(Video) Tiba-tiba pintu terbuka dan budak tercampak keluar dari kereta


Seorang kanak-kanak yang tercampak dari kenderaan dalam insiden yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini malam tadi kemungkinan tidak memakai tali pinggang keledar, kata ketua polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

Aidi mengulas mengenai video yang tular di Facebook mengenai seorang kanak-kanak yang nyaris maut setelah tercampak keluar dari kereta dinaikinya.

“Sekiranya tali pinggang keledar dipakai, kanak-kanak itu tidak akan tercampak keluar dari kereta walaupun pintu kereta terbuka (sama ada tidak ditutup rapat atau dibuka oleh kanak-kanak) semasa kenderaan bergerak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Video berdurasi 12 saat itu menjadi tular di Facebook setelah dikongsikan oleh seorang pengguna akaun dikenali sebagai Poh KF sejak malam tadi.

Aidi bagaimanapun berkata tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak setakat ini.

Sehingga kini, video itu telah dikongsikan di Facebook dan mendapat ribuan komen dari netizen yang mahu keluarga masing-masing lebih peka dengan pemakaian tali pinggang keledar untuk anak masing-masing. - Bernama

Terkilan Digelar Mandul, Achey Dan Isteri Buat Ujian


Anak merupakan anugerah untuk pasangan suami isteri. Kehadiran anak kecil sudah pasti menggamatkan suasana buat pasangan suami isteri.

Memang akan bertambah ceria dan meriah apabila kehadiran si kecil di dalam perubungan pasangan yang telahpun berkahwin.

Menerusi perkongsian terbaru, oleh kerana 8 tahun sudah tidak mendapat anak, pasangan pelawak Achey dan isteri kini membuat ujian dan mencari ikhtiar untuk mendapatkan anak.

Pernah meluahkan rasa terkilan apabila dia dan isteri dikatakan mandul kerana belum dikurniakan anak, Achey dan isteri kini lebih positif berhadapan isu berkenaan.

Pelawak berumur 32 tahun ini akui sudah menjalani ujian makmal bersama isterinya bagi menentukan tahap kesuburan masing-masing.

Ini videonya:



"ada angin mengatakan kami berdua mandul"

"Kami masih menunggu keputusan, kami juga sudah positifkan diri jika salah seorang daripada kami mengalami masalah.

"Kami terima seadanya, banyak lagi cara lain dan teknologi yang wujud masa kini"

"Cahaya mata ni penyambung warisan, saya sudah berumur 32 tahun, takan nak sekolahkan anak di usia 42 tahun."

"Jadi usaha tetap ada, kalau tak dapat anak sendiri, mungkin anak angkat . Janji ada pelengkap dan penyeri dalam hidup kami Insyaallah"

Hubungan Achey dan isteri sering dilihat amat akrab di laman media sosial. Ada sahaja sakat menyakat antara kedua dua pasangan suami isteri ini.

Achey dan isterinya Anne atau Nor Hasanah Yahaya baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan ke lapan pada Isnin.

Apapun, semoga segalanya dipermudahkan buat Achey dan isteri.

'Pengaruh Tun Dr Mahathir bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan' - Rafizi


Populariti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata isu kenaikan kos sara hidup serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sebab utama PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkara itu terbukti berdasarkan tinjauan pasca PRU-14 oleh Invoke Malaysia, yang mendapati pengundi lebih terkesan dengan dua isu itu berbanding taat setia kepada Dr Mahathir.

Katanya, prestasi buruk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Dr Mahathir di Kedah, turut menjadi bukti Perdana Menteri berusia 92 tahun itu bukan faktor kejayaan PH.

"Kami membuat tinjauan pendapat pasca pilihan raya. Saya cenderung untuk membuat kesimpulan sekarang dan data akan mengesahkannya. Pada akhirnya, isu terbesar adalah isu punca pendapatan. Ia adalah mengenai GST...lebih mengatasi isu lain.

"Selain itu, walaupun Dr Mahathir menang besar sebelum ini di Kedah, kali ini PAS yang menang besar di Kedah.

"Ini bermakna, untuk kaum Melayu, jika mereka perlu memilih antara PPBM yang dipimpin Dr Mahathir atau PAS, mereka akan pilih PAS," katanya seperti dilaporkan portal The Malaysian Insight, semalam.

PRU-14 mencatat sejarah sendiri buat BN apabila tewas kepada PH, sekali gus gagal membentuk kerajaan buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

PH berjaya merampas beberapa negeri daripada BN, iaitu Kedah, Perak, Sabah dan Johor, yang juga negeri UMNO 'dilahirkan', selain mencipta kejutan di Negeri Sembilan dan Melaka.

Walaupun berjaya merampas Kedah, namun prestasi PPBM di negeri kelahiran Dr Mahathir itu mengecewakan apabila sekadar menang tiga kerusi Parlimen.

Sebelum ini, beberapa pihak menyifatkan Dr Mahathir sebagai faktor dan kunci kemenangan PH pada PRU-14, berikutan berjaya menyatukan parti pembangkang, khususnya untuk bertanding di bawah satu logo buat pertama kali.

Kejayaan PH merampas kerusi luar bandar serta memenangi undi golongan berusia juga disandarkan kepada faktor Dr Mahathir, berikutan ia gagal dilakukan PKR dan DAP sebelum ini. - Berita Harian

(Video) Kanak-kanak maut terjatuh dari Ferris Wheel


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut selepas terjatuh dari roda Ferris di India, lapor Daily Mail

Klip video kejadian yang viral di media sosial menunjukkan roda Ferris berkenaan berpusing pada kadar kelajuan tinggi sehingga menyebabkan skru pada salah sebuah pengangkutan itu tercabut dan menyebabkan mangsa terjatuh ke tanah.

Enam lagi mangsa termasuk tiga kanak-kanak dilaporkan cedera dalam kejadian di daerah Anantapur, Andrhra Pradesh, India, malam Ahad. 

Difahamkan, pesta fun fair itu dianjurkan oleh sebuah kolej tempatan dan dikunjungi oleh ramai warga tempatan yang mahu menaiki roda Ferris tersebut terutamanya pada hujung minggu. 

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Umum Anantapur. 

Menurut saksi kejadian, mereka mendapati skru pengangkutan roda Ferris itu longgar dan memaklumkan perkara itu kepada pengendali mesin berkenaan. Malangnya petugasnya tidak mengambil sebarang tindakan untuk membaikinya. 

Ekoran kejadian itu, petugas mesin berkenaan diserang dan dibelasah oleh orang awam sebelum diselamatkan dan diserahkan kepada pihak polis. 

Lapor media tempatan, India.com, petugas berkenaan gagal melaksanakan tugasnya dengan baik kerana dia mabuk pada ketika kejadian itu berlaku.