(Video) Takut ditinggalkan kawan, makcik buka pintu tren tetapi tersangkut di celah pintu


Seorang wanita Singapura tersangkut di celah pintu masuk ke tren MRT kerana cuba membuka pintu tren itu dengan menggunakan tangannya, di stesen Little India.

Terdahulu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, wanita terbabit bersama dengan rakannya berlari laju untuk memasuki tren itu yang akan berlepas dalam beberapa saat lagi. 

Salah seorang daripada mereka sempat masuk ke dalam, tetapi wanita terbabit terlambat dan pintu pun telah ditutup secara automatik. 

Takut ditinggalkan rakan, dalam keadan terdesak dia cuba membuka pintu tren itu dengan tangannya. Malangnya usaha dia tidak berjaya menyebabkan dia tersepit di antara celah pintu platform dengan pintu tren. 

Kakitangan stesen dan orang awam yang melihat kejadian itu segera datang membantu mengeluarkannya.  

Tidak terhenti di situ, dia cuba lagi membuka pintu tren secara paksaan dan akhirnya terbuka juga. 

Wanita itu masuk ke dalam mendapatkan rakannya, sementara yang lain masih lagi tidak dapat menerima perbuatan wanita itu yang dianggap berbahaya. 

Perkhidmatan tren kembali seperti biasa selepas kejadian tersebut. 


Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai tidak berbuat demikian kerana ia boleh menyebabkan kecederaan dan paling teruk kehilangan nyawa. 

'Anak saya cirit-birit, muntah lebih 20 kali selepas makan coklat & gula-gula dalam kotak mainan'


Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengalami keracunan makanan selepas makan coklat dan gula-gula yang terkandung dalam kotak mainan yang dibeli bapanya dari sebuah kedai runcit di Taman Sri Gombak, Jumaat lalu.

Salahuddin Haris Yoganathan, 38, berkata, anaknya, Asha Azaleah Natasha Nathan, 6, mengalami muntah dan cirit-birit selepas makan makanan itu dan ditahan di hospital selama empat hari. 

"Anak saya terkena keracunan makanan berpunca dari makanan dalam kotak mainan di gambar berikut. Dah empat hari anak saya muntah dan cirit-birit. Hari pertama saja anak saya muntah lebih 20 kali," katanya. 

Difahamkan, dia membeli makanan ringan itu kerana anaknya mahukan mainan di dalam kotak tersebut dan sebelum ini dia pernah membeli benda yang sama tetapi tidak pernah timbul sebarang masalah. 

Susulan kejadian itu, Salahuddin bertemu dengan peniaga kedai runcit berkenaan dan membuat semakan pada maklumat yang tertera pada kotak makanan ringan itu yang turut tertera logo halal. 

"Selepas jumpa dia,saya tanya pasal barang yang dia jual dan dengan selamba dia boleh kata, "Boss, ini barang memang tak boleh makan. Itu mainan takpa. Sorry boss, lupa bagitahu." 

"Masa tu memang saya nak bagi dia makan helmet apollo limited edition tapi saya fikir dia ni orang tua, orang susah dan dia pun mencari rezeki anak bini dia," katanya. 











Laporan polis dan aduan kepada Kementerian Kesihatan juga telah dibuat untuk tindakan lanjut. 

"Saya berharap pihak berkuasa bertindak segera dengan melakukan pemantauan berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada lagi kanak-kanak menjadi mangsa. 

"Bagi ibu bapa pula, jadikanlah apa yang berlaku terhadap anak saya sebagai pengajaran untuk anda lebih berhati-hati," katanya. 

(Video) Pakar Wushu belasah isteri sebab pindahkan TV ke bilik lain


Video viral menunjukkan pakar seni mempertahankan diri (Wushu) membelasah isterinya yang sedang mendukung bayi dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Hanoi, Vietnam, Isnin lalu.

Media tempatan melaporkan, Nguyen Xuan Vinh, 32, berang dengan isterinya yang memindahkan televisyen dari tempat asal ke bilik lain. 

Mangsa, Vu Thi Thu Ly, 27, yang bekerja sebagai penyampai radio, memuat naik video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu di media sosial. 

Berdasarkan video itu, Vinh bukan sahaja menendang kepala isterinya, malah dia turut menampar muka mangsa dengan kuat sehingga menyebabkan mangsa terjatuh. 

Mangsa yang cedera terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Manakala suaminya masih belum ditahan polis walaupun video itu sudah viral meluas di media sosial. 

Difahamkan, pasangan itu pernah bercerai disebabkan kes keganasan rumah tangga, tetapi mereka bersama kembali sebelum anak kedua dilahirkan. 


"Dia pukul saya yang ketika itu sedang mendukung bayi. Saya tak dapat tahan lagi dan beritahu kepada ibu saya mengenai apa yang berlaku. 

"Dia pernah pukul saya sebelum ini tetapi bukanlah sampai teruk macam ni dan kali ini dia pukul saya di depan anak-anak. Ini sangat melampau dan tidak boleh diterima," katanya.

Sumber: Daily Mail

(Video) Badak mengamuk serang & terbalikkan kereta penjaga taman safari


Seekor badak jantan bertindak menyerang kereta penjaga haiwan (wanita) sehingga menyebabkan kereta itu terbalik beberapa kali. 

Kejadian itu berlaku di German Safari Park dan sempat dirakam oleh pengunjung yang kini viral di media sosial. 

Badak berusia 30 tahun itu yang diberi nama Kusini merempuh dan menanduk kereta itu beberapa kali sehingga terbalik dengan mangsa yang masih berada di dalam kereta. Walaupun diserang dengan teruk, mangsa hanya mengalami lebam di badannya. 

Difahamkan, Kusini telah tinggal di taman itu sejak 18 bulan lalu dan masih dalam tempoh menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Kusini yang dilihat sebagai 'haiwan yang sangat berharga' diberi kepada German Safari Park untuk tujuan pembiakan. 


Menurut pengurus taman itu, Kusini tidak pernah menimbulkan risiko kepada pengunjung dan menjelaskan haiwan itu hanya dibenarkan masuk ke premis taman itu pada waktu pagi dan petang selepas semua pengunjung pulang. 

Walau bagaimanapun, dia mengakui Kusini mungkin lebih baik ditempatkan di persekitaran zoo. 

Sumber: Daily Mail

Bas Mini akan mula beroperasi di KL mulai 1 September


Selepas hampir 21 tahun dihentikan, perkhidmatan bas mini akan membuat kemunculan semula di ibu negara mulai bulan depan.

Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 Sept hingga 29 Nov.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij berkata bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkhidmatan percubaan itu akan membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang sempit selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas yang diterima.

Bas mini merupakan pemandangan biasa di ibu negara dari 1970-an hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu.


Diperkenalkan pada 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

“Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan ini, kami akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan ini dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain pula,” kata Muhammad Yazurin.

Para penumpang dialu-alukan untuk memberi maklum balas semasa perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my.

Sumber: Bernama