Dendam kena marah, suspek paksa sepupunya buat oral seks dalam semak


Tergamak seorang lelaki berusia 20-an menumbuk dan memaksa sepupunya (lelaki) melakukan seks oral di dalam semak kerana dendam di mana dia pernah dimarahi oleh bapa mangsa kerana mahu meminjam motosikal. 

Mangsa berusia 14 tahun itu mendakwa kejadian itu berlaku di dalam semak di tepi jalan di Sebuyau, Simunjan pada 25 Januari lalu. 

Kronologi kejadian, jam 2 petang suspek mengajak mangsa menemaninya pergi ke Pasar Sebuyau untuk membeli rokok dengan menaiki motosikal. 

Dalam perjalanan pulang selepas selesai membeli rokok, suspek membawa mangsa masuk ke dalam semak di tepi jalan di sebuah kampung sebelum menumbuk dan menendang mangsa secara tiba-tiba. 

Suspek berkata, sekiranya mangsa mahu dilepaskan, mangsa perlu melakukan seks oral terlebih dulu. Takut dengan suspek, mangsa tiada pilihan lain dan terpaksa melakukan perbuatan jijik itu. 

Mangsa kemudian mencucuk mata suspek dengan jarinya dan terus melarikan diri ke kampung berhampiran untuk meminta bantuan serta membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 

Suspek ditangkap di sebuah kampung di Sebuyau pada jam 7.30 petang, 26 Januari 2020 dan direman selama seminggu untuk siasatan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) yang boleh dihukum penjara tidak lebih dari satu tahun atau denda dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Amang Seksual Fizikal Atas Kanak-Kanak) yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat. 

Sumber: Harian Metro

Remaja menangis teresak-esak dituduh membunuh 23 pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah


Seorang remaja lelaki menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkannya membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran yang menyayat hati, tiga tahun lepas.

Remaja berumur 19 tahun itu yang memakai kemeja-T hitam dan berseluar jean biru yang duduk dalam kandang tertuduh, tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak selepas peguamnya Haijan Omar menjelaskan kepadanya keputusan yang dibacakan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Dia kemudiannya ditenangkan oleh ibunya.

Sementara itu rakannya yang juga berumur 19 tahun yang dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan sama, dilihat meraup muka tanda syukur selepas keputusan itu.

Kedua-dua mereka berpelukan selepas prosiding selesai.

Hakim Azman memerintahkan remaja itu membela diri atas 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas remaja berkenaan dan menetapkan 2 dan 3 Mac untuknya membela diri.

Mahkamah itu melepas dan membebaskan rakannya tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Haijan dan Ravin Jay.

Haijan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan senarai saksi pembelaan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

Seramai 71 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 30 Mei 2018.

Antara yang memberi keterangan pada perbicaraan itu ialah Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Edwin Galan Teruki yang memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa injap pada dua tong gas yang dijumpai susulan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah dicucuk bagi membolehkan ia mengeluarkan gas yang dihalakan ke pintu asrama yang didiami penghuni pusat itu.

Pegawai Sains Yusnita Osman dalam keterangannya berkata terdapat kesan cecair petrol pada bahan bukti ditemui pada sisa kebakaran dan simen dinding pusat tahfiz yang terbakar itu.

Sementara itu, perisik di Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ASP Mohd Shafizan Sazali dalam keterangannya berkata seorang daripada remaja terbabit menyimpan pemetik api yang digunakan semasa kejadian kebakaran di pusat tahfiz berkenaan di dalam bilik tidur rumahnya.

Sumber: Bernama

'Koronavirus tak jejas TMM2020, wabak itu masih terkawal' - Menteri Pelancongan


Walaupun pada waktu ini wabak koronavirus menjadi kebimbangan banyak pihak, bagi Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perkara itu tidak menjejaskan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 30 juta pelancong antarabangsa dan domestik ke Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020. 

