(Video) 'Kalau awak tak mencuri, tunjuk resit!' - Pekerja DIY tahan lelaki disyaki curi 3 botol sanitizer


Tular di media sosial sejak semalam video rakaman orang awam yang menunjukkan seorang wanita dipercayai pekerja premis Mr DIY, menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri barangan berupakan produk sanitizer.


Berdasarkan video berdurasi 3 minit 26 saat itu di sebuah pusat beli-belah yang tidak dinyatakan lokasinya, lelaki terbabit menegaskan dia telah membayar tiga barangan itu dan menafikan tuduhan kononnya dia mencuri. Tetapi apabila pekerja berkenaan meminta dia mengemukakan bukti resit pembelian, dia gagal berbuat demikian. 


Sedar akan dirinya tidak mampu menafikan tuduhan itu, lelaki terbabit hanya mendiamkan diri dan menyerahkan kembali tiga botol sanitizer tersebut. Dalam masa yang sama, pekerja wanita itu menjelaskan dia tidak berniat meninggikan suara dan hanya sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja untuk menghalang kecurian berlaku di tempat kerjanya.


Seketika kemudian, seorang lelaki dipercayai pengawal keselamatan pusat beli belah datang untuk mententeramkan keadaan. Malangnya lelaki itu mengambil peluang untuk mengatakan dirinya tidak bersalah dan meninggikan suara terhadap pekerja berkenaan. 


Berang dengan tindakan 'pengecut' lelaki itu, pekerja berkenaan meninggikan suaranya dan menegaskan lelaki itu tidak mempunyai resit pembelian untuk tiga botol sanitizer yang diambil dari premis Mr DIY. 



Tidak diketahui apa yang berlaku seterusnya, tetapi di media sosial netizen kagum dan memuji keberaniannya berdepan dengan pencuri. Malah netizen berharap, pihak majikan memberi ganjaran kepada wanita itu yang sanggup mempertahankan pekerja di bawah seliaannya daripada dipotong gaji atas sebab kehilangan barangan akibat dicuri. 

(Video) Rider maut tercampak dalam gaung selepas bertembung dengan MPV


Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tercampak ke dalam gaung dalam kejadian di KM 29 Jalan Keramat Pulai - Cameroon Highlands, pada Jumaat lalu. 


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahya Hassan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berusia lingkungan 30-an menaiki motosikal jenis SYM Jetx dari arah Cameron Highlands menuju ke Simpang Pulai. Sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa hilang kawalan lalu termasuk ke lorong bertentangan. 


Akibatnya motosikal mangsa bertembung dengan Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an. Mangsa tercampak ke dalam gaung sebelah kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 


Difahamkan, pemandu Alza tidak mengalami kecederaan. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat. Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 



Kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka Perodua Alza yang menunjukkan mangsa hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentang sebelum bertembung dengan Alza. 


Sumber: Harian Metro

'Individu belum vaksin, tak pernah dijangkiti adalah berisiko tinggi' - Kes Covid-19 dijangka cecah 15,000 kes sehari, 33,000 kes menjelang akhir Mac


Malaysia semalam mencatatkan kes baharu Covid-19 sebanyak 10,089 kes berbanding Sabtu, 9,118 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 2,914,220 kes. 


Selangor mencatatkan rekod kes tertinggi iaitu 2,549 kes, diikuti dengan Johor 1,582 kes, Sabah 1,285 kes, Kedah 904 kes, Pahang 624 kes, Pulau Pinang 542 kes, Kuala Lumpur 491 kes, Kelantan 471 kes, Negeri Sembilan 464 kes, Melaka 457 kes, Perak 321 kes, Terengganu 213 kes, Putrajaya 61 kes, Sarawak 58 kes, Perlis 44 kes dan Labuan 23 kes.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes harian Covid-19 dijangka akan mencecah 15,000 kes sehari tidak lama lagi, berpunca dari gelombang varian Omicron. Khairy juga menggesa orang ramai segera mengambil dos penggalak bagi mengurangkan keseriusan gejala. 


Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pula menjangkakan kes jangkitan dalam negara boleh mencapai sehingga 22,000 kes pada akhir Mac ini. berdasarkan nilai kebolehjangkitan (Rt) dalam negara ketika ini ialah Rt 1.2. 


