'Bunyi cakarannya seperti mahu masuk ke bilik' - Diganggu sejak hari pertama berpindah ke rumah 'baru'


Salam dan selamat sejahtera admin. Saya harap admin tak mengalami apa-apa gangguan semasa hendak publish cite saya ini (kalau la dipublish hahaha!)

Saya seorang guru, ditugaskan jauh di kawasan pedalaman di Sabah. Saya pada mulanya menolak kerana berpendapat tidak akan dapat menyesuaikan diri. Namun saya terima juga kerana merasakan inilah peluang untuk meluaskan pengalaman dan pemandangan.

Perjalanan saya dari bandar Kota Kinabalu (KK) ke kawasan pedalaman tersebut mengambil masa 5 jam. Agak jauh juga, kematu juga bontot duduk dalam kereta berjam-jam dengan jalan raya yang kurang sempurna tetapi Alhamdulillah saya tiba dengan selamat.

Ketibaan saya disambut mesra oleh penduduk kampung. Saya merasa begitu kagum dengan panorama hijau yang begitu berlawanan sekali dengan tempat asal saya. Penduduknya begitu baik, mesra dan sangat menghormati. Mereka jugalah yang bersusah payah membantu saya mengangkat barang-barang sehingga ke tempat rumah guru.

Rumah guru ini terletak 100 meter dari sekolah. Sunyi sahaja apabila musim cuti sekolah. Ditambah lagi dengan kawasannya yang masih kaya dengan kehijauan. Belakang rumah guru ini kawasan hutan. Cuma dipisahkan dengan pagar berduri. Ada empat buah sahaja rumah guru di sini. Sewaktu saya sampai, guru-guru yang lain balik kampung agaknya.

Rumah guru yang saya duduki ini diperbuat dengan papan kecuali dapur dan bilik air. Dapurnya berhadapan dengan kawasan hutan. Kalau saya tengah memasak boleh nampak burung-burung berwarna warni, tupai dan kalau beruntung boleh nampak gajah. Tapi jarang-jaranglah beruntung.

Baiklah, cukuplah mukadimah. Nak cerita pasal gangguan pula.

Gangguan yang saya alami ini berlaku sejak hari pertama saya tinggal di rumah guru ini. Ianya berlaku ketika saya hendak turun ke bilik air. Ketika sedang 'melepas', lampu bilik air tiba-tiba on off. Seolah-olah ada orang bermain suis di luar siap ade bunyi klik-klik. Saya yang memang jenis cepat saja marah, entah macam mana boleh jerit "Hoi!!!". Selepas itu, lampu okey semula. 

Saya keluar dan tengok seketika keadaan sekeliling, takut-takut ada perompak ke apa, sebab penduduk kampunng ini ada beritahu agar berhati-hati kerana ada banyak penagih di kampung ini. Namun, tiada sesiapa pun berada di luar bilik air. Yang ada hanyalah beberapa ekor cicak yang sedang bercinta. Takkanlah cicak pandai nak off suis lampu kan?

Okey, selesai hal bilik air. Kali ini tentang burung hantu pula. Saya selalu tidur lewat malam sebab seronok membaca novel. Tingkap di bilik saya biarkan terbuka sikit sebab nak membiarkan angin malam masuk ke dalam, aircond percuma. Sini sejuk sikit. 

Baru saja membaca muka surat ketujuh, tiba-tiba ada bunyi benda melanggar tingkap. Saya cepat-cepat pergi tengok dan ada seekor burung hantu yang saiznya lebih besar dari kepala saya terlanggar tingkap. Tetapi yang menghairankan, bukankah burung hantu liar menjauhi manusia? Macam mana boleh terpesong pula?

Saya kutip bangkai burung hantu itu dan letak dalam plastik dan simpan di luar pintu bilik sambil fikir keesokan hari saya akan kuburkan bangkainya. Saya sambung semula membaca novel. 

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba saya terdengar bunyi cakaran yang agak kuat di luar pintu. Ala, yang macam bunyi kucing mencakar-cakar tu. Tetapi yang ini seram, bunyi cakarannya seperti mahu masuk ke dalam bilik. Saya baling buku ke arah pintu dengan harapan agar bunyi itu berhenti. Malangnya tidak menjadi, malah bunyi cakarannya semakin kuat.  