Muhamaddin Ketapi berkata, Malaysia mempunyai pengalaman menangani masalah seperti itu sebelum ini (SARS, Influenza dan Polio) dan agenda Nasional TMM2020 tetap akan diteruskan. 

Jelas Mohamaddin, kementeriannya mempunyai banyak perancangan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan pasaran China adalah penting.

Penangguhan sementara visa perjalanan terhadap warga China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei hanya memberi kesan kecil terhadap TMM 2020 kerana pelawat dari negara lain masih boleh melawat Malaysia. 

Justeru, pihaknya akan mengeluarkan surat kepada semua tempat tarikan pelancongan agar tidak menutup pintu kepada pelancogn asing kerana situasi wabak koronavirus masih terawakl. 

"Pelancong yang memasuki negara ini adalah dari kalangan yang dianggap sihat dan jangan halang mereka untuk mengunjungi tempat tarikan pelancong. Perbuatan menghalang ini dianggap salah dan mereka adalah dari kalangan yang cukup sihat untuk mengadakan perjalanan di negara ini," katanya. 


Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan bahawa aspek nyawa perlu diutamakan dalam usaha menangani jangkitan koronavirus berbanding impak penyakit itu terhadap ekonomi negara. 

Beliau berkata, pada masa ini nyawa, keselamatan dan kesihatan rakuyat menjadi agenda utama dan langkah perlu difokuskan kepada mengatasi permasalah koronavirus itu terlebih dahulu. 

'Semalam elok je dia datang main..' - Kejam! Kucing mati akibat 2 kakinya dipotong individu tidak berhati perut


Sabtu lalu, seekor kucing ditemui dalam keadaan cedera parah akibat dua kaki depannya dipotong oleh individu yang tidak berhati perut. 

Menurut Nz Garage, kucing putih itu semalam berada dalam keadaan sempurna ketika bermain dengannya dan terkejut melihat keadaan haiwan kecil itu yang dianiaya dengan begitu kejam sekali. 

"Sapo buat kijo nih....smaley molek2 dio dok main nga ambo....ejah oyak mano buko....ejah roger....Mohd Syerman...tulong ejah..Nieza Edris..nih kucing hok dok main nga anaqi smaley nih...nyo kerak kaki ko menatey....mano ni," tulisnya di Facebook. 

Kucing itu kemudian dibawa ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan tetapi haiwan itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.25 petang Ahad. 

"Kami ingin memohon maaf kerana tidak dapat menyelamatkan kucing ini. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Dr Idayu dan staff-staff yang telah mencuba sedaya upaya menyelamatkan dia sehingga jam 4.35 petang tadi (Ahad). 

"Pagi tadi sempat juga dia jamah makanan dengan bantuan staff vet walaupun keadaannya sangat lemah pada masa itu. Dia hanya mampu angkat kepala je. Selepas itu dia terus tidur dan sekali sekala je bila dipanggil, dia 'miaww'. 

"Kini hilanglah derita dia, hilang jugalah kesakitan di dunia. Kami doakan si pelaku segera bertaubat," kata Mohd Syerman. 

REAKSI NETIZEN


Wanita terperangkap dalam dapur selama 2 hari kerana kucingnya tetiba jadi garang


Seorang wanita di Rusia terkurung dalam dapur rumahnya selama dua hari selepas kucingnya menjadi agresif dan menyerangnya setiap kali dia cuba keluar dari dapur. 

Wanita itu yang tidak dinamakan berasal dari utara Rusia berkata, kucing itu tiba-tiba berubah menjadi garang menyebabkan dia terkurung di dapur. 

Mangsa hanya dapat diselamatkan selepas dia meminta bantuan dari pejalan kaki yang kebetulan melalui kawasan rumahnya. 

Lelaki itu kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan mangsa. Pihak berkuasa kemudian datang dan memanjat apartmen tersebut untuk menyelamatkan mangsa dari tingkap dapur. Kucing itu pula ditangkap menggunakan selimut.

Sumber: Mirror