'Tan Sri Mahiaddin Yassin gagal di mata rakyat' - UMNO umum tarik sokongan terhadap Kerajaan PN & Perdana Menteri


United Malays National Organisation (UMNO) hari ini mengumumkan penarikan balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini selepas mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan secara online. 


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mengambil pendirian untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO yang menyokong YDPA sebagai Ketua Utama Negara. 


"Surat akuan Ahli Parlimen UMNO yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sudah saya persembahkan kepada YDPA," katanya. 


Susulan pengumuman itu, Ahli Parlimen Lenggong yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri selepas mengambil kira pendirian partinya. Beliau juga merakam ucapan terima kasih kepada Muhyiddin kerana memberi peluang kepada dirinya untuk berkhidmat dalam Kabinet PN. 


Berlainan pula dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, tidak menarik sokongannya terhadap Kerajaan PN. Sebaliknya dia mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat kerana yakin pembangkang juga tidak akan mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu. 


"Kita tunggulah dulu, macam-macam lagi. Saya tak tarik sokongan, itu MKT. Tunggulah dulu, awal lagi," katanya yang akan meneruskan tugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia seperti biasa. 


Sementara itu, Muhyiddin dilaporkan akan memanggil semua pemimpin Bersatu untuk mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan situasi politik yang sedang berlaku. 


Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Marthada Mohamad berkata, semua pihak perlu menunggu titah daripada YDPA yang dipercayai akan memanggil semua Ahli Parlimen untuk mendapatkan jumlah kerana masing-masing tidak ada sokongan. 


Sumber: Harian Metro

(Video) 'Aku mana ada kuarantin, ni gelang mak aku beli' - Budak Tiktok kantoi tanggal gelang pink untuk keluar bersiar-siar, dikompaun RM5,000


Polis mengenakan kompaun RM5,000 terhadap seorang remaja perempuan yang didapati dengan sengaja menanggalkan gelang pink (kuarantin) hanya kerana mahu keluar bersiar-siar. 


Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, remaja berusia 17 tahun itu dikompaun selepas video menunjukkan dirinya mendedahkan gelang pink dipotong, tersebar di media sosial sejak semalam. 


"Selepas mengenal pasti video itu, polis mengesan lokasi remaja tersebut (di kawasan Kamunting) yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM). 



"Remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperoleh. Difahamkan ketika kejadian itu, dia dikatakan singgah di rumah rakannya di kawasan itu," katanya. 


Remaja berkenaan dikenakan kompaun mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. 


Osman menasihatkan orang ramai untuk tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk memerangi wabak Covid-19. Mana-mana individu yang didapati mengingkari SOP akan dikenakan tindakan undang-undang. 


Sumber: Berita Harian

Peniaga ayam (+ve HIV) rogol kekasih bawah umur dalam kereta sampai hamil 5 bulan di Tumpat


Seorang peniaga ayam yang juga penghidap penyakit HIV didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini atas pertuduhan merogol teman wanitanya yang juga remaja di bawah umur, pada Mac 2021. 


Tertuduh berusia 24 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy. 


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun dalam sebuah kereta Perodua Kembara di Jalan Kampung Laut 1, Tumpat, pada malam sekitar bulan Mac 2021, meskipun tahu dirinya menghidap HIV. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (i) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan. 


Peguamnya, Mohd Khuzaimi Mohd Salleh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dibenarkan ikat jamin. Tetapi dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa yang sedang hamil lima bulan. 


Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan seorpang penjamin dan menetapkan 17 November 2021 untuk sebutan semula kes serta serahan dokuman laporan perubatan. 


Keluarga tertuduh memilih untuk membayar wang jaminan tersebut.


Sumber: Harian Metro 

(Video) 'Mantap, kerusi terbang!' - Isteri cekup suami bawa skandal ke pusat vaksin


Tular di media sosial video isteri mencekup suaminya curang di pusat pemberian vaksin yang berakhir dengan perang kerusi terbang. Sejak dimuat naik tiga hari lalu di Instagram, video itu telah ditonton lebih dari 8,000 kali. 


Difahamkan, si isteri dijadualkan untuk menerima vaksin pada tarikh yang telah ditetapkan. Tetapi suaminya memaklumkan dia tidak dapat menghantar isterinya. Wanita berkenaan kemudian mengajak adik perempuannya untuk menemani dia pada hari kejadian. 


Sebaik tiba di tempat itu, wanita itu terkejut melihat suaminya juga berada di sana sambil menemani seorang wanita yang dipercayai kekasihnya. Hal itu menyebabkan si isteri bengang lalu mengamuk berhabis-habiskan. Dua beradik itu sempat menerajang terbabit. 


Lelaki berkenaan dilihat berusaha melindungi kekasihnya biarpun terpaksa mengasari isterinya sendiri. Dalam masa sama, wanita perampas itu juga mengambil langkah melindungi diri dengan membaling kerusi ke arah dua beradik berkenaan. 


Petugas kesihatan yang berada di tempat kejadian hanya mampu melihat tanpa dapat melakukan apa-apa. Malah beberapa orang awam yang hadir ke pusat itu juga asyik menonton adegan yang tidak sepatutnya berlaku tanpa ada seorang pun yang tampil meleraikan mereka. 


"Kacau dunia persilatan ni. Kesian kerusi menjadi korban," kata netizen.


Sumber: Suara.com

(Video) Isteri nekad tikam kekasih suami yang baru keluar dari salun kecantikan


Seorang wanita bertudung hitam dirakam kamera litar tertutup (CCTV) cuba menikam wanita yang dipercayai skandal suaminya dalam kejadian di Jalan Boulevard, Kecamatan Panakkukang, Kota Makassar, Indonesia. 


Klip video viral di media sosial itu menunjukkan, mangsa yang baru keluar dari salun kecantikan berjalan menuju ke kenderaannya sebelum didatangi oleh suspek yang telah lama mengekorinya. 


Kedua-dua mereka mula bertengkar sehingga mengundang perhatian orang awam yang kemudian datang untuk menenangkan mereka. Namun, pertengkaran mereka menjadi semakin tidak terkawal.


Suspek mula menarik rambut mangsa dan menikam badannya menggunakan pisau. Tindakan suspek yang mahu menikam mangsa secara bertubi-tubi sempat dihalang seorang penjaga parkir yang kebetulan ternampak kejadian itu. 


"Dua kali mangsa ditikam dan kali ketiga saya menahan tangannya lalu diputar menyebabkan pisau terlepas dari pegangannya. Bila pisau dah jatuh, dia (suspek) cuba mengambilnya untuk menikam mangsa.


"Saya kata, sudah-sudahlah tu. Tetapi tidak diendahkan dan dia tikam pinggang mangsa buat kali ketiga," kata saksi yang dikenali sebagai Rian.


Sementara itu, Ketua Polis Panakkukang, Andi Ali Surya berkata, mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Manakala suspek telah berjaya ditahan untuk siasatan lanjut. 



"Suspek telah ditahan kerana melakukan penganiayaan dengan menggunakan pisau. Mangsa adalah orang yang dipercayai mempunyai hubungan dengan suami kepada suspek," katanya. 


Menurut Andi, suspek berang dengan mangsa yang menjalinkan hubungan dengan suaminya lalu nekad melakukan perbuatan tersebut. 


Sumber: #kenapakolari