Saya baling botol air kali ini dan bunyi cakaran itu berhenti. Saya cepat-cepat baca ayat kursi dan selepas itu cuba melelapkan mata. Tetapi mata pula tidak mahu lelap. Bukannya lupa nak pejam mata, memang dha pejam tetapi tak dapat tidur. Entah jam berapa saya tertidur, sedar-sedar saja hari sudah pagi dan mujur tak terlepas solat Subuh. 

Saya buka pintu, nak tengok ada ke tak kesan cakaran di pintu. Tetapi tiada apa-apa kesan pun. Jadi, bunyi apa yang saya dengar malam tadi? Saya bergegas pergi ke belakang untuk menguburkan bangkai burung hantu itu. 

Sewaktu saya sedang berusaha mengorek tanah, tiba-tiba ada seorang nenek dan cucunya datang dari kawasan hutan. Nenek itu berpakaian seperti zaman dulu kala dan begitu juga dengan cucunya 

"Buat apa dalam hutan pagi-pagi ini nek?" soal saya dengan tangan yang masih mengorek tanah. 

"Nenek nak ambil dia," katanya sambil memandang bangkai burung hantu itu. 

Saya menjadi kebinggungan seketika, tetapi saya serahkan juga bangkai burung itu kepadanya. Kemudian nenek itu bersama cucunya berjalan pantas kembali ke kawasan hutan. Tiba-tiba pula jiran saya, Cikgu Ros, memanggil saya. 

"Kau bercakap dengan siapa tadi?" soalnya. 

"Ada nenek datang minta bangkai burung hantu," jawab saya. 

Muka Cikgu Ros tiba-tiba berubah menjadi pucat. Dia kata dia nampak saya bercakap seorang diri, tetapi saya bersungguh-sungguh menafikannya. 

Pada sebelah malam, rumah saya berbau busuk, busuk yang teramat sangat. Saya mencari di setiap penjuru punca bau busuk itu tetapi gagal menemuinya. Habis satu rumah saya sembur dengan minyak wangi Lancome. Tetapi bau busuknya masih ada. Nak makan pun tak lalu, haih!! 

Saya bancuh kopi dan bawa masuk bilik, berdiri di tepi tingkap sambil memandang ke kawasan hutan. Tiba-tiba saya ternampak nenek dan cucunya yang datang pagi tadi sedang berdiri di tempat yang sama. Mereka seolah-olah memanggil saya tetapi tiba-tiba handphone saya berdering. 

Bila saya memandang ke arah mereka semula, kelibat mereka sudah hilang. Saya agak curious, apa yang mereka buat dalam hutan pada waktu malam-malam begini? Takkan mereka tinggal di dalam hutan? Ah! Esok sajalah saya ambil tahu. 

Saya pun baring-baring nak tidur. Baru beberapa minit lelap, saya terasa ada orang berada di sebelah saya. Saya buka mata dan... 

ASTAGHFIRULLAH!! Nenek tadi sedang baring di sebelah saya!! Matanya tajam memandang saya! 

Mulut saya terkunci, tetapi saya sempat bangun dan terjatuh dari katil. Saya terpandang bawah katil dan cucunya ada di situ sedang bermain sorok-sorok. Dengan pantas saya bangun, keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Saya cuba on semua lampu tetapi lampu tak on. Jilake!! Saya nak buka pintu untuk keluar, tetapi pintu tak boleh dibuka. Betul-betul jilake! Saya cuba menjerit tetapi suara pula tak nak keluar. 

Lalu saya bersembunyi di bawah meja makan sambil berdoa dalam hati dan baca apa sahaja ayat yang dihafal. Lawak tau, sampai doa makan pun saya baca. Saya pejam mata rapat-rapat dan kmeudian saya terdengar,

"Nenek, nenek. Jom kita main sorok-sorok. Adik sembunyi, nenek cari adik," kata suara si cucu. 

