Peragut rantai emas maut dirempuh kereta mangsa


Tak sempat menikmati hasil ragut, seorang peragut maut selepas motosikalnya, Yamaha Y15zr, dirempuh kereta yang dinaiki oleh mangsanya. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.24 petang Ahad di Bandar Puteri Puchong. 

Mangsa yang berusia 44 tahun sebelum itu mahu menaiki keretanya dan didatangi suspek yang tiba-tiba merentap rantai emas mangsa, lalu terus melarikan diri. 

Bagaimanapun, mangsa kemudian terserempak dengan suspek yang menunggang motosikal secara melawan arus di Jalan Puteri 5/5. Suspek berhenti secara mengejut di tengah jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh suspek sehingga terjatuh dan terperosok di bawah kereta. 

Suspek yang parah dikejarkan ke Hospital Serdang, tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 malam kerana kecederaan parah. 

Difahamkan, rantai milik mangsa turut ditemui bersama suspek. 

Ismadi berkata, siasatan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan dadah dan samun. 

Mangsa juga membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro

'Bu.. Bu.. Bu..' - Netizen sebak tengok keletah anak kecil ini rindukan arwah ibu bapanya



29 Oktober lalu, ibu bapa kepada anak kecil ini meninggal dunia dalam nahas jalan raya, sekali gus menjadikan dia anak yatim piatu. 

Lans Koperal Muhammad Shakiran dan isterinya, Nurul Ashikin Kamaruddin, maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan. Lebih menyedihkan, Nurul Ashikin juga disahkan mengandung dua minggu. 

Semenjak itu, Muhammad Arfan Zikri, kini dijaga oleh neneknya di Bachok, Kelantan. 

25 Disember lalu, bapa saudaranya, Nur Azuan Shamsudin, memuat naik gambar Arfan yang melawat pusara ibu bapanya. Menurut Azuan, Arfan seolah-olah memanggil ibunya dan enggan pulang kerana rindukan ibunya. 

"Petang ni bawa pergi kubur abi dan ibu, suka seolah-olah nak bercakap dengan ibu. Bila cakap ibu kat sini, dia pun duk 'bu.. bu.. bu..' seolah-olah memanggil. 

"Tak nak balik, suka duk main pasir di situ. Kat rumah tak main pasir pun. Allahu, jelas nampak dia rindu. Tarik tangan nak balik pun tak mau. Nanti kita mai lagi ye Arfan," tulis Azuan di kapsyen posting tersebut yang membuatkan netizen terasa sau. 




Memetik kenyataan Azuan di Harian Metro, dia pada hari itu kebetulan cuti dan pulang ke kampung bersama keluarganya, untuk melawat Arfan. Keletah Arfan di pusara ibu bapanya itu juga mengundang perasaan sebak mereka sekeluarga. 

"Sekejap dia duduk, kemudian berdiri dan mengelilingi kubur arwah adik dan adik ipar saya. Dia asyik menguis pasir di kubur bermain-main sambil melayan perasaan hampir lima ke 10 minit. 

"Ajak dia balik sebab hari sudah lewat pun dia enggan dan terus duduk di tepi kubur ibu bapanya sambil bermain pasir. Saya jadi sebak tengok keletah Arfan, walaupun tidak menangis tapi kami tahu dia sangat rindukan kedua-dua arwah," katanya. 


Isteri pergi majlis bacaan yassin, suami rogol anak tiri sehingga hamil


Selama 21 bulan, remaja perempuan berusia 13 tahun terpaksa menjadi tempat melampias nafsu bapa tirinya. Akibatnya, remaja itu kini hamil akibat perbuatan terkutuk lelaki itu. 

Ketika mangsa, 'A', berusia 12 tahun, suspek yang hanya dikenali sebagai 'SP', 43, memperdayakan mangsa untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan ganjaran telefon bimbit dan wang sejak April 2018. 

Mangsa juga selalu diberi amaran keras agar tidak mengadu mengenai pemerkosaan itu sehinggalah mangsa disahkan hamil yang kemudian membawa kepada penangkapan suspek. 

