'Kempen BMF tidak sesuai untuk perniagaan, hanya memakan diri'



Februari 2022, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim memaklumkan operasi Malakat Mall di Masjid Tanah terpaksa dihentikan sementara kerana syarikat itu tidak mampu menanggung kos sewaan RM70,000 sebulan yang dikenakan oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc). 


Meskipun telah berbincang, pihaknya gagal mencapai sebarang persetujuan dengan MARA Inc dan terpaksa mencari lokasi baharu untuk meneruskan operasi perniagaan, selain menjaga periuk nasi para pekerjanya. 


Kemunculan Malakat Mall pernah dikaitkan dengan kempen Buy Muslim First (BMF) yang dilancarkan pada tahun 2019. Ketika itu, sambutan terhadap Malakat Mall amat memberansangkan, namun lama-kelamaan kempen itu semakin sepi. 




Mohd Fadzil menganggap, kempen itu belum gagal dan tidak akan gagal kerana ini adalah satu 'perintah' bagi mereka untuk menjaga kelestarian serta kemaslahatan umat Islam secara khususnya. 


"Gerakan ini diwujudkan bagi membantu ekonomi Islam, terutamanya dalam aspek menjaga sumber makanan kita supaya sentiasa mematuhi konsep halal yang dituntut," katanya memetik laporan dari Malakat Tribune. 


Sementara itu, bekas editor, Norman Radzuan berpendapat kempen BMF tidak sesuai untuk perniagaan walaupun niatnya mahu membantu peniaga kecil atau produk Melayu. 


"Saya berpandangan kesilapan terbesar ketika kempen awal kemunculan Mall ini apabila marketing mereka dikaitkan ke arah BMF. Bagi saya, ia tidak sesuai dan hanya mengecilkan sasaran pelanggan Mall ini. 


"Bukan sahaja ia mengecilkan pelanggan daripada pelbagai bangsa, tetapi kelompok Melayu yang dingin dengan kempen BMF. Ini kerana ketika kempen BMF dilancarkan, ada orang-orang politik mengambil kesempatan ke atas kempen tersebut untuk tujuan politik hingga menjadi bahan sindirian kek pun dibeli di Secret Recipe. Akhirnya Malakat Mall menjadi mangsa keadaan. 


"BMF ini kempen yang hanya memakan diri sendiri. Ini kerana berdasarkan senario politik, 30 peratus orang Melayu tidak suka dengan sentimen berbaur perkauman.


"Kedua bila saya bertanya kepada rakan-rakan di KL. Mereka beritahu Malakat Mall gagal bersaing dari segi harga. Harga adalah sangat penting bila kita membuka perniagaan hypermarket. Marketing terbaik adalah free marketing dari mulut ke mulut bila orang ramai bercerita mengenai harga murah. 




"Saya beri contoh kejayaan Speedmart. Kemepen Malakat Mall 'Buy Muslim First' tapi kempen Speedmart, 'Murah dan Dekat'. Nampak cara marketing siapa yang jauh lebih bijak? Mereka tidak sasarkan kawasan-kawasan Cina sahaja, tetapi di mana-mana kita akan jumpa mini market ini. 


"Ya, harganya yang murah adalah tarikan utama tetapi bukan semuanya murah. Rempah Kari Babas di pasar raya lain dijual dengan harga RM5. Tetapi di Speedmart, dijual hanya RM4.30. Jauh bezanya yang menjadi buah mulut orang ramai, Speedmart murah. 


"Di sini kita kena belajar bagaimana orang Cina berniaga. Orang Cina ada mendidik anak-anak mereka 'buy Chinese first' di rumah, tetapi bukan secara terbuka dalam perniagaan. Mereka tidak perlu kempen beli barangan Cina dulu, tetapi ia telah diselami sejak dari kecil. 


"Peniaga Cina tahu orang Melayu adalah kuasa membeli terbesar, bukan sahaja kerana kaum majoriti tetapi jika waktu perayaan orang Melayu terkenal dengan sikap boros berbelanja membeli pakaian sebagai contoh. 


"Sebab itulah seperti di Sabah, ramai peniaga kedai makan menggunakan pekerja muslim bertudung sebagai tarikan kepada pelanggan Islam. Begitu juga tauke Cina sanggup menggunakan nama Rosyam Mart sebagai satu bentuk marketing. 




"Niat BMF itu baik tetapi bukan Malakat Mall yang memikul tanggungjawab itu. Kesedaran itu patut dipikul oleh NGO-NGO sahaja untuk diamalkan oleh orang-orang Melayu di rumah dan bukan untuk marketing perniagaan. 


