Kritik UMNO secara terbuka, Tajuddin Abdul Rahman, digantung keahlian selama 6 tahun



Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah membuat keputusan untuk menggantung keahlian parti Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, selama enam tahun atau dua penggal. 


Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MT UMNO malam semalam yang menjelaskan Tajuddin digantung kerana membuat kritikan secara terbuka terhadap parti, bukannya kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi. 


"Memang betul mereka digantung enam tahun. Semua sudah tahu sebab apa. Dia (Tajuddin) ada buat sidang media terbuka. Dia bukan kritik Presiden, tetapi UMNO," kata sumber kepada Utusan Malaysia. 


Bagaimanapun, tidak dijelaskan mengapa Ketua UMNO Bahagian Alor Setar turut menerima nasib yang sama. 


Tajuddin sebelum itu dilaporkan pernah menyerang kepimpinan UMNO secara terbuka selepas digugurkan daripada jawatan ahli MKT UMNO. 


Selain itu, Tajuddin juga pernah mendedahkan wujudnya akaun bersumpah daripada Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Malah, dia sendiri menjadi saksi dan menolak 'kerjasama' berkenaan. 


Sumber: Utusan Malaysia

2 beradik maut terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen



Dua beradik lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang mandi di dalam sebuah besen di perkarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua mangsa masing-masing berumur 10 dan sembilan tahun itu merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik.


Katanya, bapa mangsa yang merupakan pengusaha kedai makan mendapati anaknya sudah tidak bernyawa setelah kembali ke rumah daripada membeli barang manakala ibu mangsa berada di dalam rumah.


“Menurut bapa mangsa, anaknya meninggal dunia berpunca dari renjatan elektrik yang mengalir dari sebatang besi penyidai baju.


“Pihak Tenaga Nasional berhad (TNB) mengesahkan berlaku geseran dari wayar tepi rumah terus ke zink, menyebabkan wayar tersebut ‘luka’ dan arus elektrik mengalir melalui besi penyidai baju itu,” katanya dalam kenyataan.


Wan Kamarul Azran berkata hasil siasatan turut mendapati kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila bersentuhan dengan besi penyidai baju yang berada di tempat mandi.


Menurut beliau, keadaan rumah tersebut juga agak berselerak dan tidak bersusun dengan besi terpakai kerana sebelum ini, bapa mangsa mempunyai bengkel kereta yang telah ditutup menyebabkan barang-barang yang terpakai dibawa balik ke rumah.


“Mayat kedua-dua mangsa akan dibedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 di Hospital Serdang,” katanya.


Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran mengingatkan ibu bapa agar tidak membiarkan barangan elektrik dan pendawaian elektrik yang bocor di kawasan rumah.


Sumber: Bernama

'Jangan fikir saya nak mengaibkan mak dia' - Respon pengantin terhadap anak Makcik Baju Merah



"Dia sebenarnya macam ni, saya bayar photographer, saya bayar gambar-gambar (wedding) itu semua.. kalau kata saya tak boleh post gambar saya semua, buat apa saya bayar photographer tu?" demikian kata Zarah Yusoff yang mendakwa gambar pernikahannya 'dirosakkan' oleh makcik baju merah yang tular di media sosial baru-baru ini. 


Sebelum ini, anak kepada makcik baju merah tampil mempertikaikan tindakan Zarah yang memuat naik gambar ibunya dan secara tidak langsung telah mengaibkan wanita berkenaan sehingga mengundang banyak kecaman netizen. 


Baca: 'Kalau betul ibu saya rosakkan majlis dia, pergi buat report polis' - Anak Makcik Baju Merah


Menurut Zarah sebelum ini, dia enggan memuat naik gambar-gambar hari penikahannya di media sosial disebabkan terlalu banyak kelibat makcik baju merah. 


"Takkan saya nak post gambar dan kaburkan muka makcik itu? Saya bayar beribu untuk dapatkan perkhidmatan jurufoto, bukannya beratus. Walaupun tak adalah sampai RM7-8 ribu, RM2,000 pun banyak.. bukannya sikit. 


"Saya pun tak ada plan nak minta makcik itu bayar atau tuntut ganti rugi, tak ada langsung.. tak terfikir pun. Saya sebenarnya tak nak perkara ini berlaku pada orang lain," katanya. 


Tambahnya lagi, selepas video itu tular, ada 21 individu yang mengadu telah menerima nasib yang sama (dari orang yang sama). Malah, sepupunya turut pernah menjadi mangsa. Hal ini menyebabkan Zarah tampil berkongsi masalah tersebut di media sosial bagi mengelakkan pasangan lain menjadi mangsa. 


"Macam mana anak dia nak tahu perangai mak dia, kalau tiada sesiapa pun yang beritahu mengenai hal ini?


"Orang yang sama..  walaupun gambar tu kan, diorang cakap, "Eh macam..". Saya tak beritahu langsung lokasi dekat mana, diorang sendiri yang tahu siapa orangnya. 


"Kalau kata video ini orang tak tahu, berapa ramai lagi yang dia nak buat? Benda ni daripada 2017 dia buat, saya rasa awal lagi daripada 2017. Tetapi setakat ini yang beritahu statement yang diorang kena itu, daripada 2017 lah yang paling awal," katanya. 


Mengulas mengenai amaran dari anak makcik yang mahu membuat laporan polis, Zarah menegaskan gambar yang dimuat naik itu adalah gambar yang dibayar olehnya.


