(Video) 'Punya berlagak staff dia, aku geram betul dengan Lotus!' - Influencer TikTok geram staff Lotus tak bantu angkat barang walaupun dah berbelanja RM5,000



Seorang pempengaruh TikTok yang dikenali sebagai Kieda, dikecam teruk oleh netizen gara-gara meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan layanan staff sebuah pasar raya.


Dalam rakaman video yang disiarkan secara langsung melalui aplikasi TikTok, Kieda mendakwa, kakitangan di pasar raya berkenaan tidak mahu membantunya mengangkat barangan yang dibeli untuk dibawa masuk ke dalam kereta. Walaupun barangan yang dibelinya itu keseluruhannya berjumlah RM5,000.


"Aku kedai yang kecik ni pun, aku hargai customer yang beli banyak. Aku tolong angkat, letak dalam kereta diorang," katanya. 


Disebabkan insiden itu, Kieda menegaskan dia tidak akan sesekali menjejakkan kaki ke pasar raya itu lagi selepas ini, melainkan dia berada dalam keadaan terdesak. 


"Aku geram, geram dengan orang-orang Melayu kita yang duk kerja situ. Tolonglah sama, berkira kerja," katanya lagi. 


Bagaimanapun, netizen mengecam kenyataan Kieda dan menegaskan bahawa tugas mengangkat barang pelanggan tidak ternyata dalam polisi kerja kakitangan di sebuah pasar raya.


"Kak, saya buat business pergi Lotus beli barang beribu jugak, angkat semua barang sendiri, tolak laa troli tayar juling tu 5, 6 kali masuk kereta. Rileks sudah, sejak bila staff Lotus tolong angkat barang kat hg? lol," kata Xxx. 


Seorang bekas pekerja serbaneka juga berkongsikan pendapat yang sama. "Sebagai bekas perkerja hypermarket, kedai tak ada polisi tersebut. Kalau kami nak buat, ikut atas ehsan kami lah. Kami tak buat, tak jadi isu, takda kena marah. Boleh kami tolong kalau mintak dengan cara baik. Kalau letak kat TikTok buang masa layan," kata Badri Akif.



Sumber: si_shorty

(Video) 'Apsal tak boleh record? Saya dah bayar' - Wanita kantoi record filem untuk siar di TikTok



Umum tahu perbuatan merakam video ketika berada di dalam panggung wayang adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987. 


Namun, masih ada individu yang ingkar dan nekad melakukan kesalahan itu biarpun sudah berulang kali diberi peringatan sebelum bermulanya tayangan filem seperti yang berlaku baru-baru ini di mana pekerja panggung mengesan seorang penonton melakukan kesalahan itu dengan menggunakan telefon bimbitnya. 


Apabila pekerja panggung datang dan menegur perbuatannya, wanita terbabit terkejut dan berhenti merakam, namun sempat menegaskan bahawa dia berhak berbuat demikian kerana dia telah membayar tiket untuk menonton filem EVA. 


Pekerja itu kemudian bertanya sudah berapa lama dia membuat rakaman video itu dan memintanya menunjukkan rakaman tersebut, dia menafikan dan enggan menyerahkan telefon bimbitnya kerana beranggapan pekerja berkenaan tiada hak untuk berbuat demikian. 


Kesal dengan sikap wanita itu yang enggan memberi kerjasama, pekerja berkenaan nekad memanggil pengurusnya untuk menangani masalah tersebut.




Tidak diketahui apa yang berlaku selepas itu, hasil pencarian netizen berjaya menemui satu akaun TikTok yang dipercayai milik wanita terbabit. Dalam salah satu video menunjukkan, dia keluar menonton filem thriller tempatan, Eva, bersama rakannya. 


Dalam video yang sama, dua wanita berkenaan memuji filem itu menarik untuk ditonton dan berkata walaupun perbuatan merakam video dalam panggung wayang adalah tidak dibenarkan, mereka akan cuba untuk melakukannya. 


Setakat yang dilaporkan, mereka berjaya memuat naik lima klip video filem Eva yang jelas dirakam menggunakan telefon bimbit. 


Perbuatan wanita terbabit mengundang kemarahan netizen yang menggesa pihak panggung wayang mengambil tindakan undang-undang. 