"Jadi bagi saya, BMF dan daya saing harga barang perlu diambil perhatian. Malakat Mall juga wajar tukar konsep dengan menyewa dua lot kedai kerana kos dan risikonya lebih kecil. Bila sewa dan penggunaan kakitangan yang sedikit, Malakat Mall boleh bermain dengan harga bagi bersaing dengan pasar raya lain yang tumbuh seperti cendawan. Biar kecil tetapi ada di mana-mana. 


"Sekadar pandangan kepada mereka yang baru ingin menceburi bidang perniagaan. Dalam perniagaan, jangan sesekali dikaitkan dengan perkauman. Kedua, jika terlibat dalam politik, jangan pamerkan perniagaan kita kerana ia akan memberi kesan ke atas perniagaan tersebut," katanya. 


Sumber: Malakat Tribune, FB Norman Radzuan

'Dia kerap beritahu nak terjun dari jambatan itu' - Suami kemurungan lemas selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra

Foto Utusan & Kosmo Online


Seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan sejak setahun yang lalu dilaporkan lemas selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, Sungai Kelantan, semalam. 


Menurut sumber, kejadian itu berlaku pada jam 12.15 tengah hari dan mangsa datang ke lokasi dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave, sebelum terjun dan lemas di sungai itu. 


Isteri mangsa berusia 42 tahun berkata, suaminya sebelum ini selalu mengadu tertekan dan mengalami kemurungan. Sebelum kejadian itu, suaminya sempat menghantar anak bongsu ke sekolah dan terus pergi ke tempat kerja. 


Bagaimanapun, wanita itu terkejut apabila rakan-rakan suami dan polis datang ke rumah memaklumkan suaminya hilang dan menemui motosikalnya di atas jambatan berkenaan. 


"Sebelum ini, dia (suami) kerap memberitahu ingin terjun ke dalam sungai kerana jambatan itu merupakan laluannya setiap hari untuk pergi ke tempat kerja dari rumah kami di Pasir Pekan ke Kota Bharu. 


"Saya tidak mengambil perkara itu secara serius dan menasihatinya supaya ingat pada keluarga selain jangan membuat keputusan melulu. Hari ini, saya tidak menyangka dia hilang dengan meninggalkan motosikalnya di atas jambatan itu," katanya. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, maklumat dari saksi memaklumkan mangsa dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum tiba-tiba terjun dari jambatan. 


38 orang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam di lokasi. SAR kemudian ditamatkan pada jam 5.45 petang atas faktor keselamatan dan cuaca hujan. Operasi SAR akan disambung semula hari ini (Selasa). 


Sumber: Utusan

Polis guna handphone ketika memandu, disaman polis



Tular di media sosial baru-baru ini, video seorang anggota polis yang sedang memandu menggunakan telefon bimbit di Lebuhraya Persekutuan, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada jam 9 pagi ketika anggota terbabit sedang memandu kenderaan Proton Preve dan berlogo PDRM. 


Akibatnya, anggota polis itu telah dipanggil untuk siasatan dan hasilnya, anggota terbabit dikenakan saman mengikut Kaedah 17(A) LN166/59. 


Mohamad Fakhrudin menegaskan, walaupun kejadian itu tidak membabitkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya lain, pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggotanya yang melakukan kesalahan ketika bertugas. 


@fazrul.7 mengunakan telefon bimbit ketika memandu..#fypã‚· #pdrm ♬ Marry Me (feat. Toya Wright) - Rasheeda


Sumber: Harian Metro, TikTok Che Ija

'Doktor sahkan saya lumpuh & kaki kiri terpaksa dipotong' - Bekas penunggang basikal lajak

Foto Harian Metro


Keberanian seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun bermain basikal lajak di lebuh raya mengundang padah apabila dia merempuh sebuah kenderaan yang diparkirkan di tepi jalan. Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Saad Zainuddin, 28, kehilangan kaki kiri dan lumpuh dalam kejadian yang berlaku pada 10 Ogos 2008. 


Muhammad Saad yang kini berusia 28 tahun bagaimanapun mahu bangkit untuk mengubah nasib dirinya dan memulakan hidup baharu serta melupakan tragedi yang menyebabkan dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan kaki kirinya dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman. 


Dia kini mahu menumpukan kepada perniagaan keluarganya yang menjual pelbagai jenis makanan di Jalan Yahya Awal, sejak lebih 20 tahun lalu. 


