Remaja lemas, 2 rakannya hanya lihat & rakam video tanpa hulur bantuan


Seorang lelaki dibiarkan lemas, sementara rakannya hanya merakam kejadian itu tanpa menghulurkan sebarang bantuan kepada mangsa. 

Dalam kejadian yang berlaku pada 15 November lalu di Karnataka, India, Jaffer Ayub, 19, bersama dengan dua rakannya pergi ke kuari terbiar untuk berenang.


Jaffer dengan penuh keyakinan berlari dan terjun ke dalam kuari tersebut. Ketika Jaffer cuba berenang ke tebing yang terletak beberapa meter, dia mengalami kepenatan dan belum sempat berpaut pada tebing, dia mula tenggelam. 

Seketika kemudian, mangsa timbul semula dan terkapai-kapai meminta diselamatkan. Salah seorang rakannya yang hanya berada beberapa inci dari mangsa, menghulurkan tangannya untuk membantu. Belum sempat mangsa mencapai tangannya, lelaki itu menarik balik tangannya. 


Mangsa berusaha menyelamatkan diri, tetapi tidak lama kemudian keadaan air menjadi tenang dan mangsa sudah tenggelam ke dasar. Kejadian itu dirakam oleh rakannya sendiri yang tidak menghulurkan sebarang bantuan. 

Difahamkan, terdapat beberapa saksi termasuk sekumpulan wanita berada di kawasan itu. Alangkah malangnya tiada seorang pun yang terdetik hati hendak membantu mangsa yang lemas. 


Hanya selepas mereka menyedari mangsa sudah hilang dari permukaan air, mereka segera datang membantu dan mengeluarkan Jaffer dari kuari tersebut. Tetapi sudah terlambat dan Jaffer telah meninggal dunia.  

Menurut polis, kesemua saksi yang ada pada waktu itu berasa takut untuk membantu Jaffer. 

Kesi itu bukanlah kes yang pertama kali berlaku di mana pada awal bulan lalu, seorang lelaki berusia 53 tahun terbakar di dalam keretanya dan orang awam hanya merakam kejadian itu tanpa membantu mangsa. 

Sumber: UNILAD

'Bila nak periksa saya? Berapa jam nak tunggu?!' Pesakit tumbuk Dressar, namun mangsa tetap merawatnya sehingga pulih


Tugas mereka sangat mulia, merawat dan membantu pesakit. Namun, mereka seringkali dikritik dan dihamburkan dengan kata-kata negatif. Namun begitu, kata-kata itu tidak melemahkan mereka, malah mereka tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pesakit. 

Hanya kerana terpaksa menunggu seketika, seorang pesakit asma menumbuk seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP). Tetapi, apa yang lebih mengagumkan, PPP tersebut tidak membalas dengan kekerasan, malah dirawat pesakit tersebut sehingga pulih. Perkongsian doktor ini sebenarnya membuka mata kita supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan setiap perkhidmatan dan rawatan yang telah diberikan. Ketepikan soal diri, beri laluan kepada yang lebih memerlukan untuk mendapatkan rawatan.

DITUMBUK PESAKIT: Apa balasan staf?

Saya berasa amat hairan dengan nilai dan hati budi sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan di hospital. Bagi pesakit-pesakit asma, pihak Jabatan Kecemasan menyediakan 'laluan terus' yang mana mereka akan diberikan keutamaan untuk terus mendapatkan gas 'nebulizer' apabila terkena serangan asma. Mereka tidak perlu menunggu seperti pesakit lain. 

Seorang pesakit asma yang datang dengan serangan asma terus diberikan tempat duduk dan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang bertugas membancuh ubat lalu segera menyambungkan alat 'nebulizer' ke punca oksigen.

Pesakit berkenaan mendapat dos nebulizer yang penuh dan setelah selesai, menunggu untuk diperiksa semula. Kebetulan PPP tersebut perlu menghantar seorang pesakit dari zon asma ke zon merah kerana sesak nafasnya agak teruk.

Pesakit tersebut bertanya, "Bila nak periksa saya?"

Oleh kerana pesakit yang satu lagi agak tenat, PPP tersebut menjawab, "Sekejap, saya kena hantar pesakit ke zon merah."

"Berapa lama? Berapa minit? Berapa jam?" Dia tetap bertanya.

"Tunggu sekejap. Saya kena hantar pesakit."

Oleh kerana tidak mahu membuang masa dan memanjangkan risiko pesakit yang perlu mendapat rawatan lanjut di zon merah, PPP berkenaan terus menghantarnya ke sana.

Selesai menghantar pesakit, dia kembali ke zon asma. Pesakit yang menunggu tadi memandangnya dengan marah. Dia bangun lalu siku kirinya 'mengunci' leher PPP terbabit dan kepalanya ditumbuk hingga bengkak dahinya. Tidak cukup dengan itu, cermin mata PPP terbabit dirampas lalu dia membuka kasutnya lalu menghentak cermin mata hingga pecah.

Kejadian disaksikan oleh doktor termasuk pakar yang berada berhampiran. Ada juga seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam yang nampak dan dia membantu meleraikan PPP dari pesakit tadi. Polis bantuan dipanggil dan apabila tiba, pesakit tadi bercakap dengan bahasa yang lebih lembut dari lidah. 

