'Kenapa makin berleluasa benda alah ni? MCMC tak buat kerja ke?' - Rakyat luah rasa semak terima mesej dari scammer



Scam, satu sindiket penipuan yang dilakukan di dalam talian dengan kata-kata yang manis atau jaminan palsu yang membuatkan masyarakat mudah terpengaruh dengan kata-kata tersebut sehingga mengalami kerugian. Pelbagai modus operandi yang dilakukan mereka demi meraih keuntungan berlipat kali ganda.


Terbaharu, mereka kini menawarkan pekerjaan yang dikatakan boleh memberikan pulangan yang lumayan. Tawaran tersebut dibuat melalui hantaran Sistem Pesanan Ringkas. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh ‘syarikat’ mereka adalah menawarkan pengambilan pekerja sambilan yang hanya bekerja dari rumah dan akan memperolehi gaji sebanyak RM280 hingga RM600 dalam masa sehari.


Pengadu mendakwa mesej sebegini diterima pada setiap hari dan adakalanya mereka juga menerima mesej  berbentuk perjudian. Walaupun sudah beberapa kali mereka  memadam dan menyekat nombor-nombor tersebut, namun mereka tetap menerima mesej yang sama pada hari berikutnya.





“Sehari, dua hingga tiga kali dapat mesej macam ni, dan judi. Setiap hari block pun ada lagi nombor baru. So aku ignore je mesej, “tulis hongbaneewa.


“Exactly, I guna nombor ni for MySejahtera. Nombor ni sangat private. Sebelum ni jarang dapat mesej macam ni,” kata pengguna Twitter BiruUnguCintaku pula.




Menjadi persoalan di sini, bagaimanakah segala data pemilik dapat diceroboh? Adakah melalui pautan tertentu atau ada pihak yang cuba menggunakan kesempatan memperolehi maklumat pengguna untuk tujuan tertentu?


Menyedari hal ini semakin berleluasa dan tiada penghujung, rakyat mula mempersoalkan tindakan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani isu ini dan ada juga yang memetik nama Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berhubung isu ini.


Sumber: Faliq Fahmie

Ketibaan kumpulan pertama pekerja asing tiba di Malaysia ditangguhkan, 'TIBER!'

Sekadar hiasan | Foto Kosmo Online


Media semalam melaporkan, kumpulan pertama pekerja asing bagi sektor perladangan akan tiba di Malaysia malam semalam (Selasa) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan disambut oleh Menteri Sumber Manusia dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia. 


Bagaimanapun, ketibaan kumpulan pertama itu ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan 'keadaan di luar jangkaan'. 


Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, dia tidak pasti mengapa tetapi dimaklumkan terdapat beberapa masalah di Lombok yang menjadi lokasi di mana kumpulan pertama itu sepatutnya berangkat. 


"Ia akan ditangguhkan sehingga salah faham itu diselesaikan," katanya. 


Difahamkan, seramai 160 pekerja dari Lombok akan diambil bekerja di ladang sawit tempatan dengan gaji RM1,500 (seorang). 


Mereka dijangkan tiba di KLIA melalui penerbangan disewa khas Sime Darby Plantation Bhd. dan semua kos itu ditanggung oleh majikan. 


Sumber: Free Malaysia Today

PM kata kena laksanakan semula GST untuk tambah pendapatan kerajaan



Isu kekurangan bekalan makanan dan harga barang naik dilihat belum mencapai jalan penyelesaiannya. Keadaan ini memaksa rakyat terpaksa mencari pelbagai cara untuk menambah pendapatan, termasuk merayu kerajaan memberikan subsidi bagi meringankan beban. 


Semalam, Menteri Besar Perak pula menyarankan rakyat bercucuk tanam dan menternak haiwan untuk kegunaan sendiri bagi menangani dua isu tersebut. Namun, saranannya mengundang kecaman netizen kerana kenyataannya itu dianggap seperti meminta rakyat menyelesaikan masalah itu sendiri.


Terbaru, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula memaklumkan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkemungkinan akan kembali dilaksanakan untuk menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan kadar inflasi dan kos sara hidup rakyat


Ismail berpendapat, sistem percukaian itu dilihat mampu membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat


"Kita telah kehilangan RM20 bilion pendapatan tahunan apabila kita memansuhkan GST dan mengembalikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Tiada negara dalam dunia ini yang kembali dari GST ke SST melainkan Malaysia," katanya. 


Walaupun sedar akan persepsi negatif mengenai GST, tetapi kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan ketika ini. Pihaknya akan berusaha mengembalikan GST bagi mencari jalan untuk mendidik dan menimbulkan kesedaran tentang sudut positif GST serta sistem pengutipan cukai yang lebih telus. 


Ismail juga memberi jaminan, kadar GST yang akan diperkenalkan semula tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat. 