Menurut Muhammad Saad, dia mula terjebak dengan aktiviti basikal lajak sejak berusia 11 tahun gara-gara terpengaruh dengan trend basikal lajak yang sedang popular pada ketika itu. Dia sanggup mengumpul duit upah membantu ibu bapanya berniaga agar dapat membeli barangan terpakai bagi mengubahsuai basikalnya menjadi basikal lajak. 


Awalnya dia hanya bermain di laluan kampung berhampiran rumah dan tidak beberapa lama kemudian, dia dan rakan-rakannya mula bermain di jalan utama di sekitar bandar Johor Bahru termasuk di lokasi yang mengorbankan lapan remaja berbasikal lajak pada 2017. 


"Keberanian itu akhirnya membawa padah pada 10 Ogos 2008 ketika saya berusia 14 tahun. Ketika menunggang basikal lajak di Jalan Lingkaran Tengah itu bersama tiga lagi rakan, basikal ditunggang merempuh sebuah kenderaan yang sedang diparkir di tepi jalan itu. 


"Ia menyebabkan saya mendapat kecederaan parah iaitu terkoyak di kepala selain pengsan di lokasi kejadian yang tidak sampai 150 meter dari tempat kejadian lapan remaja basikal lajak yang maut. 


"Saya hanya tersedar apabila sedang dirawat di hospital. Doktor mengesahkan saya lumpuh dari bahagian pinggang akibat kecederaan serius pada tulang belakang," katanya. 


Muhammad Saad mengakui, tidak tidak dapat menerima hakikat apabila doktor memaklumkan dia mungkin akan lumpuh seumur hidup. Lebih-lebih lagi kaki kirinya juga terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman, membuatkan dia hilang semangat untuk hidup. 


Hal itu membuatkan dia mengalami kemurungan selama tiga tahun dan trauma untuk keluar murah. Mujur sokongan dari keluarga dan rakan membuatkan dia kini berazam untuk memulakan hidup baru. 


"Saya kini ditugaskan menjaga kaunter di kedai makan diusahakan keluarga. Apabila bekerja sepenuh masa seperti ini, saya mula mendapat semangat baru dan mahu melupakan episod hitam yang melanda hidup saya," katanya. 


Justeru, Muhammad Saad berharap golongan remaja yang terbabit dalam aktiviti itu berhenti dari memnbahayakan diri dan pengguna jalan raya lain serta menjadikan kisahnya sebagai pengajaran. 


"Ambil iktinbar kisah saya yang kini lumpuh dan hilang upaya. Lupakanlah basikal lajak, keseronokan hanya sementara. Jika terbabit kemalangan, kita akan merana seumur hidup. Pengalaman yang saya lalui ini bukan membanggakan, ia cukup pahit dan menyakitkan, namun menginsafkan," katanya. 


Sumber: Harian Metro

'Mungkin saya ada kacukan Cina' - Elon Musk mahu bertemu dengan 'kembarnya' di China



Bilionair Amerika Syarikat dan juga pemilik syarikat Tesla, Elon Musk, menyatakan hasratnya mahu bertemu dengan kembarnya, Yilong Ma, yang juga influencer di China. 


Wajah Ma yang mirip dengan Elon Musk itu, membuatkan lelaki berasal dari wilayah Hebi di Utara China itu menjadi popular, selepas videonya berdiri di sebelah sebuah kereta viral di media sosial, hujung tahun lalu. 


Video tersebut turut menarik perhatian Elon sendiri yang menyatakan hasrat mahu bertemu dengan Ma. 


"Mungkin saya ada kacukan Cina," seloroh Elon di Twitternya pada Disember 2021. 


Bagaimanapun Elon berkata, sukar untuk mengatakan wajahnya mempunyai persamaan dengan Ma disebabkan deepfake yang boleh dibuat pada masa ini, dalam ciapannya yang terkini pada Isnin lalu. 


Sehari selepas itu, Ma juga membalas ciapan Elon menerusi platform Weibo yang menyatakan dia juga mahu bertemu dengan bilionair itu. 


"Saya di sini dan mahu bertemu kamu juga. Saya sayangkan kamu, kamu hero saya," katanya. 


Difahamkan, Yilong Ma bukan nama sebenar lelaki itu. Nama tersebut adalah sebutan Mandarin bagi nama Elon Musk. 


@mayilong0 From Ma Yilong's love for Musk#elonmusk #tesla @mayilong0 @elonxmusk ♬ Sunroof - Nicky Youre & dazy


Disebabkan wajahnya yang mirip dengan Elon Musk, Ma kini mempunyai 229,000 followers di TikTok dan selalu memuat naik video yang melakonkan watak seperti Elon Musk yang dianggap sebagai abangnya. 


Sumber: Harian Metro