"Kalau kata dia nak report pun, tak tahulah. Sebabnya gambar itu gambar yang saya bayar. Fikir logiklah kan, macam mana saya post gambar yang saya bayar, yang makcik itu aware ada photographer, videographer dan phone saya tengah buat live di situ, yang shootnya di mana-mana dia ada, cakap saya tak boleh post gambar itu," katanya. 


Bagi Zarah, dia hanya berharap makcik berkenaan tampil memohon maaf dan perkara itu tidak akan berlaku kepada sesiapa lagi di masa akan datang. Cukuplah dirinya menjadi 'mangsa' yang terakhir. 


Secara jujurnya juga, Zarah tidak menafikan dirinya marah apabila menyedari kelibat makcik baju merah itu di dalam setiap gambar pernikahannya, serta insiden itu akan kekal di ingatannya. 


"Sebenarnya saya berharap diorang minta maaf sahaja dan benda ini tidak akan terjadi pada sesiapa lagi. Cukuplah sampai saya je. Jangan hancurkan majlis orang, jangan fikir tanggungjawab dia untuk uruskan majlis, padahal pasangan pengantin itu dah ada perancangan mereka sendiri. 


"Hanya disebabkan seorang makcik, habis rosak susu sebelanga. Saya harap dia sedarlah dengan benda ini, jangan fikir saya nak mengaibkan dia," katanya. 


Sumber: mStar Online

'Bila saya tengok, terus jadi panas & hangin' - Pengantin kesal, dakwa makcik baju merah cemari hampir seluruh gambar pernikahannya



Tular di media sosial luahan ketidakpuasan hati seorang wanita berhubung tindakan seorang 'makcik' yang didakwa telah merosakkan gambar-gambar majlis pernikahannya, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Menurut pengadu, Zarah Yusoff, 27, dia berasa kurang senang dan marah apabila mendapati hampir semua gambar dan video majlis pernikahannya dengan suami, Nazrin Ramli, 28, di'enterframe' oleh makcik berbaju merah itu. 


"Saya dapat gambar, tiga hari selepas majlis. Bila saya scroll, nampak 'merah', 'merah', dan 'merah'. Bukannya, putih purple, putih purple, tak ada. Sebab keluarga saya pakai pakaian warna cream, keluarga belah suami pakai pakaian warna purple. 


"Bila saya tengok, saya terus jadi macam panas dan hangin. Saya terfikir, kenapalah pada masa majlis itu saya tak mengamuk, tolak atau tarik makcik itu. Memang jadi macam tu lah (perasaan), selepas majlis itu la kan.


"Saya memang tak tengok gambar itu dah,  saya letak tepi dan memang saya tak post gambar wedding langsung (di media sosial).


"Ada satu moment pada waktu akad nikah dan selepas nikah, suami saya buat macam 'YESS!', makcik itu ada di belakang. Moment yang memang tak boleh nak recreate baliklah. 


"Bukan saya tak nak post video itu, sebab saya dah sakit hati sangat. Dua bulan itu, saya cuba bertahan dan menerima gambar-gambar itu semua. Tetapi disebabkan gambar-gambar itu dalam album, yang memang kita akan simpan dan tunjuk kepada anak saya semua kan. 


"Di situ dah kira klimaks, saya dah tak boleh (terima). Saya call husband saya, menangis-nangis dan kata tak boleh dan tak okey," katanya. 


Jelas Zarah lagi, dia dan suami sudah memaklumkan kepada jurufoto untuk menukar gambar-gambar berkenaan tanpa kelibat makcik baju merah dan mereka sanggup membayar harga tambahan. Atau memilih gambar-gambar yang tertentu untuk disunting semula tanpa kelibat makcik berkenaan. 


Langkah itu diambil atas inisiatifnya sendiri tanpa meminta wang ganti rugi daripada makcik terbabit. Selain itu, Zarah juga merancang untuk buat semula majlis berkenaan selepas 10 tahun kemudian. 


Sumber: Twitter Skinnyondinie, mStar Online

Pemandu lori rogol, seks luar tabii & cabul anak perempuannya dalam lori



Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul anak perempuannya, dua minggu lalu.


Pemandu lori berusia 55 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid.


Tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 23 tahun 10 bulan di tempat duduk belakang sebuah lori di Jalan Sungai Besi di sini antara 2.30 petang sehingga 3.30 petang pada 18 September 2022.


Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa melakukan persetubuhan aturan tabii serta mencabul kehormatan mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama.


Bagi kesalahan persetubuhan aturan tabii, dia dituduh mengikut Seksyen 377C KK yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, manakala untuk kesalahan mencabul, pendakwaan mengikut Seksyen 354 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan bersalah.


Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan jaminan atas alasan mangsa dikatakan tinggal bersama isteri kedua tertuduh (bukan ibu mangsa), namun jika jaminan diberikan ada risiko tertuduh akan mendekati anaknya kerana mereka tinggal di Kuala Lumpur.


"Dalam pertuduhan hari ini, ada kesalahan merogol anak kandung dan untuk keselamatan mangsa, jaminan tidak ditawarkan," katanya.


Peguam Mona Anak Leonard Lubon yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya kerana tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, selain memberi kerjasama dengan pihak polis sejak ditahan Sabtu lepas.


"Anak guam saya berjanji tidak akan mengganggu anak kandungnya itu dan dia juga setuju jika ada syarat lain dikenakan seperti melaporkan diri di balai polis setiap bulan," kata peguam.


Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan kes.


Sumber: Bernama