Sumber: Free Malaysia Today

Cik Lala dah ditangkap, polis kini giat mengesan rakan subahatnya



Polis akan melakukan beberapa lagi tangkapan berhubung insiden sekumpulan lelaki berperwatakan wanita menari separuh bogel dan membakar bunga api pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City di Shah Alam Jumaat lalu.


Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata semalam pihaknya menahan individu terbabit termasuk penganjur yang merupakan seorang pesohor Instagram dikenali sebagai 'Cik Lala.'


"Beliau dilepaskan dengan jaminan polis hari ini. Bagaimanapun, polis sedang mengumpul segala keterangan dan tangkapan berperingkat akan dilakukan kerana ada antara penari terbabit merupakan mereka yang datang dari luar kawasan," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IPD Serdang di sini malam ini.


Beliau berkata kertas siasatan akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja semua siasatan dan rakaman percakapan saksi serta suspek selesai untuk tindakan selanjutnya.


Sabtu lalu, polis menerima laporan daripada pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai satu tarikan pelancong di Selangor.


Aktiviti diiringi muzik kuat itu dilakukan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan Cik Lala adalah individu yang menyewa unit terbabit pada harga RM4,000 bagi menganjurkan majlis tersebut dengan menjemput kira-kira 50 orang.


Arjunaidi juga berkata kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Nur Syuhada di talian 017-6942 736.


Sumber: Bernama

Lelaki mengaku bunuh wanita Thai, mayatnya dikerat & disumbat dalam beg sebelum dicampak ke sungai



Mahkamah Thailand semalam mensabitkan seorang lelaki Britain atas pertuduhan membunuh seorang pekerja seks pada 2014 di mana mayat mangsa dikerat kepada beberapa bahagian sebelum ditemui dalam beg pakaian yang dibuang di sungai. 


Tertuduh, Shane Kenneth Looker, 52, dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun kerana membunuh Laxami Manochat, 31, di dalam bilik hotel dan membuang mayatnya. 


Mayat mangsa ditemui beberapa hari kemudian setelah orang awam menemui beg pakaian itu di sungai, di Wilayah Kanchanaburi. 


Mayat mangsa dikerat dan disumbat dalam beg pakaian


Polis berkata, siasatan pihaknya mendapati Shane dilihat keluar bersama dengan Laxami dari sebuah bar di Bangkok pada 1 November 2014. Pasangan itu kemudian masuk ke sebuah hotel. 


Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, hanya Shane yang keluar dari hotel itu bersama dengan dua kakitangan hotel membantunya membawa beg besar dan berat. Petugas pembersihan hotel itu memaklumkan, cadar di bilik yang didiami Shane juga dipenuhi dengan darah. 


Video CCTV menunjukkan Shane bersama Laxami


Mayat Laxami yang dikerat ditemui pada 6 November 2014 dalam beg pakaian yang dimuat dengan batu, lalu dicampak ke dalam Sungai Mae Klong. Hasil pemeriksaan forensik berjaya menemui DNA Shane di bahagian kuku mangsa. 


Barangan lain yang turut ditemui dalam beg


Shane kemudian didapati bersalah atas pertuduhan itu dan dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun. Tetapi disebabkan Shane mengaku bersalah, mahkamah mengurangkan hukumannya kepada lapan tahun penjara tanpa penangguhan. 


Shane juga diperintah membayar pampasan sebanyak 10 juta baht (RM1.2 juta) kepada ibu Laxami, dan dua juta baht (RM255K) serta faedah kepada anak perempuan mangsa. 


Anak mangsa dan ibu Laxami


Mahkamah Wilayah Kanchanaburi mengeluarkan waran tangkap terhadap Shane pada Januari 2015 kerana membunuh dan menyembunyikan, memindah atau memusnahkan mayat untuk menyembunyikan kematian mangsa. 


Namun, Shane sempat menikmati hari percutiannya di pusat peranginan mewah di tepi laut negara itu selama beberapa minggu sebelum menaiki kereta api melintasi sempadan ke Malaysia dan terus melarikan diri ke Sepanyol. 


Shane kemudian ditahan pada Jun 2017 oleh pihak berkuasa Sepanyol yang bertindak selepas dimaklumkan mengenai waran tangkap terhadapnya. 


Shane banyak menghabiskan masa bertahun-tahun untuk membantah arahan untuk diekstradisikan ke Thailand dengan mendakwa dia akan dikenakan layanan yang tidak berperikemanusiaan di negara itu. 


Bagaimanapun, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah menolak bantahannya selepas pihak berkuasa Thailand memberi jaminan yang Shane tidak akan dikenakan hukuman mati. Shane telah dihantar ke Thailand untuk menghadapi perbicaraan pada Julai. 


Sumber: Daily Mail