Gagal patuh SOP, KKM kompaun penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia RM1,000 jer


Disebabkan gagal memastikan pematuhan penjarakan fizikal dan beberapa lagi peraturan SOP yang lain, penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dikompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342). 


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, nilai kompaun RM1,000 yang dikenakan itu adalah nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan terhadap individu dan pertubuhan yang diguna pakai selepas pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember lalu. 


Selain itu juga, kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuka dalam program tersebut juga ditutup serta-merta. 


"Penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. 


"Penganjuran masjlid rasmi kerajaan seumpama ini sepatutnya memberikan contoh yang terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan serta orang ramai; bukan sahaja dari aspek pelaksanaan program tetapi juga aspek pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. 


"Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan. 


"Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19," katanya. 


Khairy juga menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun tambahan kepada penganjur sekiranya mereka mendapati penganjur masih gagal melaksanakan pematuhan SOP. 



Sumber: Kenyataan Media Kementerian Kesihatan


'Saya sahkan kejadian buli itu berlaku di negeri ini & siasatan sedang dijalankan' - Ketua Polis Perak


Susulan tular video seorang pelajar dibuli sekumpulan rakan asramanya sehingga mengundang kemarahan netizen di media sosial, polis telah membuka kertas siasatan. 


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan, kejadian itu berlaku di sebuah sekolah berasrama di Perak dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan. 


"Saya sahkan kejadian buli itu berlaku di negeri ini semalam dan kita baru sahaja menerima laporan mengenainya. Siasatan sudah dijalankan dan saya akan keluarkan kenyataan media nanti," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Jumaat. 


Terdahulu dua individu tampil menularkan video kes buli tersebut di media sosial dan menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan. 


Ekoran daripada penularan video itu, salah seorang pelajar dari sekolah berkenaan tampil merayu agar video itu dipadamkan segera untuk menjaga nama baik sekolahnya dan cuba menyakinkan penular bahawa pihak kepimpinan pelajar sedang menyiasat dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat. 


Bagaimanapun rayuan pelajar itu tidak diendahkan dan mahu mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan agar kejadian seperti itu tidak lagi berulang di masa akan datang. 


LAPORAN BERKAITAN

(Video) 'Kalau anak orang mati, pastu cakap takde niat membunuh?!' - Lagi kes buli, pelajar minta padam video untuk jaga nama baik maktab


"Tarik nafas, tarik nafas," demikian arahan dari salah seorang pelajar yang terbabit dalam video kes buli di asrama viral di media sosial baru-baru ini. 


Seorang pelajar lelaki memakai baju merah dibuli oleh sekumpulan pelajar asrama sebuah sekolah yang tidak dinyatakan lokasi dan tarikh kejadian. 


Dalam video berdurasi 1 minit 28 saat itu menunjukkan, mangsa hanya mampu berdiri membiarkan dirinya disepak di bahagian punggung dan ditumbuk di bahagian perut oleh kumpulan pembuli berkenaan. 



Tidak diketahui motif sebenar kejadian, namun menurut satu sumber di Twitter @Ekax_ mendakwa, kejadian itu berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah dan suspek yang terbabit dalam kejadian itu berusia dari 13 hingga 15 tahun.


Terdahulu, @Ekax_ mendakwa dia telah dihubungi oleh seorang individu yang memintanya memadamkan video viral itu terlebih dahulu kerana barisan kepimpinan pelajar akan mengambil tindakan untuk menangani masalah tersebut, selain dari menjaga nama baik institusi pendidikan itu. 


"Boleh tak akak delete dulu video itu. Biarkan barisan kepimpinan pelajar buat tindakan secepat mungkin. Saya amat merayu kepada akak, saya nak menjaga nama maktab saya. Saya merayu akak tidak share perbualan saya dengan akak. 


"Kami akan buat tindakan kepada pelajar yang ada dalam video tersebut. Cuma untuk memudahkan kerja kami, saya merayu kepada akak untuk tidak share video ini secara meluas," kata individu berkenaan. 



Bagaimanapun, rayuannya tidak diendahkan dan @Ekax_ nekad menyebarkan video tersebar agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana suspek terlibat dalam kes buli itu. 


Sumber: Twitter @Ekax_

(Video) 'Memang kita yang merancang, tapi polis trafik yang menentukan' - Rider Foodpanda langgar lampu merah kena saman


Padah melanggar lampu isyarat merah, seorang penghantar makanan dikenakan saman oleh anggota trafik yang menyaksikan tindakan penunggang terbabit dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan, Bercham, baru-baru ini. 


Video viral berdurasi 36 saat itu sempat dirakam dashcam kenderaan di tempat kejadian pada jam 9.45 pagi Rabu, 8 Disember 2021 dan kemudian dimuat naik ke media sosial. 


Berdasarkan video, penunggang terbabit tidak menyedari anggota trafik berada di belakangnya sebelum melanggar lampu isyarat merah ketika tiada kenderaan lain melalui laluan berkenaan dari arah bertentangan. 


Ekoran dari kesalahan tersebut, penunggang terbabit telah dikejar sebelum diarahkan berhenti untuk dikenakan saman atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah. 


"Tindakan saman diambil oleh Koperal Mohd Amin Ismail ke atas penunggang motosikal terbabit yang melanggar isyarat lalu-lintas di Jalan Sultan Azlan Shah / Bercham yang tular di laman sosial baru-baru ini," kata kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Facebook. 



Sumber: Harian Metro, ihsan netizen

Penjaga parkir didakwa tendang, cubit & pukul anak tunang sehingga lebam, alasan nak mendidik


Seorang penjaga parkir didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menendang, mencubit dan memukul anak tunangnya menggunakan penyangkut baju sehingga mengakibatkan lebam pada badan kanak-kanak lelaki itu, bulan lalu.


VK Jaganathan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.


Tertuduh didakwa sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, memukul menggunakan penyangkut baju, menendang, mencubit, menumbuk dan menampar badan kanak-kanak itu mengakibatkan mangsa mengalami lebam pada badannya di sebuah kondominium di Jalan Berhala, Brickfields di sini pada 12 tengah hari, 28 November lalu.


Pendakwaan terhadap Jaganathan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan pertuduhan dihadapi Jaganathan adalah serius.


"Sekiranya mahkamah ingin menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan," katanya.


Peguam P Rajendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai kesalahan lampau.


"Anak guam saya tinggal bersama tunang dan anaknya dan dia menjaga kanak-kanak itu seperti anak sendiri. Niat anak guam saya hanya untuk mendidik anak tunangnya bukan untuk mencederakan," kata peguam itu.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta tidak tinggal bersama mangsa selain melaporkan diri ke balai polis berdekatan sehingga kes selesai.


Mahkamah menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan bagi serahan dokumen.


Sumber: Bernama