Tambahnya, individu yang masih belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan yang paling berisiko untuk mendapat jangkitan. Justeru beliau menasihatkan individu berisiko ini segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19 untuk melindungi diri dan orang tersayang. 


Sumber: Harian Metro

'Rumah tak dinaiki air banjir, tapi mohon bantuan' - MB Selangor dedahkan terima banyak permohonan tipu dari Petaling & Klang


Januari lalu, ramai mangsa banjir 18 Disember 2021 merungut bantuan yang dijanjikan masih belum sampai ke tangan masing-masing walaupun sudah mengisi borang sebelum bertukar tahun. Kelewatan penyaluran bantuan kewangan yang dijanjikan menyebabkan usaha memulihkan kediaman yang terjejas akibat banjir tergendala untuk sekian lamanya. 


Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Sabtu 5 Februari 2022, tampil memberi penjelasan mengenai kelewatan itu yang berpunca daripada individu-individu yang tidak bertanggungjawab, sehingga pihaknya terpaksa membuat tapisan. 


Amirudin berkata, pihaknya mengesan berlaku penipuan dalam permohonan bantuan banjir terutamanya dari daerah Petaling dan Klang. Meskipun belum mendapat jumlah sebenar kes, perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan pihaknya terpaksa membuat semakan semula dan tidak meluluskan terus permohonan terebut. 


"Saya belum dapat angkanya tapi itulah yang menyebabkan pertindihan permohonan (penipuan), kita keluarkan, terpaksa semak semula dan tidak lulus terus. Bila luluskan terus, ada potensi pertindihan. Daerah yang terdedah kepada perkara ini adalah Petaling dan Klang kerana jumlahnya tinggi," katanya. 


Antara contoh kes yang dikesan adalah, permohonan bantuan banjir dari pasangan bercerai tetapi masih tinggal serumah yang membuat dua permohonan berbeza, selain pemohon tinggal di rumah berstrata dan tidak terjejas, tetapi meminta bantuan baik pulih rumah. 


Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil, Amirudin berkata pihaknya kini mengutamakan kebajikan mangsa banjir terlebih dahulu dan mahu mengagihkan bantuan secepat mungkin sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap pemohon yang menipu. 


Setakat Khamis 3 Februari 2022, lebih 60 peratus mangsa banjir telah menerima bantuan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dengan agihan berjumlah RM55 juta. Amirudin menjangkakan pengagihan bantuan BSB akan selesai sebelum hujung bulan ini. Walaupun begitu, pihaknya masih memberi ruang kepada rakyat Selangor untuk mengemukakan bantahan, rungutan atau permohonan tercicir dan sebagainya. 


Sumber: Harian Metro

2 beranak tipu pakej perkahwinan RM7,625 ditahan, polis gesa mangsa lain tampil buat laporan


Dua beranak berusia 25 dan 57 tahun yang disyaki terbabit dalam penipuan urusan tempahan pakej perkahwinan ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dalam serbuan di Taman Sri Rampai, kelmarin. 


Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan berhubung penipuan yang dilakukan dua beranak terbabit daripada kerani wanita berusia 24 tahun, Khamis lalu. 


Menurut mangsa, dia mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan untuk majlis perkahwinan dari sebuah syarikat pada Mei lalu selepas tertarik dengan tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pengantin pasangan dan jurugambar. 


Mangsa membuat pembayaran deposit sebanyak RM7,265, malangnya syarikat tersebut gagal menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan. 


Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa dokumen dan telefon bimbit dari suspek. Polis percaya, ramai yang telah menjadi mangsa penipuan dua beranak terbabit dan pihaknya kini sedang mengesan mangsa-mangsa lain dan menggesa mereka untuk tampil membuat laporan. 


Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 8 Februari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan.


Mohd Mahidisham menasihatkan peniaga tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan jika tidak berkemampuan untuk memenuhi keperluan pelanggan, termasuk menggunakan alasan pandemik Covid-19 setelah gagal menunaikan janji mereka kepada pelanggan. 


Sumber: Harian Metro