Laporan polis dibuat. Begitu juga borang insiden keganansan. Setiap insiden keganasan diselia oleh unit keselamatan pekerja dan diangkat ke pengurusan termasuklah untuk tindakan undang-undang.

Kali ini, semua butir mangsa ada dalam kad rawatan hospital. Maka laporan polis berserta nama penuh pesakit dibuat. Jadi sukar untuk penyerang ‘melepaskan’ diri. 

Bagaimana staf kecemasan membalas perlakuan ini? Dia diperiksa semula dan oleh kerana masih ada sisa 'asma', gas nebulizer seterusnya diberikan dan dia dirawat hingga asmanya pulih. 

Walaupun geram dan ibarat kata pakar yang menjadi saksi 'hati menjadi robek' melihatkan perlakuan ganas pesakit itu, profesionalisme tetap dikekalkan sambil menahan marah dengan sabar.  Bila ditanya samada PPP berkenaan ok, dia tenang dan berkata, "Saya ok doktor." 

Kad dibuka dan PPP tadi diperiksa dan semua kecederaannya didokumenkan. Ini juga akan menjadi bahan bukti di mahkamah. Dia juga dirujuk kepada Pegawai Kaunseling kerana kami khuatir dia traumatik terhadap insiden ini. 

Pesakit sedang disiasat oleh polis dan insiden ini adalah insiden jenayah kerana menyerang anggota awam. Kami pasti dia akan dikenakan tindakan undang-undang. Pada masa lalu, 'penyerang' staf juga telah dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan. 

Pihak pengurusan HKL amat serius memastikan kes keganasan di tempat kerja diambil tindakan undang-undang. Sudah ada kes yang didakwa di mahkamah dan penyerang dikenakan tindakan undang-undang dengan bukti yang ada. Tambahan pula terdapat cctv di hospital. 

Ke manakah hilangnya nilai peribadi yang mulia di kalangan sesetengah orang? Terima kasih pun tidak kedengaran lagi. Secara peribadi, saya masih mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang ‘menjalankan tugas’... termasuklah yang menyapu sampah di hospital. Semasa kecil lagi, saya mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas apabila turun dari bas seperti yang diajar oleh ibu saya. 

Malah pagi tadi semasa ‘grand round’ seorang pesakit yang tangan dan lututnya luka telah diberikan rawatan tetapi apabila PPP saya datang hendak memberikan suntikan ubat tahan sakit, ia disambut dengan kata-kata hina dan mencarut kerana tidak cukup segera memberikan ubat tersebut.

“Encik kalau hendakkan rawatan sila tunjukkan hormat kepada staf saya. Kalau you tak hormat dia, you juga tak hormat saya. Dia datang nak tolong awak.”

“Ini bukan tolong! Ini kerja! Dapat gaji bukan?”

Benar kami dibayar gaji. Gaji yang sama hatta melihat jumlah pesakit yang infiniti jumlahnya. Benar kami dibayar gaji tetapi ‘menjadi hamba abdi’ kepada pesakit bukanlah dalam senarai tugas kami. 

Sebelum itupun, saya diberitahu, jururawat yang bertugas sudah menerima kata-katanya yang 'indah' berupa makian dan cacian tetapi mereka teruskan bekerja. Bagaimana staf saya membalasnya? Suntikan ubat tahan sakit tetap diberi. Saya mengulang memberitahunya bahawa kalau hendak dibantu untuk menunjukkan rasa hormat. 

Hati saya terbakar dan sekali lagi bertanya, “Di manakah hilang kemanusiaan dalam diri mereka?”

Saya tahu kami semua tidak mahu ‘turun’ ke taraf yang amat rendah seperti mereka. Maka kami teruskan memberi rawatan secara profesional.  Walaupun ‘hati menjadi robek’, sekurang-kurangnya taraf peribadi kami tidak serendah mereka. 

Bukankah indah jika pesakit dan perawat saling hormat-menghormati dan saling faham-memahami dalam situasi kecemasan? 

Dalam keadaan ‘robek hati’ ini, terubat juga melihat pesakit lain yang menunjukkan hormat dan peribadi yang baik semasa rawatan diberi. Tentunya mereka ini mempunyai didikan yang baik dengan nilai peribadi yang mulia dan memudahkan rawatan diselesaikan dengan sempurna tanpa hati yang terluka. Menjadi pesakit bukannya mudah dan tentunya memerlukan kesabaran. Untuk mereka kami ucapkan terima kasih.

Harga diri manusia diukur bukan dari pangkat dan darjat tetapi dari nilai peribadi yang terlukis dari kata-kata dan perbuatan. 

Nota: Pos ini bagi tujuan pendidikan untuk masyarakat (public education) dengan harapan supaya keganasan terhadap petugas perubatan tidak berlaku. Bagi staf kesihatan, kami sentiasa megingatkan untuk sentiasa menghormati semua pesakit dan sedaya upaya memberikan khidmat yang baik biarpun dalam keadaan sukar, kekurangan staf dan pesakit yang ramai.

