(Video) Remaja maut terlanggar palang besi ketika duduk di atas sunroof


Seorang remaja berusia 13 tahun di Jiangxi, China, maut selepas terlanggar palang besi di lebuh raya. 

Dalam kejadian pada jam 5 petang 28 Oktober lalu di bandar Xinyu itu sempat dirakam pengguna lebuh raya di belakang yang menunjukkan mangsa duduk di atas sunroof kereta yang dinaikinya. 

Video kejadian itu mula tersebar di media sosial. Perakam dan kenalannya yang memandu kereta itu berbual sebelum ternampak notis palang besi rendah di hadapan. 

Mereka bergurau kononnya kejadian yang buruk bakal berlaku jika remaja lelaki itu terlanggar palang besi tersebut. Tiba-tiba, apa yang diperkatakan mereka itu benar-benar berlaku di mana mangsa terlanggar palang besi itu.

Mereka terkejut dan terus memberhentikan kenderaan. Namun kereta yang dinaiki mangsa meneruskan perjalanan sebelum tersedar kejadian yang menimpa mangsa, lalu membuat panggilan telefon. 


Lapor media tempatan, mangsa maut di tempat kejadian dan polis kini sedang menyiasat kejadian itu. 

Sementara itu di media sosial, netizen menyalahkan pemandu kereta itu yang membahayakan nyawa remaja terbabit. 

'Hanya kerana tidak bersetuju yuran asuhan dinaikkan, anak saya didera sehingga koma'


Ibu kepada bayi lelaki yang didera pengasuh kerana lewat membayar upah, tampil menafikan dakwaan pengasuh terbabit. 

Dalam laporan Harian Metro, wanita berusia 17 tahun itu kesal dengan tindakan pengasuh yang kejam tergamak memperlakukan anaknya sehingga koma dalam kejadian di kediaman suspek di Batu Kawa, Kuching, Sarawak.

"Apa dosa anak saya diperlakukan sebegitu sehingga tidak sedarkan diri? Hanya disebabkan permintaan untuk menaikkan yuran asuhan tidak dipersetujui, anak saya menjadi mangsa dia melepaskan geram," katanya. 

Menurut ibu mangsa, bayinya yang berusia 14 bulan itu dihantar dalam keadaan sihat kepada pengasuh berusia 23 tahun yang dikenalinya melalui Facebook selepas menawarkan perkhidmatan asuhan kanak-kanak dengan yuran sebanyak RM200 sebulan. 

"Saya dan suami bertemu dengan wanita itu (suspek) dan kami bersetuju dengan tawaran yang diberikan, namun selepas beberapa hari menghantar anak, dia meminta yuran asuhan dinaikkan sehingga RM700.

"Kami tidak bersetuju dengan permintaannya yang keterlaluan. Dia memberi alasan makan dan minum anak serta sering lewat mengambil anak menjadi punca yuran asuhan dinaikkan. 

"Yuran asuhan memang belum dijelaskan kerana anak kami baru diasuh tiga minggu lalu dan alasan diberikan suspek kami tidak membayar upah kepadanya adalah tidak benar," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak. 

Pada hari kejadian katanya, dia menerima panggilan melalui WhatsApp di mana pengasuh itu cemas dan mengatakan anaknya menangis tanpa henti. Dia dan suaminya yang berusia 21 tahun kemudian bergegas dari tempat kerja menaiki motosikal untuk mengambil anak mereka, tetapi terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan tidak bernafas dan pucat. 

"Saya dan suami tidak tentu arah, namun bersyukur kerana ada seorang lelaki sudi menghantar kami ke HUS dengan menaiki keretanya. Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu kerana apa yang penting anak saya segera dihantar dan menerima rawatan secepat mungkin," katanya.

Mendedahkan mengenai perkembangan anaknya, doktor memaklumkan mangsa masih memerlukan alat bantuan pernafasan. Bagaimanapun, jangkitan kuman di paru-parunya sudah semakin pulih. 

Pasangan suami isteri itu kini hanya berdoa agar anak mereka kembali sembuh. Mereka juga akan lebih berhati-hati selepas ini jika mahu menghantar anak mereka kepada pengasuh. 

Sementara itu, polis masih meneruskan siasatan lanjut terhadap suspek dan kemungkinan tempoh reman suspek akan dilanjutkan. 

BERITA BERKAITAN:

Disyaki curang, wanita potong 'bebird' kekasih


Seorang wanita bertindak memotong 'berbird' kekasihnya kerana mengesyaki lelaki itu berlaku curang terhadapnya, lapor Mirror

Rehema Kabayana, 24, yang punyai rasa cemburu itu yakin bahawa kekasihnya, Anthony Sekawa, 28, mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain.

Rehema menggunakan pisau berukuran empat inci untuk memotong kemaluan Anthony. 

Menurut polis, Rehema sebelum itu menunggu Anthony melelapkan mata terlebih dahulu. Selepas memastikan Anthony benar-benar tertidur, Rehema mengambil peluang itu untuk memotong kemaluannya. 

Jiran yang terdengar jeritan mangsa yang mengalami kesakitan, segera menghubungi polis dan Anthony kemudian dikejarkan ke hospital. 

Mangsa berkata, dia dan Rehema sebelum itu bertengkar dan wanita itu didakwa cuba mengelar lehernya. Anthony kemudian tertidur dan ketika itulah dia terasa kemaluannya dipotong oleh Rehema. 