Di depan Ketua Polis Tulungagung (Indonesia), Eva Guna Pandia, suspek mengaku merogol anak tirinya kerana tewas dengan nafsunya sendiri. 

"Saya salah. Saya terlalu mengikut nafsu," katanya yang juga mengakui merogol mangsa hampir setiap minggu. 

Dalam pengakuan itu, suspek berkata, dia selalu melakukan perbuatan itu di malam Jumaat ketika isterinya pergi menghadiri majlis bacaan yassin. 

"Ibunya pergi majlis bacaan yasin, saya ajak dia untuk 'bermain'," katanya. 

Menurut Eva, kes itu terbongkar selepas seorang anggota polis tempatan curiga melihat keadaan mangsa seperti wanita hamil, sedangkan dia baru berusia 13 tahun. Selain itu, penduduk setempat juga sedar, mangsa sudah jarang keluar dari rumah.

Ketika disoal, A akhirnya mengaku yang dia sedang mengandung anak hasil perbuatan dari bapa tirinya. 

Suspek kemudian ditahan dan suspek mengaku melakukan perbuatan itu di rumahnya. Setelah mendapati mangsa hamil, mangsa dipindahkan ke tempat lain untuk menyembunyikan kehamilannya itu. 

Suspek akan didakwa di mahkamah dan bakal berdepan dengan hukuman penjara 5 tahun penjara dan maksimum 15 tahun penjara. 

2 remaja maut dihempap lelaki terjun dari bangunan flat


Malang tak berbau, dua remaja perempuan maut akibat dihempap oleh seorang lelaki yang terjun dari bangunan untuk membunuh diri. 

Dalam kejadian yang berlaku pada Selasa lalu di Shapingba, Chongqing, China, Zhang, 17, dan Huo, 15, dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas menghadiri kelas seni lukis. 

Bagaimanapun, mereka dihempap oleh Li, 31, yang terjun dari bangunan kediaman (flat) dan ketiga-tiga mereka dilaporkan meninggal dunia di hospital. 

Punca Li membunuh diri masih tidak diketahui. 

Ibu saudara Zhang berkata, ini merupakan kali kedua ibu bapa mangsa berdepan dengan kematian anak selepas abang mangsa juga meninggal dunia ketika masih kecil. 

"Anak sulung kakak saya meninggal dunia pada usia 10 tahun. Dia kemudian hamil dua bulan selepas kematian anak itu. Siapa sangka anak keduanya juga meninggal dunia pada usia yang masih muda," katanya. 

Sumber: Harian Metro

'Dah ada anak pun bodoh' - Pampers, najis ditemui di gelongsor Taman Tasik Titiwangsa


Baru lima jam dibuka, namun sudah ada tangan individu yang tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme di Taman Tasik Titiwangsa. Perbuatan itu mengundang kemarahan netizen di media sosial.

Biarpun kejadian itu berlaku beberapa minggu lalu, namun masih ada yang tidak belajar dari kesilapan. Dalam kes terbaru, ada ibu bapa yang tidak bertanggungjawab meninggalkan lampin pakai buang di taman permainan kanak-kanak. Lebih teruk lagi, pengunjung juga menemui kesan najis di gelongsor. 

"Beginilah keadaannya yang dapat dilihat di Taman Tasik Titiwangsa yang baharu sahaja lagi dibuka semula untuk kegunaan awam. 


"Beginikah cerminan sikap masyarakat kita, dengan penjagaan kebersihan semasa menggunakan kemudahan awam di tahap paling minimal, dengan lampin pakai buang yang dicampak merata-rata. 

"Walhal, tong sampah telah disediakan di setiap sudut di tamna awam tersebut untuk kemudahan orang ramai menjaga kebersihan. Tetapi beginikah rakyat Malaysia, hanya mampu berada di tahap minda kelas ketiga?" tweet dari Informasi Wilayah di Twitter yang juga menyertakan beberapa gambar sebagai bukti. 

Netizen juga kesal dengan apa yang berlaku dan memberi beberapa cadangan kepada pihak berkenaan agar kejadian seperti itu tidak lagi berulang.