Contoh motivasi kami kepada staf adalah seperti ini : 


'Dia adalah manusia yang paling saya benci dalam hidup' - Kisah benar persahabatan Ng Man Tat & Chow Yun Fat


Dia mungkin dikenali dalam banyak filem komedi bersama dengan Stephen Chow, tetapi menurut Ng Man Tat, dia sebenarnya terhutang budi pada pelakon Chow Yun Fat. 

Menurut laporan Epoch Times, Ng dan Chow berkenalan ketika mereka masih berlatih sebagai pelakon di era 70-an dan menjadi rakan baik. 

Chow berjaya menaikkan popularitinya sendiri sebagai salah seorang pelakon terkenal pada tahun 80-an, manakala Ng pula masih berjuang ke arah matlamat yang sama. 

Bagaimanapun, perjalanan karier Ng mula terbabas apabila dia ketagih berjudi dan minum arak. Keadaan menjadi tidak terkawal dan dia terpaksa menanggung hutang HK$300,000.

Dibebani dengan hutang dan terdesak perlu menyara keluarga, Ng pergi berjumpa dengan Chow untuk meminta wang. Tetapi Chow menolak dan menyuruh Ng menyelesaikan masalahnya sendiri. 

"Pada masa itu, saya sudah menganggap Chow Yun Fat adalah manusia yang paling saya benci dalam hidup saya," katanya yang juga hampir membunuh diri di waktu itu kerana tertekan. 


Selama 10 tahun Ng menyimpan dendam terhadap Chow, sehingga pada 1990 apabila dia ditawarkan untuk berlakon dalam filem arahan Benny Chan, iaitu 'A Moment of Romance' yang dibintangi Andy Lau dan Jacklyn Wu. 

Filem itu berjaya mencapai box office, memboleh Ng keluar dari masalah kewangan, malah Ng juga memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dalam Anugerah Filem Hong Kong. 


Walau bagaimanapun, Ng berkata dia masih marah terhadap Chow pada masa itu, walaupun pelakon itu secara peribadi menghampiri dia untuk mengucapkan tahniah kepadanya di atas kejayaan itu. 

"Tetapi Benny kemudian memberitahu saya mendapat tawaran berlakon dalam filem itu kerana direkemen oleh Chow Yun Fat. 

"Dia beritahu saya, jika saya mahu mengucapkan terima kasih kepada seseorang, saya harus berterima kasih kepada dia (Chow)," katanya. 

Selepas mengetahui cerita yang sebenar, Ng terus segera pergi berjumpa dengan Chow lalu memeluknya dan menangis serta-merta, bertanya kenapa dia berbuat demikian. 

"Kalau saya pinjamkan wang kepada awak pada masa itu, saya hanya akan menjadikan awak lebih teruk. Awak tidak akan berhenti berjudi dan tidak akan berusaha sendiri," katanya. 

'Fan Belt hampir putus, seperti dihiris dengan benda tajam' - Lagi kes kereta pengguna dianiaya di RNR Seremban


Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Seremban kembali menjadi sebutan apabila berlaku lagi kes kereta pengguna yang singgah di hentian itu dianiaya oleh individu yang tidak bertanggungjawab demi mendapat keuntungan dengan cara mudah. 

Dalam kejadian yang berlaku pada 5.20 pagi, 25 November 2019, Abdullah Salleh yang baru saja pulang dari menunaikan umrah, singgah sebenar di RNR Seremban untuk berehat. 

Kereta diletakkan di kawasan tempat letak kereta di depan KFC, RNR Seremban, arah selatan.

"Sebaik saja hendak meneruskan kembali perjalanan ke Pasir Gudang, Johor, pemanduan rasa tidak selesa dan ada bunyi pada kereta Proton Persona yang dipandu oleh anak lelaki. 

"Setelah dibuka bonet depan dan periksa, 'fan belt' hampir putus seperti dihiris dengan benda tajam," katanya. 

Dalam pada masa yang sama, tiba-tiba datang seorang lelaki berbangsa India yang tidak dikenali menawarkan bantuan. Tetapi mereka menolak dan menghubungi pihak PLUS untuk meminta bantuan. 





Abdullah Salleh berharap, para pengguna lebuh raya berhati-hati apabila berhenti di RNR Seremban. 

"Moga lebih berwaspada di lokasi-lokasi yang dirasakan selamat tetapi sebenarnya berbahaya. Semoga lebih peka dan lebih cakna perihal keadaan sekitar," katanya. 

Mahkamah Tinggi benarkan tulisan Jawi diajar di sekolah Cina & Tamil di seluruh negara


Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam menolak permohonan parti Gerakan supaya pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya berkata Jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata pelaksanaan kelas Jawi tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada September lepas, Gerakan telah memfailkan saman terhadap kerajaan pusat bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Gerakan yang memfailkan saman itu melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Timbalannya Teo Nie Ching dan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Gerakan diwakili peguam Tan Lee Kiat dan Mak Kah Keong.

Mak ketika dihubungi di George Town hari ini berkata jawatankuasa pusat Gerakan akan bermesyuarat untuk menentukan sama ada mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Sumber: Bernama