Sementara itu, Rehema mengaku melakukan perbuatan itu kerana mendapati Anthony curang dan merancang untuk membalas dendam. 

"Saya baru dapat tahu dia senyap-senyap keluar dan mengatal dengan perempuan lain di bar. Ini yang membuatkan saya berang dan tidak senang duduk," katanya. 

Anthony dikejarkan ke Hospital Namirembe untuk mendapatkan rawatan, manakala Rehema ditahan dan disiasat atas dakwaan cuba membunuh mangsa. 

Jurucakap polis Kampala Metropolitan, Luke Owoyesigyire mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu. 

Sepasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan mendapati mangsa cedera parah dan dihantar ke hospital. 

Difahamkan, Anthony bukan lelaki pertama yang kehilangan alat kelaminnya di Uganda ekoran pertengkaran dengan pasangan masing-masing. Pada Disember 2014, seorang lelaki berusia 28 tahun dari Daerah Kamuli, Abdul Ibinga dipotong kemaluannya, oleh isterinya sendiri, Madinah Namuwaya. 

'Bukan semua gay, trans buat hubungan songsang' - Menteri


"Jangan pukul rata kerana bilangan golongan gay perlu diperincikan kerana ada antara mereka yang mempunyai keinginan tapi tak buat hubungan songsang," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau mendakwa tidak semua golongan gay dan transgender di negara ini terbabit dalam hubungan songsang.

Beliau berkata, masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan rekod yang didedahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Mana yang ada keinginan, kita cuba tangani dari awal dan bagi yang sudah terbabit, mereka sedar ia tidak betul dan kembali ke pangkal jalan.

"Tak bolehlah kata semua buat," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan JAKIM yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.

Isu berkenaan didedahkan menerusi seminar kesedaran mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran JAKIM di Pulau Pinang, hari ini.

Mujahid berkata, seminar berkenaan antara lain bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai, sekali gus menangani isu terbabit secara proaktif.

"Kita tangani secara proaktif dan sesi penerangan yang dijalankan adalah langkah pencegahan awal, kawal dan memperbaiki permasalahan ini," katanya. - Harian Metro

Golongan homoseksual meningkat 310,000 - JAKIM


Jumlah golongan homoseksual dan transgender di negara ini menunjukkan peningkatan setiap tahun, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim Dr Mohd Izwan Mohd Yusof berkata sebanyak 310,000 golongan homoseksual terutamanya gay dicatatkan pada tahun ini berbanding 173,000 orang yang dicatatkan pada 2013, iaitu peningkatan hampir sekali ganda dalam tempoh lima tahun.

Bagi golongan transgender pula, beliau berkata dalam tempoh 20 tahun, jumlah golongan transgender menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus iaitu sebanyak 30,000 orang pada tahun ini berbanding 10,000 orang pada tahun 1988 dan kebanyakan daripada golongan ini bekerja sebagai pekerja seks.

“Peningkatan itu boleh jadi pelbagai faktor kerana dengan keterbukaan mungkin satu sudutnya media sosial yang ada pada hari ini. Golongan muda mempunyai akses lebih banyak kepada internet dan media sosial.

“Ini secara tidak langsung menggalakkan mereka lebih terbuka untuk akses kepada mobile apps yang berkaitan dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan video-video yang tidak sepatutnya untuk mereka tonton,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari, di sini hari ini.

Mohd Izwan berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memantau tingkah laku serta pergerakan anak-anak mereka selain memberi perhatian sepenuhnya agar anak-anak tidak merasa kurang kasih sayang sehingga mereka boleh terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat itu.

Beliau berkata selain daripada akses yang mudah kepada internet, faktor lain yang mendorong seseorang itu terjebak dalam golongan LGBT ialah kurang kasih sayang, pola asuhan (cara anak-anak dibesarkan), sikap ibu bapa yang terlalu melindungi serta sering dibuli dan diejek.

“Kami mencadangkan kepada masyarakat bermula dari rumah kalau boleh ibu bapa mengawasi anak-anak. Kalau dulu kita risau anak-anak kita keluar rumah tak balik-balik, hari ini kena lebih risau kalau anak-anak kita dalam bilik dan tak keluar-keluar,” katanya.

Beliau turut mencadangkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak-anak yang berumur di bawah 16 tahun ke asrama memandangkan kes-kes gay dan lesbian banyak berlaku di asrama terutamanya di sekolah yang mempunyai satu jantina sahaja.

“Pada peringkat umur 12 ke 15 tahun mereka tidak matang dan tidak tahu membezakan mana sentuhan yang boleh, mana sentuhan yang tidak boleh,” katanya.

Mengenai program penyembuhan, Mohd Izwan berkata seramai 1,450 orang membabitkan komuniti LGBT telah menyertai program di bawah Jakim yang membantu memberi kesedaran kepada mereka untuk kembali kepada fitrah.

“Soal perubahan itu ia subjektif. Ada yang sudah mengubah penampilan dan ada yang walaupun dia masih dalam penampilan yang berlawanan dengan jantina asal tapi sudah mula meninggalkan pelakuan homoseksual dan ada juga yang sudah berkahwin. Ada yang walaupun tidak berkahwin dia mampu mengawal diri daripada terjebak melakukan pelakuan homoseksual,” katanya. — Bernama