Tiba-tiba bulu roma saya meremang, ada sesuatu di sebelah saya tetapi saya tak berani nak buka mata. Tapi saya dengar bunyi ketawa kecil mengekek-ngekek. Saya terasa pinggang saya dicucuk-cucuk tetapi saya masih berkeras tidak mahu membuka mata. Saya menangis ketakutan. 

Apabila bunyi ketawa dan cucuk-cucuk itu dah berhenti, saya cuba membuka mata dan perlahan-lahan menoleh ke sebelah, Fuh!!! Tak ada apa-apa. Tetapi tiba-tiba wajah nenek itu menjengah dari atas meja makan sambil ketawa mengilai. Saya terus pitam. Bila tersedar, saya berada di atas katil. 

Semalam itu mimpi atau realiti? Siapa yang angkat saya ke katil? Nenek itu ke? Saya masih tertanya-tanya. Saya pergi ke rumah Cikgu Ros dan memaklumkan kepadanya mengenai apa yang berlaku. Rupa-rupanya rumah guru yang saya diami ini adalah bekas kubur lama. Tak hairanlah banyak gangguan. Guru yang tinggal di rumah ini dahulu lebih teruk diganggu sampai hampir terbakar rumah ini. 

Nenek dan cucu yang mengganggu saya itu mungkin 'penghuni' di bawah rumah saya. Saya keluar berpindah dan tinggal menyewa rumah di pekan. Cikgu Ros pun ikut berpindah. Waktu saya mengemas barang di dapur, secara tidak sengaja terpandang ke kawasan hutan dan di situ berdiri nenek dan cucunya memandang saya dengan tajam. Cepat-cepat saya mengalihkan pandangan. 

Sumber: Dearley Azazel

Anda pernah mengalami pengalaman/peristiwa seram? Hantarkan kisah seram anda kepada kami di thereportermyofficial@gmail.com

'Batuk kuat sehingga peranakkan saya terjatuh' - Suami isteri jatuh sakit selepas tonton filem seram Siccin


Wanita ini mendakwa dia dan suaminya mengalami demam selama 4-5 hari selepas menonton sebuah filem seram dari Turki. Lebih teruk lagi, Syafeeca Izyan, mendakwa peranakkannya terjatuh akibat batuk teruk yang dipercayai berpunca dari mentera yang dibacakan dalam filem Siccin. 

Sejauh manakah kebenarannya? 

Ada beberapa netizen juga tampil berkongsi pengalaman mereka sendiri selepas menonton filem tersebut. Ada d antaranya mengalami demam, badan terasa lemah tak bermaya. Malah anak kecil mereka juga meragam dan menunjuk-nunjuk ke arah pintu sedangkan tiada apa-apa di situ. 




Foto screenshot: OhBulan!

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Pernah dengar filem seram bersiri dari Turki berjudul Siccin? Sejujurnya filem Siccin ini tidak seram, cuma silap saya bila terlalu ghairah nak sangat tengok sampai lupa yang filem ini dibacakan mentera yang sebenar berdasarkan kisah benar. 

Apa yang saya alami tanpa sedar selepas menonton Siccin dalam tiga hari:
  • Saya jadi tak mengantuk tiba-tiba dari malam sampai pagi.
  • Batuk teruk seteruk-teruknya sampai otak bergegar.
  • Batuk tak berhenti tanpa mengira siang dan malam. Tetapi bila waktu senja (maghrib) batuk bertambah teruk.
  • Batuk yang sangat kuat tekanannya sehingga mengakibatkan rahim (peranakkan) saya terjatuh.
  • Saya dan suami demam selama 4-5 hari dan bila ambil darah, keputusan menunjukkan darah kami tiada masalah langsung.
Mungkin ini antara asbab bacaan mentera (jampi) dalam filem Siccin (dengan izin Allah SWT). Filem ini memang tak seram, cuma bacaan mentera dalam ceritai ni adalah benar memanggil-manggil jin dan syaitan.

