(Video) 'Patutlah laju semacam...' - Pemandu lori positif dadah rempuh 5 kenderaan


Polis menahan seorang pemandu lori yang didapati positif dadah selepas kenderaan yang dipandunya merempuh lima kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh, di Kuala Lumpur, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi berusia 45 tahun yang turut terlibat dalam kemalangan itu terperangkap dalam kenderaannya namun berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata lori yang dipandu oleh suspek berusia 25 tahun itu, menghala ke Sentul dari Jalan Duta sebelum merempuh dua Perodua Myvi serta Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.


“Sampai di lampu isyarat Jalan Ipoh, lori terbabit gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat.




Pemandu Myvi itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka dan mendapat rawatan di Zon Hijau Hospital Kuala Lumpur manakala pemandu kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan semalam.


Sarifudin berkata ujian awal mendapati suspek tidak dipengaruhi alkohol namun ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin. Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Semalam, tular di media sosial rakaman kamera perakam video yang memaparkan sebuah lori tanpa muatan merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.


Berdasarkan maklumat, kemalangan itu menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning remuk teruk manakala beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan.


Sumber: Bernama

Kes rogol remaja bawah umur meningkat, polis gesa ibu bapa di Kelantan pantau anak-anak


Polis menggesa golongan ibu bapa di Kelantan supaya memantau pergerakan anak-anak mereka memandangkan jenayah rogol terutamanya melibatkan remaja bawah umur di negeri ini agak membimbangkan.


Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini sahaja sebanyak 51 kes rogol direkodkan berbanding 39 kes bagi tempoh sama tahun lepas dengan paling ketara kes itu melibatkan remaja bawah umur dan pelajar sekolah seawal usia 13 tahun.


"Kebanyakan kes yang dikesan berlaku kerana suka sama suka tetapi apabila melibatkan situasi bawah umur ia dikategorikan sebagai kes rogol.


"Kita juga mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dengan kebanyakannya berkenalan melalui laman sosial seperti Facebook ataupun aplikasi WhatsApp," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Balai Polis Jelawat yang dinaik taraf dari Pondok Polis kepada Balai Polis Jelawat di Bachok hari ini.


Mengulas lanjut, Shafien (gambar, bawah) berkata bagi tempoh Januari hingga Julai juga, sebanyak 16 kes rogol direkodkan di Kota Bharu berbanding hanya lima kes bagi tempoh sama pada 2020.


Selain itu, beliau berkata sebanyak 14 kes sumbang mahram direkodkan bagi tempoh sama berbanding 15 kes tahun lepas.


“Berikutan kes melibatkan remaja bawah umur berusia antara 13 hingga 16 tahun ini, kita amat mengharapkan golongan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak walaupun berada di rumah.


"Apa yang kita ketahui ada juga kes berlaku di rumah mangsa dan di rumah suspek ketika ketiadaan ibu bapa di rumah. Mereka mungkin berkenalan melalui laman sosial dan ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau apa yang dilakukan oleh anak-anak," katanya.


Shafien berkata berdasarkan kes yang direkodkan, 90 peratus daripada kebanyakan suspek berjaya ditahan kerana dikenali oleh mangsa.


Sementara itu, mengulas mengenai Balai Polis Jelawat yang dinaik taraf, Shafien berkata balai itu akan mulai beroperasi sepenuhnya hari ini dengan kekuatan seorang sarjan mejar dan 15 anggota lain-lain pangkat.


Katanya, orang ramai boleh hadir membuat sebarang laporan di balai berkenaan dan jika ada sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 09-7789422 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di talian 09-7788222.


Sumber: Bernama

Tertekan selalu dituduh curang, isteri tikam suaminya sampai mati


Kerana tertekan, seorang suri rumah tangga nekad menghabiskan nyawa suaminya, Bastian, 40, dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat, 3 September 2021 di Kecamatan Tandun, Indonesia. 


Lapor Tribun News, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi kerana suspek berang dengan mangsa yang kerap menuduhnya curang dengan lelaki lain. 


Suspek yang gagal mengawal diri bertindak menikam leher suaminya menggunakan senjata tajam sehingga maut serta-merta. 


Difahamkan, mangsa membangkitkan tuduhan itu setelah terbaca perbualan suspek bersama dengan seorang lelaki di laman Facebook yang mencetuskan rasa cemburu. Hal itu juga mendorong mangsa kerap melakukan kekerasan fizikal terhadap isterinya. 


Berdasarkan keterangan suspek, dia mengaku mereka sering bertengkar sehingga dia dipukul dan dipijak oleh suaminya. Tertekan dengan keadaan itu, suspek yang tidak berfikir panjang nekad membunuh suaminya. 


Suspek telah ditahan selepas keluarganya membuat laporan polis. Turut dirampas barang-barang bukti sebilah parang, sehelai selimut, tilam berlumuran darah dan beberapa lagi barangan yang lain. 


Sumber: Tribun News

Bayi berusia setahun ditumbuk, dicucuh puntung rokok & ditekap dengan seterika kerana menangis


Seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan mengalami penderaan yang dipercayai dilakukan oleh ibu bapanya di Felda Jalor Air Kuning Selatan pada akhir bulan Ogos lalu. 


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan dari doktor klinik kesihatan yang merawat mangsa pada 25 Ogos 2021. 


Menurut doktor berkenaan, terdapat kesan lebam pada mata dan kesan tekapan seterika di bahagian belakang badan mangsa yang dipercayai didera. 


Bertindak di atas laporan itu, polis menahan ibu bapa mangsa yang masing-masing berusia 17 dan 23 tahun. Siasatan awal mendapati, si bapa mengaku telah memukul dan menumbuk muka mangsa yang dikatanya kerap menangis. Suspek juga mengaku telah mencucuh puntung rokok di tapak kaki kiri mangsa. 


"Suami isteri itu kemudian membawa mangsa ke klinik kesihatan terbabit kerana mangsa mengalami sesak nafas. Mangsa dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut dan diberikan bantuan pernafasan," katanya. 


Ekoran kejadian itu, suspek lelaki telah direman untuk siasatan, manakala ibu mangsa dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak. 


Dalam perkembangan terkini, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar dari wad. Mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan untuk dijaga sementara waktu. 


Harian Metro melaporkan, pasangan suami isteri terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Tampin hari ini untuk pendakwaan. 


Sumber: Harian Metro

'Nak teman pergi cucuk vaksin konon...' - Janda & duda ditangkap khalwat di bilik inap desa


Sepasang kekasih ditahan pihak Penguatkuasa Agama Daerah Sik di sebuah inap desa semalam kerana disyaki berkhalwat.


Penolong Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Sik, Sheikh Mohd Rasydan A Rahman berkata, pihaknya sebelum itu mendapat maklumat awam dan melakukan operasi cegah maksiat pada jam 10 malam yang membawa kepada penangkapan ibu tunggal berusia 33 tahun dan duda berusia 40 tahun. 


Ketika diserbu, pasangan itu didapati berdua-duaan di dalam bilik di inap desa berkenaan. Wanita itu memberikan alasan dia menginap bersama dengan pasangannya kerana mahu menemani si lelaki yang akan menerima vaksin, manakala dia sudah menerima dua dos vaksin.


Soal siasat mendapati, kedua-dua mereka bekerja di kilang berasingan di Pulau Pinang. Mereka juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pernikahan. 


Pasangan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki melakukan khalwat yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Sumber: Harian Metro