"Tolong la take action (ke atas) orang camni. Aku nak buat story time sebelum mobie start pun dah seriau. Dia siap record time tayang, pastu siap post di TikTok. Bodoh punya perempuan. Urgh!" kata netizen. 


"Banned dia dari semua panggung wayang, baru dia tahu," kata netizen lain. 


Menyedari video tersebut tular di media sosial, wanita terbabit tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan dia hanya sekadar ingin mempromosikan filem tersebut. 


"Saya nak minta maaf tentang video yang kami rakam. Sebenarnya saya tiada niat pun nak rakam filem itu dalam panggung. Kalau tengok daripada mula pun, memang saya takde record. 


"Apa yang saya nak sampaikan kepada korang adalah movie ini best giler! Saya record pun part-part yang saya rasa best la untuk tunjuk kepada korang. 


"Saya tengok dekat berita, review (mengatakan) movie ini nak ditamatkan (tayangan) sebab memang takde orang langsung yang tengok filem ini. Bila saya pergi dekat wayang pun, memang kosong. Bila saya pergi dengan kawan saya pun, memang kami berdua sahaja dalam panggung wayang itu. 


"Saya rasa macam kesian la sebab tak ada orang langsung yang tengok cerita ni," jelasnya. 



Walaupun begitu, netizen mempertikaikan penjelasan tersebut yang dilihat seolah-olah tidak mengetahui bahawa perbuatan itu tidak boleh dilakukan. Sedangkan dalam video sebelum ini mereka ada berkata akan cuba record sikit-sikit untuk dimuat naik di TikTok. 





Sumber: Twitter, Majoriti

SPRM beku akaun Bersatu, Hamzah dakwa kerajaan peralat SPRM untuk bunuh kredibiliti partinya



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan beberapa akaun milik parti Bersatu telah dibekukan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki diperolehi daripada sumber haram. 


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Akta SPRM 2008 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. 


Disember 2022, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan. 


SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, fokus siasatan adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion. 


Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, mengesahkan perkara itu dan meminta mana-mana pemimpin dan pegawai Bersatu yang akan disiasat untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM. 


Hamzah memohon semua ahli Bersatu bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah berkenaan. 


Ahli Parlimen Larut berkenaan juga mengecam kerajaan yang didakwa memperalatkan SPRM untuk 'membunuh' kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional. 


Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro

Azmin Ali boleh jadi MB sekali lagi, tetapi sudikah orang Selangor menerimanya?



Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan akan mencalonkan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada tahun ini. 


Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Zulkafperi Hanafi berkata, peluang untuk Azmin Ali menjadi Menteri Besar buat kali kedua sentiasa terbuka, namun keputusan itu terletak pada kebijaksanaan kepimpinan parti bagi menentukan calon yang layak untuk menjawat jawatan tersebut. 


"Peluang sentiasa terbuka kepada Mohamed Azmin sekiranya berjaya memenangi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya. 


Bagaimanapun, Azmin dijangka akan mengalami kesukaran untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada PRU ke-14 kerana pengundi Melayu di kawasan itu tidak sampai 50 peratus. 


"Kita tidak menolak kemungkinan sama ada beliau kekal atau memilih DUN lain yang mungkin berpihak kepada PN," katanya. 


Dalam pada itu, Zulkafperi juga yakin PN mampu memenangi 33 kerusi DUN Selangor pada PRN akan datang kerana ramai anak muda yang menyokong PN berdasarkan pemerhatian di media sosial. 


Sementara itu tinjauan di media sosial mendapati, netizen khususnya penduduk jati Selangor berharap perkara itu tidak menjadi kenyataan kerana mereka enggan pemimpin yang kerap kali dilanda kontroversi menjawat jawatan penting berkenaan. 


Sumber: Harian Metro

Penganggur samun & bunuh warga emas di Jasin, didakwa di mahkamah



Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Jasin di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas.


Peter David, 20, dituduh membunuh Misah Md Amin, 91, di KM16, Kampung Pulai Darat, Merlimau di sini pada 1.30 pagi, 20 Januari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna merah mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Tan Chai Wei.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas yang tinggal seorang diri ditemukan maut dalam keadaan terbaring di bahagian dapur dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, 20 Jan lalu.


Sumber: Bernama