Siccin atau sebutan dalam Bahasa Melayu, "Sijjin" yang bermaksud Kitab Amalan Buruk yang mencatat segala perbuatan orang-orang durhaka (syirik pada Allah, yang mempercayai benda-benda lain selain Allah), yakni kitab catatan amal perbuatan orang-orang kafir (tersimpan dalam Sijjin). 

Menurut suatu pendapat, Sijjin itu adalah nama sebuah kitab yang mencatat semua amalan perbuatan syaitan dan orang kafir dan Sijjin itu adalah nama tempat yang berada di lapisan bumi yang ketujuh. Tempat itu merupakan pangkalan iblis dan bala tenteranya. 

Menurut Ibnu Katsir, Sijjin bermaksud tempat kembali dan tempat tinggal orang-orang buruk.

Filem Siccin ini ada banyak siri dan ia berdasarkan kisah benar. Banyak bacaan mentera dan mentera yang dibaca dalam cerita ini adalah mentera yang benar!

Yang ada anak kecil, anda tidak digalakkan menonton filem ini. Tetapi kalau nak tonton juga, tutup volume tv semasa bacaan mentera dan jampi. Mentera dalam cerita ini menggunakan nama Allah SWT. Fuhh!


(Video) 'Mak minta maaf terpaksa tinggalkan Is di kedai dobi, mak tak mampu bayar pengasuh'


Si suami menghilangkan diri entah ke mana menyebabkan si ibu dan empat orang anaknya terpaksa hidup merempat sejak Ogos lalu selepas kediaman mereka di Taman Chempaka, Johor Bahru disita, lapor Harian Metro

Julia Isnin, 41, yang bekerja sebagai penyapu sampah di Larkin Perdana sejak dua bulan lalu terpaksa meninggalkan bayinya, Mohd Iskandar, 4 bulan, dengan ditemani anak perempuan Nor Farahin Shahri, 11 dan anak kembarnya Mohd Azhar dan Mohd Azhari, 13 di kedai dobi layan diri kerana tidak mampu membayar pengasuh.

Julia dan anak-anaknya itu juga hidup merempat termasuk tidur di masjid atau rumah terbiar. 

"Mak minta maaf, mak terpaksa tinggalkan Is di kedai dobi ini sebab tak mampu membayar pengasuh," katanya. 

Disebabkan keadaan hidup mereka yang tidak menentu itu, hanya Nor Farahin sahaja yang masih bersekolah, manakala anak kembarnya terpaksa berhenti sejak tahun lalu bagi membantu menjaga adik bongsu mereka. 

Walaupun bimbang dengan keselamatan anaknya terutamanya Iskandar, Julia tiada pilihan lain dan terpaksa berbuat demikian dan memilih kedai dobi sebagai rumah kedua untuk anak-anaknya berteduh kerana diyakini lebih selamat berbanding tempat lain, malah tempat itu terletak berhampiran dengan lokasi dia bekerja di blok bangunan sama.

"Macam inilah rutin harian saya. Bermula jam 8 pagi dari Isnin hingga Sabtu, saya bawa anak-anak ke kedai dobi dan meletakkan Is di meja. Alhamdulillah, Is memang baik tak meragam, diam saja. Dia macam tahu mak dia susah. Kalau menangis pun biasalah nak susu, tetapi kakak dia boleh buatkan. Cuma kadang-kadang kalau tak abang, kakak dia akan cari saya bila Is menangis. 

"Kadang-kadang sambil menyapu sampah, terdetik juga rasa bimbang. Tangan saya menyapu tetapi dalam hati ini hanya Tuhan saja yang tahu," katanya yang juga sentiasa datang menjenguk anaknya beberapa kali bagi memastikan keselamatan mereka. 


Menurut Julia, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menghilangkan diri tanpa berita dan bertambah malang apabila rumah mereka disita tahun lalu. 

"Saya cuba mencari suami, namun gagal dan sehingga kini tidak diketahui di mana dia berada," kata Julia.

Kanak-kanak maut, leher terjerut di tali pengikat langsir


Seorang kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia akibat terjerut tali pengikat langsir di rumahnya, petang semalam, lapor Sinar Harian

Dalam kejadian jam 2.15 petang di kediamannya di Halaman Meru Impian, Meru Raya itu, mangsa berusia dua tahun tiga bulan dikatakan sedang bermain seorang diri di bahagian ruang tamu rumah, sementara ibu tirinya memasak di dapur. 

