adalah propaganda politik yang mencerminkan persepsi kerajaan gagal, sebenarnya kerajaan sedang menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik. 


"Saya nampak ada ahli parlimen pembangkang yang pergi tolong rumah orang naikkan bendera putih, itu bukan kerja wakil rakyat, itu kerja orang gila, jangan buat kerja bodoh.


"Angkat bendera putih sepatutnya hanya diguna dalam dua keadaan iaitu mengaku kalah dalam perang atau ketika perlawanan tinju. Sekarang kita belum kalah lagi, teruskan berjuang. Jadi gunakan saluran yang betul dalam mendapatkan bantuan.


"Kita telah edarkan nombor telefon Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) setiap daerah dan nombor telefon pusat khidmat wakil rakyat untuk orang ramai hubungi. 


"Sekarang ini kita ada kemudahan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp serta pesanan mesej, individu yang perlu bantuan boleh menghubungi PKOB untuk bantuan makanan tanpa mengibarkan bendara putih," katanya. 


Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali meminta penduduk di kawasannya tidak perlu menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan. Sebaliknya meminta mereka menghubungi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). 


"Rakyat saya di Kuala Nerus tidak perlu angkat bendera putih. Hubungi sahaja pasukan kerja saya. Cukuplah pasukan kami mengetahui kesusahan anda. 


"Tugas anda ialah meminta bantuan apabila diperlukan dan tugas kami ialah membantu anda," katanya. 


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini

'Alhamdulillah ada yang datang hulur bantuan' - 3 hari kehabisan beras, ibu tunggal di Kota Bharu terpaksa angkat bendera putih


Buntu serta tertekan memaksa seorang ibu tunggal memacakkan bendera putih di hadapan rumah sebagai tanda meminta pertolongan daripada orang sekelilingnya.


Rohayah Che Samah, 50, berkata dia bertindak sedemikian kerana keadaannya yang semakin kekurangan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan seharian malah turut kehabisan beras sejak tiga hari lepas.


Rohayah yang tinggal bersama anak perempuan bongsunya, Amalina Kamaraddin, 14, berkata mereka hanya mengisi perut dengan biskut serta sumbangan makanan seperti kek yang diberikan jiran sejak 'terputus' bekalan beras.


"Saya pasang bendera putih selepas adik perempuan suruh berbuat demikian sebab saya selalu ceritakan masalah dialami kepadanya. Jadi, dia sarankan kepada saya gantung bendera putih supaya ada orang akan datang untuk tolong.


"Ikutkan saya pun tidak tahu mengenai (kempen) bendera putih ini. Alhamdulillah, selepas saya gantung ada pihak yang datang menghulurkan bantuan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.


Rohayah bersama Amalina menetap di sebuah rumah sewa berkeluasan kira-kira 300 kaki persegi di Kampung Pulau Kundor, Pengkalan Chepa, dekat sini.


Ibu kepada enam orang anak itu berkata ketika ini, dia juga mengalami masalah kewangan kerana hanya bergantung kepada upah mewarna batik dengan bayaran RM2 untuk sehelai kain.


"Paling banyak dalam sehari pun saya terima upah untuk tujuh helai kain batik, tambahan dengan Fasa Satu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini tidak banyak kain batik yang perlu diwarnakan.


"Anak-anak yang lain semua berada di Kuala Lumpur dan mereka juga tidak dapat membantu saya sebab masing-masing bekerja biasa sahaja dan turut terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19," katanya.


Menurut Rohayah, lebih merumitkan keadaan apabila dia tidak layak menerima bantuan daripada pihak berkuasa kerana tidak mempunyai surat penceraian rasmi.


Terdahulu, Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa ke rumahnya bagi memberikan sumbangan wang serta bekalan makanan kepada Rohayah selepas kibaran bendera putih di hadapan rumahnya tular menerusi WhatsApp dan Facebook, sejak pagi tadi.


Sumbangan itu disampaikan kepada Rohayah melalui Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Muhammad Abdul Munib Zakaria. Turut hadir Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang Muhammad Sulaiman dan Penghulu Mukim Pulau Kundor Rosli Mat Hussin.


Sumber: Bernama