Ketika kejadian itu berlaku, bapa mangsa berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pensyarah keluar atas urusan kerja dan anak sulung berusia lima tahun berada di tadika. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa sebelum itu ada meminta makanan dari ibu tirinya, 30, yang kemudian memberikannya biskut dan pergi memasak di dapur. 

"Wanita itu bagaimanapun mula rasa tidak sedap hati kerana anaknya senyap, dia kemudiannya melihat di ruang tamu dan dapati mangsa berada dalam keadaan tergantung di tali yang digunakan untuk menggantung langsir ke sisi.

"Mangsa ketika diturunkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.

Mohd Ali berkata, ibu tiri terbabit cuba menyelamatkan anaknya dan membuat bantuan pernafasan, malangnya denyutan nadi mangsa lemah dan kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan disahkan telah meninggal dunia. 

"Siasatan awal mendapati, mangsa berkemungkinan berada di kawasan tangga yang terletak bersebelahan dengan pintu dapur sebelum bermain di tali pengikat langsir yang menutup ruang masuk ke dapur berkenaan," katanya.

Hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 6.55 petang tadi mendapati, kematian mangsa akibat tergantung.

(Video) 'Fitnah yang dilemparkan merosakkan imej dan beri kesan kepada saya' - Yusuf Azmi keluar dari PPIM


Yusuf Azmi, 28, mengesahkan dirinya tidak lagi bersama badan bukan kerajaan (NGO, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana bosan dan kecewa dengan pengkhianatan dari beberapa individu yang pernah dibantunya, lapor Harian Metro

Terdahulu, sebuah laman melaporkan Datuk Nadzim Joha berkata, Yusuf tidak lagi terbabit secara langsung dengan PPIM pada 16 Mac lalu.

Yusuf yang telah menyertai PPIM sejak lapan tahun itu, segala tuduhan fitnah yang dilemparkan terhadapnya bukan sahaja merosakkan imejnya, malah memberikan kesan yang mendalam kepadanya. 

"Fitnah yang dilemparkan terhadap saya sehingga merosakkan imej saya amat memberi kesan. Saya tidak boleh menerima perkara ini. 

"Selain itu, saya keluar dari PPIM bagi membolehkan saya meluangkan masa bersama keluarga yang selama ini sering ditinggalkan untuk keluar berjuang bersama PPIM.

"Isu mengenai pergolakan dalaman juga tidak benar sama sekali, saya amat memandang tinggi Tokki (Datuk Nadzim Johan). Jika ada yang mengatakan ada perselisihan faham antara individu tertentu, ia kekal sebagai spekulasi sahaja," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat PPIM Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, Yusuf akan memberikan fokus kepada program bual bicara berbentuk santai atau tarbiyah itu untuk meneruskan perjuangannya. 

Mengulas lanjut, Yusuf berkata, dia akan memberi fokus kepada program bual bicara berbentuk santai bagi meneruskan perjuangannya, memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai kegiatan penipuan terhadap pengguna. 

Selain itu juga, Yusuf merancang untuk membuka sebuah pusat perlindungan untuk kucing terbiar dan akan diberikan secara percuma kepada mereka yang sudi membeli kucing-kucing itu nanti.  Dalam pada itu, Yusuf juga tidak mempunyai perancangan untuk membabitkan dirinya dalam politik. 


Sementara itu, Datuk Nadzim menghormati keputusan Yusuf dan berharap keputusan itu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. 

"Perjuangan kami akan diteruskan seperti biasa, dan Yusuf akan tetap menyelesaikan aduan yang diterima sebelum ini. Selepas ini akan ada rasa kosong setiap kali kami keluar untuk berjuang, tiada lagi sosok orang yang selalu tampil tanpa gentar untuk berhadapan dengan apa jua cabaran," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Yusuf tidak lagi sehaluan dengan gerak kerja NGO berkenaan dalam memperjuangkan nasib penggunakan.